Dengan jualan melebihi 13 juta cawan setiap bulan, Slurpee keluaran 7-Eleven mungkin merupakan minuman sejuk beku yang paling popular dalam dunia. Sebelum ini kami pernah berkongsi sejarah kewujudan Slurpee yang telah mula dicipta sejak lebih 50 tahun yang dulu. Kali ini, kami ingin berkongsi pula lapan fakta lain yang menarik mengenai Slurpee:

1. Iklan komersial di televisyen membuatkan jualan meningkat

Slurpee hanya terjual lebih kurang 50 cawan sehari di setiap cawangan 7-Eleven sebelum syarikat itu melancarkan siri iklan "Strange Things" di televisyen. Dalam salah satu siri iklan itu, seorang lelaki mengatakan yang hidupnya adalah biasa-biasa sahaja sehinggalah dia meminum Slurpee - keesokan harinya, lelaki itu terus bertukar menjadi seorang juruterbang. 

slurpee 7eleven malaysia

Walaupun siri iklan ini tidak memberi penjelasan sebenar tentang produk Slurpee itu sendiri, ia telah menarik minat ramai orang sehingga setiap cawangan 7E berjaya menjual sebanyak 300 cawan setiap hari. (Sumber)

2. Slurpee mempunyai rekod single sendiri

Pada era 70-an, budaya pop melalui satu peredaran zaman yang agak pelik. Ketika itu, 7-Eleven telah mendapat lesen untuk mengeluarkan lagu single dalam vinil 45 RPM iaitu "Dance the Slurp? sebagai satu lagu untuk mempromosikan minuman itu. Ia diedarkan secara percuma di semua cawangan 7-Eleven. Lagu unik itu memainkan alunan muzik rancak disulami dengan bunyi hirupan Slurpee. (Sumber 1, 2)

3. Slurpee telah merevolusikan penyedut minuman

Setelah Slurpee mula menguasai pasaran, pihak 7-Eleven sedar bahawa para pelanggan mengalami kesukaran untuk mencedok dan menghirup sisa-sisa ais dan sirap di bahagian bawah cawan. 

straw penyedut minuman slurpee dengan sudu di hujung

Jalan penyelesaian muncul apabila seorang pencipta, Arthur Aykanian, telah mereka penyedut minuman bersudu, iaitu penyedut dengan tambahan pencedok kecil di bahagian hujung. Mula diperkenalkan pada tahun 1968, ia kemudian menjadi satu produk yang amat sinonim dengan Slurpee.

Pada tahun 2003 pula, syarikat telah mengambil langkah inovasi lebih jauh iaitu dengan mencipta penyedut minuman yang boleh dimakan. Batang bergula itu boleh dibengkokkan sehingga ia mencecah cecair yang beku seperti ais sebelum mengeras dan menjadi perkakas minuman yang boleh digunakan. (Sumber 1, 2)

4. "Brain Freeze" telah menjadi tanda dagangan 7-Eleven

Semua orang tahu 'bahaya' menghirup Slurpee dengan terlalu pantas : anda akan mendapat sejenis 'kesakitan' yang memeritkan di dalam kranium dan boleh menyebabkan lutut serta-merta menjadi longgar.

slurpee brain freeze akibat minum laju laju

Walaupun istilah "brain freeze" itu hanya bermula sebagai bahasa percakapan, 7-Eleven melihatnya sebagai satu potensi pemasaran yang berkesan dan mendaftarkan frasa itu sebagai tanda dagangan.

Istilah perubatan yang tepat untuk 'penyakit' brain freeze itu sebenarnya adalah sphenopalatine ganglioneuralgia. Ia merupakan sejenis sakit kepala yang disebabkan suhu sejuk melampau terhadap satu arteri utama di tekak dan situasi ini boleh dilegakan cepat dengan menekan lidah ke bahagian lelangit mulut atau meminum sesuatu yang suam. (Sumber 1, 2)

6. Raja Slurpee berada di Kennewick, Washington

Dari tahun 2007 hingga 2008, Slurpee paling banyak dijual di Kennewick, Washington. Menurut tuan punya cawangan itu, Don Mariotto, dia telah meningkatkan bilangan mesin slurpee daripada 6 menjadi 12 tong kerana permintaan yang tinggi daripada pasukan ragbi sekolah menengah berhampiran. Setelah habis latihan di padang, kesemua pemain itu akan datang terus mencari Slurpee dengan baju yang lencun dibasahi peluh.

slurpee paling banyak dijual di kennewick

Pada tahun 2009, takhta Raja Slurpee beralih kepada cawangan Manitoba. Menurut Mariotto, pihak pengurusan mengubah kiraan kepada bilangan cawan dan bukan lagi mengikut isipadu. (Sumber 1, 2, 3)

7. Orang dewasa pernah berasa malu untuk membeli Slurpee

Semasa kejayaan Slurpee dari tahun 70-an hingga 80-an, pelanggan dewasa kebiasaannya berasa malu untuk dilihat memegang cawan Slurpee. Disebabkan pemasaran Slurpee banyak dibuat khusus untuk kanak-kanak, orang dewasa adakalanya meminta cawan Big Gulp untuk menyembunyikan Slurpee di dalam.

isi slurpee dalam cawan big gulp

Setelah mengenal pasti kelemahan itu, pihak 7-Eleven bekerjasama dengan MTV pada tahun 1995 dengan menjadi penaja program "Beach House" ketika itu. Mereka telah mengisi satu kolam renang penuh dengan Slurpee dan golongan muda dan dewasa akan meluncur masuk ke dalam limpahan minuman sejuk itu. Jualan terus melonjak naik 10% pada tahun itu. (Sumber)

8. Hari "Bawa Cawan Anda Sendiri" menjadi huru-hara

7 eleven membenarkan pelanggan bawa bekas sendiri untuk mengisi slurpee

Dalam satu daya penarik publisiti pada tahun 2015 dan awal 2016, 7-Eleven membenarkan pelanggan membawa bekas sendiri untuk mengisi Slurpee pada harga $1.50 (RM2.90 di 7-Eleven Malaysia). Walaupun majoriti pelanggan membawa bekas yang munasabah, ada juga yang membawa cerek, akuarium kecil, teko teh malah ada yang membawa gelongsor plastik serta kolam renang boleh kembung. Akhirnya, 7-Eleven terpaksa mengenakan syarat dan saiz kepada bekas yang dibawa. (Sumber 1, 2)

Anda paling suka Slurpee perisa apa?


tags : , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)