Tidak dapat dinafikan, bola sepak adalah sukan yang paling digemari dan popular di dunia. Kemuncak sukan ini berlangsung empat tahun sekali apabila Piala Dunia FIFA berlangsung pada musim panas.
Para peminat bola sepak yang mengikuti sukan ini rata-rata sangat fasih berkenaan dengan peraturan dan undang-undang bola sepak kerana ia tidaklah begitu rumit.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun, tak kiralah betapa hebatnya anda rasakan diri anda tentang bola sepak dan peraturannya, penulis yakin bahawa terdapat peraturan yang mana anda langsung tidak pernah tahu.
iluminasi.com kongsikan 8 peraturan dan undang-undang bola sepak yang ramai tak tahu.
1. Jaringan gol dengan bola kempis
Jika anda menjaringkan gol, tetapi bola tersebut kempis atau meletup dalam perjalanan ke gawang lawan, maka gol tersebut tidak akan dikira.
Sebab kepada situasi yang sangat jarang berlaku ini adalah kerana bola mestilah sentiasa berada dalam keadaan yang baik setiap masa. Sebaik sahaja bola berada dalam keadaan tidak baik, permainan akan dihentikan.
Akan tetapi, terdapat situasi seorang pemain menjaringkan gol dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah di mana bole yang dirembat meletup di atas angin dan gol tersebut dibenarkan. Ini mungkin kerana amat sukar untuk pengadil menyedari perkara ini.
Namun dengan teknologi VAR yang ada pada hari ini, gol tersebut sudah tentu akan dibatalkan.
2. Kad kuning meraikan jaringan gol
Seperti mana yang anda tahu, pemain akan dilayangkan kad kuning jika meraikan gol dengan membuka baju.
Namun apa yang ramai tak tahu adalah kad kuning akan tetap dilayangkan kepada pemain kerana melakukan perkara yang sama, walaupun kemudiannya gol tersebut dibatalkan kerana sebab-sebab terentu.
Pihak penggubal undang-undang bola sepak berasakan undang-undang ini perlu ditambah. Sebagai contoh, jika anda menjaringkan gol dan membuka baju untuk meraikannya, lalu VAR mengesahkan bahawa gol anda tidak sah, maka kad kuning disebabkan oleh meraikan gol dengan cara yang tidak dibenarkan akan tetap diterima.
Menurut sumber, ini kerana kesannya tindakan membuang baju itu adalah sama tak kisahlah sama ada gol tersebut sah atau tidak.
3. Kad merah sebelum perlawanan bermula
Layangan kad kuning sebanyak dua kali atau satu kad merah ketika perlawanan sedang berlangsung akan menyebabkan pemain dibuang padang.
Namun sebenarnya pemain juga boleh dibuang padang walaupun perlawanan masih berlum bermula.
Sebagai contoh, jika anda melakukan perkara yang dilarang seperti mengeluarkan kata-kata kesat kepada pengadil atau pemain lawan ketika sesi memanaskan badan, pengadil mempunyai hak untuk mengusir anda dari padang dan tidak dapat beraksi.
Perkara ini pernah berlaku kepada Patrive Evra di mana beliau diarahkan keluar padang dan tidak dibenarkan bermain selepas menyerang seorang penonton ketika sesi memanaskan badan pada tahun 2017.
4. Jumlah pemain penentuan sepakan penalti
Mungkin ramai yang tak menyedari tentang peraturan ini iaitu jumlah pemain yang dibenarkan untuk mengambil sepakan dalam penentuan sepakan penalti mesti sama bagi kedua-dua pasukan.
Dengan kata mudah, jika seorang pemain dari pasukan A dibuang padang ketika perlawanan berlangsung dan perlawanan dibawa ke penentuan sepakan penalti, maka pasukan B perlu memilih seorang pemain mereka untuk tidak mengambil sepakan penalti.
Perkara ini berlaku dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2006 di antara Itali dan Perancis. Pasti ramai yang mengingati insiden dalam perlawanan ini di mana Zinedine Zidane menanduk Marco Materazzi, membawa kepada legenda bola sepak Perancis itu dibuang padang.
Dan apabila perlawanan memasuki penentuan sepakan penalti, Genarro Gatuso dipilih oleh tidak mengambil sepakan penalti dan tidak bersama-sama pemain lain di atas padang ketika sepakan penalti berlangsung.
5. Minimum 7 orang pemain
Jika kesebelasan utama dalam sesebuah pastukan itu tidak cukup, perlawanan masih boleh dimulakan.
Seperti yang semua tahu, perlawanan bola sepak rasmi terdiri daripada 2 pasukan dengan 11 orang pemain di atas padang. Tetapi jika atas sebab-sebab tertentu yang membuatkan pasukan anda kekurangan pemain, secara teknikalnya anda boleh mula bermain dengan 7 orang pemain sahaja.
Peraturan ini adalah sama dengan peraturan di mana sesebuah pasukan boleh menerima maksimum 4 kad merah dan kad merah ke-5 akan membuatkan permainan dihentikan, memberikan kemenangan kepada pihak lawan.
Perlu diingatkan bahawa peraturan ini tidak termasuk dengan pemain simpanan, di mana pemain simpanan juga boleh dikenakan kad merah dan diarahkan beredar dari bangku simpanan.
Selagi pasukan anda mempunyai minimum 7 orang di atas padang, maka perlawanan masih boleh diteruskan.
6. Jarak pemain penyerang dari benteng pertahanan
Ini adalah satu pagi peraturan yang dilaksanakan secara rasmi bermula pada 1 Jun 2019.
Peraturan ini menyatakan bahawa apabila benteng yang dibuat terdiri daripada 3 orang pemain pertahanan atau lebih, penyerang pihak lawan tidak dibenarkan berada dalam jarak 1 meter daripada benteng tersebut ketika sepakan percuma di ambil.
Jika ia berlaku, pasukan yang sedang bertahan akan diberikan sepakan percuma tidak langsung.
Menurut penggubal undang-undang bola sepak, tambahan peraturan ini dilaksanakan kerana penyerang yang berdiri sangat hampir atau dalam benteng pertahanan ketika sepakan percuma akan mencetuskan masalah pengurusan dan membuang masa.
Tiada justifikasi taktikal bagi pemain penyerang untuk berada dalam benteng dan kehadiran mereka bertentangan dengan semangat bola sepak.
7. Jaringan sendiri dari sepakan percuma atau lontaran ke dalam
Gol sendiri tidak boleh dijaringkan dari sepakan percuma atau lontaran ke dalam.
Malah, apa-apa jaringan sendiri yang dibuat secara langsung selepas permainan dihentikan dan dimulakan semula (sepakan percuma, lontaran ke dalam dll) adalah tidak dikira.
Namun jika anda memasukkan bola ke gawang sendiri (sebagai contoh dalam sepekan percuma) tanpa sentuhan dari sesiapa dan memandangkan sentuhan anda adalah yang terakhir, maka satu sepakan penjuru diberikan kepada pasukan lawan.
Situasi ini sangat jarang berlaku namun ia perlu diambil tahu kerana ia tetap satu peraturan.
8. Penjaga gol menggoyangkan tiang gol ketika sepakan penalti
Dalam situasi sepakan penalti, penjaga gol tidak boleh menyentuh tiang gol atau jaring. Dengan kata mudah, kedua-duanya tidak boleh digerakkan.
Pengadil tidak akan memberikan isyarat untuk memulakan sepakan jika penjaga gol menampar atau menggoyangkan tiang gol untuk cuba menakut-nakutkan pengambil sepakan penalti.
Setakat ini, mungkin kita pernah melihat situasi di mana pengadil melambatkan sepakan penalti kerana penjaga gol menggoyangkan tiang gol, dan walaupun begitu, ia tetap satu peraturan yang perlu diketahui.
Rujukan:
1. Independent
2. Kansas City
3. Unisport