Sebagai pemimpin sesebuah negara atau seseorang yang terkenal, perhatian selalunya tertumpu kepada mereka. Ia bukan sahaja boleh mengakibatkan keadaan menjadi yang kurang menyenangkan, malah berbahaya. 

Ancaman kepada nyawa para pemimpin ini dianggap sesuatu yang serius dan memerlukan pemantauan serta perlindungan yang ketat. Antara daripada langkah-langkah yang diambil ialah dengan menggunakan pengawal keselamatan, kenderaan kalis perluru, pendua dan banyak lagi. Berikut adalah beberapa pemimpin yang mempunyai kawalan keselamatan paling ketat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

8. Kim Jong Un

Pemimpin negara Komunis yang sentiasa menjadi perhatian ini sememangnya diketahui mempunyai ramai musuh dan pengkitik dari seluruh dunia. Itu belum lagi dikirakan musuh dalam selimut di Korea Utara sendiri, di mana Kim Jong Un pernah menghukum beberapa pembelot termasuk bapa saudaranya sendiri sebelum ini.

Kawalan ketat ke atas Presiden Korea Utara ini pernah ditunjukkan semasa beliau berkunjung ke negara luar seperti Korea Selatan dan Singapura baru-baru ini untuk persidangan bersama dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Pada setiap masa, beliau akan ditemani oleh minimum 12 orang pengawal peribadi dan dikatakan mempunyai pengawal seramai 15,000 orang.

7. Recep Tayyip Erdoğan

Presiden Turkey yang pernah menggagalkan satu percubaan rampasan kuasa ke atasnya sememangnya mempunyai kawalan keselamatan yang ketat. Beliau lebih cenderung memilih pelbagai kenderaan yang kalis peluru.

Bukan itu sahaja, dia juga dikelilingi oleh pengawal keselamatan yang akan berada di mana sahaja dia pergi. Malah, penembak tepat sentiasa bersiap siaga di kawasan kediamannya bagi mengelak segala kemungkinan diserang.

Namun, satu kejadian di mana sekumpulan pengawal peribadi beliau yang bertempur dengan penunjuk perasaan ketika melawat Amerika Syarikat sedikit sebanyak mencemarkan nama beliau.

6. Ratu Elizabeth II

Ratu Elizabeth II tidak perlu diperkenalkan lagi kerana beliau adalah salah seorang ratu paling terkenal di dunia. Walaupun tidak mempunyai kuasa sebenar, beliau tetap dikawal dengan rapi oleh para pengawal dari Istana Buckingham kerana ramai yang ingin mencederakan beliau.

Ketika Ratu Elizabeth II berada dalam istana, ratusan pengawal keselamatan akan berada di dalam mahupun luar istana untuk memastikan keadaan sekeliling ratu itu sentiasa selamat. Apabila ratu keluar dari istana untuk sebarang urusan, beliau akan ditemani oleh banyak kereta pengiring dan juga pengawal yang menaiki motosikal berkuasa tinggi.

5. Alpha Conde

Presiden Alpha Conde adalah pemimpin Guinea yang telah memegang jawatan tertinggi di negara itu sejak 2010 lagi. Tidak sampai setahun selepas beliau memegang jawatan presiden, satu cubaan bunuh telah dilakukan terhadapnya di mana seorang pengawal peribadinya terbunuh manakala dua lagi cedera.

Sejak itu, Presiden Guinea ini telah dikawal dengan ketat oleh pengawal peribadi, pengiring bersenjata dan juga disediakan kenderaan kalis peluru. Walaupun dikawal dengan ketat, sejak beberapa tahun kebelakangan ini Presiden Alpha Conde sering dilihat keluar dari bumbung kenderaannya ketika lawatan bagi menunjukkan bahawa dia tidak gentar akan sebarang ancaman ke atas dirinya.

4. Donald Trump

Kawalan keselamatan bagi pemimpin negara kuasa besar dunia ini sememangnya tidak perlu diragui lagi sebagai salah satu yang paling ketat. Selain kenderaan kalis peluru, helikopter pemantau dan juga puluhan pengawal keselamatan yang diselia oleh CIA, President Donald Trump sememangnya amat sukar untuk didekati oleh sesiapa pun.

Setakat ini, kawalan keselamatan yang disediakan kepada Donald Trump merupakan kawalan keselamatan paling mahal dalam sejarah Presiden Amerika Syarikat. Ini kerana Trump mempunyai keluarga besar seramai 16 orang dan sering mengembara, membuatkan kos mengawasi keseluruhan keluarganya mencecah ratusan juta USD dalam setahun.

3. Vladimir Putin

Sama seperti Presiden Donald Trump, Presiden Rusia iaitu Vladimir Putin juga mempunyai pengawal keselamatan yang terdiri daripada perkhidmatan rahsia dan tentera khas. Dikatakan seramai 9,000 orang anggota yang dikerahkan untuk menjaga beliau dalam segala urusan peribadi mahupun rasmi.

Servis Kawalan Presiden Rusia telah diwujudkan sejak 1993 lagi dan kini ia diketuai oleh Alexey Rubezhnoy sejak dari tahun 2016. Bagi presiden yang gemar melakukan banyak perkara spontan ini, setiap langkah keselamatan perlulah diambil dengan teliti bagi memastikan pemimpin nombor satu Rusia ini berada dalam keadaan selamat.

2. Xí Jìnpíng

Bagi presiden kepada negara dengan populasi penduduk paling ramai ini, dikatakan pengawal peribadi yang berkhidmat untuk beliau mencapai hampir 4,000 orang. Sesetengah daripada pengawal peribadinya diketahui membawa lebih dari satu senjata api setiap orang. Setiap kali melakukan urusan peribadi mahupun rasmi, lebih dari puluhan pengawal peribadi akan melindungi beliau.

Kawalan keselamatan Presiden Xi Jinping ini disediakan oleh Pusat Biro Keselamatan Parti Komunis China yang merangkumi pengawal keselamatan, pasukan pengiring, pemantau, kenderaan kalis peluru dan banyak lagi. Sesuatu yang dikira perlu untuk melindungi pemimpin salah satu negara kuasa-kuasa besar dunia.

1. Pope Francis

Kini tiba masanya untuk pemimpin yang mempunyai kawalan keselamatan paling ketat di dunia iaitu Pope Francis. Pemimpin agama yang sering melawat banyak negara ini mempunyai pasukan elit tentera khas Swiss yang mengawalnya di Vatican City dan juga di luar negara.

Bagi setiap lawatan luar negara yang dilakukan oleh Pope Francis, beliau akan dikawal ketat oleh ratusan malah ribuan anggota bagi mengelakkan kejadian percubaan membunuh yang sering berlaku dalam sejarah pemimpin agama ini pada masa lampau. Sebagai contoh, Pope John Paul II telah ditembak sebanyak 4 kali dari jarak dekat pada tahun 1981. Namun, beliau berjaya selamat daripada percubaan bunuh tersebut.




Hakcipta iluminasi.com (2017)