Oleh pada 12 Oct 2021 kategori

Membelot sering dianggap sebagai salah satu jenayah paling teruk. Ia bukan sahaja menyebabkan hilangnya kepercayaan tetapi boleh membawa kepada akibat yang lebih besar lagi.

Dalam sejarah, ramai yang sanggup membelot dengan menggadaikan negara dan rakyat demi kepentingan sendiri. Pembelot bukan sahaja dibenci generasi sendiri tetapi turut dijadikan ingatan kepada generasi akan datang. Berikut adalah beberapa pembelot yang terkenal dalam sejarah.

1. Benedict Arnold - Amerika

benedict arnold

Dalam Perang Revolusi antara British dan Amerika Syarikat, Benedict Arnold merupakan seorang pemimpin berkaliber dan telah memenangi beberapa pertempuran. Dia juga mendapat sokongan daripada George Washington yang merupakan panglima Tentera Kontinental ketika itu.

Arnold kemudian diberi kepercayaan untuk memimpin West Point, kubu yang terletak di Sungai Hudson. Secara senyap-senyap, Arnold membuat perjanjian rahsia dengan ketua tentera British iaitu Sir Henry Clinton.

Dia menawarkan untuk menyerahkan kubu dan tenteranya sebagai tukaran kepada £20,000 dan pangkat jeneral dalam tentera British. Namun, rancangannya itu diketahui dan Arnold melarikan diri ke England. Bekas wira Amerika itu begitu dibenci sehingga namanya menjadi sinonim dengan perkataan "pembelot".

2. Mir Jafar - India

mir jafar

Pemerintah Empayar Mughal terakhir iaitu Siraj ud-Daulah menolak campur tangan British ke atas India. Disebabkan itu, British mengisytiharkan perang terhadap Siraj di Palasi, India. Walaupun mempunyai kekuatan yang lebih besar, Siraj tidak menyedari akan berlakunya pembelotan.

Pada 23 Jun 1757, jeneral Mir Jafar mengarahkan tenteranya berundur daripada Pertempuran Palasi dan membiarkan British yang dipimpin oleh Leftenan Kolonel Robert Clive mengambil alih. Siraj melarikan diri tetapi berjaya ditangkap dan dibunuh.

Jafar dijadikan pemerintah pertama Bengal di bawah British East India Company sementara Clive pula menjadi Gabenor Bengal. Pembelotan Mir Jafar ini telah membuka pintu kepada penjajahan British ke atas India selama lebih 200 tahun

3. Vidkun Quisling - Norway

vidkun quisling

Ketika tentera Nazi Jerman sedang berperang dengan beberapa negara, seorang diplomat Norway bernama Vidkun Quisling telah melancarkan gerakan menggulingkan rajanya sendiri bagi mendapatkan kepercayaan Hitler.

Dia sebelum itu yang pernah bertemu dengan Hitler telah berkongsi pendapat yang sama untuk menjadikan Norway sebagai negara untuk "bangsa terbilang". Apabila Jerman menyerang Norway pada 9 April 1940, Quisling tidak teragak-agak untuk menamakan dirinya sebagai Perdana Menteri.

Apabila Norway bebas daripada cengkaman Jerman pada 1945, Quisling telah ditangkap, didapati bersalah dan dihukum mati kerana membelot. Namanya Vidkun Quisling begitu sinonim dengan perkataan pembelot di Norway.

4. Wang Jingwei - China

wang jingwei

Pada mulanya, Wang Jingwei dianggap sebagai seorang wira dan ahli politik berpengaruh di China. Setelah kematian pemimpin China iaitu Sun Yat-sen pada 1925, Jingwei berentap dengan Chiang Kai Shek untuk jawatan tertinggi itu. Namun, Chiang berjaya kerana mempunyai pengaruh tentera yang besar.

Jingwe kemudian melarikan diri ke Hanoi dan membuat perjanjian dengan pihak Jepun. Setelah Jepun berjaya menawan bandar Nanjing, Jingwei dijadikan sebagai pemerintah boneka mereka. Pelbagai kekejaman dilakukan Jepun ke atas rakyat China tetapi Jingwei tidak mempunyai kuasa untuk menghalangnya.

Jingwei akhirnya berpindah ke Jepun pada Mac 1944 dan meninggal dunia pada 10 Novermber tahun yang sama. Walaupun mempunyai jasa dalam sejarah China tetapi kebencian yang diterimanya kerana membelot melebihi tahap pencapaiannya.

5. La Malinche - Empayar Aztec

la malinche

Nama sebenar La Malince ialah Dona Marina dan dia dilahirkan dalah sebuah keluarga bangsawan dalam masyarakat Aztec. Apabila bapanya meninggal dunia, ibunya berkahwin semula dan menjual Marina kepada pedagang hamba. Pada 1519, dia dibawa ke Tabasco, sebuah bandar kaum Maya.

Ketika Sepanyol cuba untuk menjajah Empayar Aztec, Marina yang bekerja dengan seorang sami terkenal telah meyakinkan beberapa bandar untuk membantu pihak Sepanyol. Marina juga telah belajar bahasa Sepanyol dan menjadi penterjemah kepada Hernan Cortes, pemimpin penjajah Sepanyol ke atas Empayar Aztec.

Marina dianggap sebagai pembelot kerana membantu Sepanyol menjajah bangsanya sendiri. Di Mexico pada hari ini, perkataan “malinchista" merujuk kepada rakan yang tidak setia.

6. Alfred Redl - Austria

alfred redl

Sebelum berlakunya Perang Dunia Pertama, Alfred Reld merupakan ketua perisikan Tentera Austria. Beberapa tahun kemudian, dia menjadi ejen dua muka dan bekerja sebagai perisik Rusia.

Selama 11 tahun, dia memberikan laporan palsu mengenai kekuatan tentera musuh dan menjual maklumat sulit negaranya kepada Rusia dan negara lain.

Pada tahun 1913, Redl ditangkap apabila menerima dua sampul berisi wang tunai yang dipercayai daripada perisik Rusia dan Perancis. Redl mengaku bersalah atas jenayahnya dan membunuh diri selepas menulis nota kepada abangnya dan pegawai tingginya.

7. Ephialtes - Yunani (Greek)

ephialtes

Watak Ephialtes dalam filem "300"

Dalam Pertempuran Thermopylae, tentera Yunani bertahan terhadap serangan tentera Parsi. Selama dua hari, Raja Parsi iaitu Xerxes melihat tiada kemajuan yang dicapai tenteranya. Tentera Yunani sebenarnya menggunakan beberapa laluan rahsia untuk mengekang kemaraan tentera Parsi.

Kemudian Xerxes menerima kunjungan Ephialtes yang mendedahkan laluan rahsia yang digunakan untuk menawan Thermopylae. Xerxes telah menghantar pasukan terbaiknya yang digelar "Immortals" untuk mengepung tentera yang dipimpin Leonidas.

Pada hari ketiga, tentera Parsi berjaya mengalahkan tentera Sparta yang dipimpin oleh Leonidas. Ephialtes dianggap sebagai pembelot terbesar dalam sejarah Yunani.

Kisah ini dipotretkan dalam filem terkenal berjudul "300". Malah, dalam filem itu juga watak Ephialtes dipotretkan sebagai seorang yang cacat dan hodoh.

8. Andrey Vlasov - Kesatuan Soviet

andrey vlasov

Andrey Vlasov merupakan jeneral kegemaran Joseph Stalin kerana berjaya menyelamatkan Moscow dalam peperangan pada tahun 1941-42. Dia juga terlibat dalam Perang Leningrad yang kini dikenali sebagai Saint Petersburg.

Tidak lama kemudian, tentera Jerman berjaya menangkap Vlasov dan meyakinkannya untuk membelot kepada Kesatuan Soviet. Jerman juga membenarkan Vlasov membina tenteranya sendiri bagi membebaskan Rusia dan menggulingkan rejim Stalin.

Vlasov menubuhkan Tentera Pembebasan Rusia dan mula merekrut tentera Rusia yang ditawan pihak Jerman. Pada penghujung WW2, seramai 50,000 tentera Vlasov menentang rakyat mereka sendiri

Kebanyakan Tentera Pembebasan Rusia menyerah kalah apabila Amerika mula mara ke Czechoslovakia dan selebihnya ditahan tentera Kesatuan Soviet. Vlasov telah ditahan pada May 1945 dan dihukum bunuh pada 1 Ogos 1946 kerana membelot.



Hakcipta iluminasi.com (2017)