Biasanya di seluruh dunia, perkahwinan adalah ikatan antara dua individu. Walau bagaimanapun, agama Islam membolehkan seseorang lelaki itu berkahwin sehingga empat orang isteri dengan syarat dia mampu dari segi nafkah dan berlaku adil.

Dalam sesetengah kes, ada lelaki yang berkahwin lebih daripada yang sepatutnya dan ia dikira sebagai jenayah di kebanyakan negara. Berikut adalah beberapa orang lelaki yang mempunyai ramai isteri dalam sejarah.

BESARKAN TEKS     A-  A+

8. Ziona Chana

ziona chana

Lelaki ini merupakan ketua keluarga kepada lebih daripada 100 orang dan mereka semua tinggal bersama. Ziona Chana mempunyai 39 orang isteri dan 94 orang anak. Dia juga mempunyai 14 orang menantu wanita dan 33 orang cucu.

Hampir kesemua mereka tinggal di sebuah rumah besar empat tingkat dengan 100 buah bilik di kawasan berbukit di Kampung Baktwang, Mizoram, India.

rumah ziona chana

Keluarga besar itu diurus dengan disiplin seperti tentera. Isteri Chana yang paling tua iaitu Zathiangi akan membuat jadual siapa yang akan melakukan tugasan di rumah seperti memasak, mencuci dan pelbagai lagi.

Ziona Chana akan menempatkan isterinya yang lebih muda di dalam bilik yang hampir dengan bilik tidurnya, manakala isteri yang lebih tua ditempatkan dalam bilik yang lebih jauh. Isteri-isterinya juga mempunyai jadual untuk mengunjungi bilik tidur Chana.

7. Joseph Smith

joseph smith

Joseph Smith merupakan pengasas gerakan Mormonisme dan Latter Day Saint (LDS). Dia telah menerbitkan Kitab Mormon ketika berusia 24 tahun. Sepanjang hidupnya, dia telah berkahwin dengan sebanyak 40 orang wanita dan beberapa di antaranya adalah isteri kepada lelaki lain.

Isteri pertamanya iaitu Emma Smith bagaimanapun tidak dapat bersetuju dengan cara berpoligami suaminya. Pada awalnya, dia hanya menerima apabila suaminya berkahwin dengan empat lagi wanita lain dan tinggal di rumah yang sama. Tidak lama selepas itu dia telah menghalau semua isteri-isteri Joseph daripada rumah mereka. 

Joseph Smith telah ditembak mati semasa berada di penjara atas tuduhan melakukan pengkhianatan pada tahun 1844. Selepas kematiannya, banyak akhbar menggambarkan Joseph sebagai seorang fanatik agama. Namun, pengikutnya beranggapan Joseph mati sebagai syahid.

6. Brigham Young

brigham young

Brigham Young adalah Presiden kedua kepada gereja Mormon iaitu Church of Jesus Christ of Latter Day Saints. Dia juga adalah pengasas kepada Salt Lake City di Utah dan berkhidmat sebagai gabenor pertama Utah.

Young telah berkahwin dengan seramai 55 orang wanita dan berjaya menarik 54 orang daripada isterinya untuk menganut fahaman Mormonisme. Ketika dia meninggal dunia pada tahun 1877, Young mempunyai 56 orang anak.

Daripada kesemua isterinya, 23 orang masih bersamanya sehingga akhir hayat, 10 telah bercerai dan 19 orang lagi telah meninggal dunia sebelumnya. Empat orang isterinya lagi tidak diketahui status mereka.

5. Saleh al-Sayeri

saleh al sayeri

Dalam kes lelaki ini, dia tidak mempunyai isteri yang banyak sekaligus. Dalam tempoh 50 tahun, dia telah bernikah dengan 58 orang wanita. Akan tetapi, dia telah menceraikan 54 orang daripada isterinya dan lupa kebanyakan nama-nama bekas isterinya.

Lelaki ini bernama Saleh al-Sayeri dan tinggal di Usfan, Arab Saudi. Dia tahu bahawa dia mempunyai 10 orang anak lelaki. Namun, apabila ditanyakan berapa jumlah anak perempuan, dia sering keliru dan hanya menjawab 25 orang. 

Saleh yang berusia 78 tahun itu pada asalnya adalah seorang pengembala dan kemudian menjadi ahli perniagaan. Dia telah menghabiskan wang sebanyak RM 6.6 juta untuk berkahwin dan bercerai dengan semua isteri-isterinya. Dia berkata tidak pernah jemu berkahwin dan akan melakukannya lagi sekiranya mempunyai jodoh.

4. Asentus Akuku

akuku danger

Asentus Akuku atau lebih dikenali sebagai Akuku Danger merupakan seorang lelaki yang terkenal di Kenya. Ini kerana dia telah berkahwin dengan lebih daripada 100 orang wanita sepanjang hidupnya dan mempunyai hampir 200 orang anak.

Dia diberi jolokan "Danger" kerana dikatakan menarik perhatian wanita kerana rupanya yang kacak. Akuku Danger telah berkahwin dengan isteri pertamanya pada tahun 1939 dan mula berpoligami pada usia 22 tahun. Kali terakhir dia berkahwin ialah pada tahun 1992 dan 12 daripada isterinya telah meninggal dunia terlebih dahulu.

Kerana mempunyai terlalu ramai anak, Akuku Danger telah menubuhkan dua sekolah rendah semata-mata untuk mendidik anak-anaknya. Selain itu, Akuku juga telah membina sebuah gereja untuk ahli keluarganya yang besar. Akuku meninggal dunia pada tahun 1990-an akibat sakit tua.

3. Mohammed Bello Abubakar

mohammed bello abubakar

Mohammed Bello Abubakar yang berasal dari Nigeria dikenali kerana telah mencetuskan kontroversi di kampung halamannya di Bina, Niger State. Antara kontroversi mengenai dirinya adalah mengenai perkahwinan poligaminya yang banyak dan sering bersuara secara lantang.

Dia pernah ditahan di bawah undang-undang Syariah dan dihantar ke penjara pada tahun 2008 kerana enggan menceraikan 82 orang daripada 86 orang isterinya.

Ketika dia dikritik oleh ulama dan pendakwah Islam yang lain, Mohammed Bello Abubakar tetap berdegil dengan pendiriannya bahawa dia benar. Sekiranya dia bersalah pasti tuhan tidak akan mengizinkan dia untuk berkahwin sebanyak itu. Kebanyakan wanita yang berkahwin dengannya percaya bahawa itu adalah arahan dari tuhan.

Apabila dibebaskan, Mohammed Bello Abubakar terus menambah bilangan isterinya sehinggalah dia meninggal dunia pada tahun 2017. Dia telah berkahwin sebanyak 120 kali, bercerai dengan 10 daripada isterinya dan mempunyai 203 orang anak

2. Tambon Prasert

tambon prasert

Walaupun poligami adalah tidak sah di Thailand, seorang lelaki bernama Tambon Prasert di sana mempunyai seramai 120 orang isteri dan 28 orang anak. Apa yang lebih aneh ialah, semua isteri-isterinya tahu mengenai perkara ini dan tidak membantah suami mereka berkahwin ramai.

Prasert merupakan seorang ahli politik tempatan berusia 58 tahun dan mempunyai perniagaan dalam sektor pembinaan yang berjaya. Dia adalah wakil rakyat daerah Phromnee di Wilayah Nakorn Nayok, 90 km daripada Bangkok.

Prasert yang juga merupakan seorang kontraktor memberitahu setiap kali dia mendapat projek pembinaan di sesuatu kawasan, dia akan mencari isteri baru di kawasan itu. Dia juga mendakwa tiada masalah dalam menyediakan keperluan seperti rumah kepada isteri-isterinya.

Kebanyakan daripada isteri Prasert adalah berumur di bawah 20 tahun. Prasert tidak begitu menyukai wanita yang lebih tua daripada itu kerana terlalu banyak berdebat.

1. Fat′h Ali Shah Qajar

fat h ali shah qajar

Fat'h Ali Shah Qajar adalah Shah Iran kedua yang memerintah dari tahun 1797 hingga 1834. Semasa hidupnya, dia telah berkahwin dengan kira-kira 158 orang wanita

Walau bagaimanapun, sebuah buku yang diterbitkan pada tahun 1874 telah membantah kenyataan itu dengan mengatakan Fat'h Ali hanya mempunyai 4 orang isteri. Selebihnya adalah gundik-gundiknya.

Fat'h Ali Shah Qajar dipercayai mempunyai 57 orang anak lelaki dan 46 orang anak perempuan. Melalui anak-anaknya, dia memperolehi 296 orang cucu lelaki dan 292 orang cucu perempuan.

Walaupun terdapat pelbagai kenyataan dan perdebatan mengenai jumlah isterinya yang tepat, sebuah buku bertajuk Tarikh-e Azodi yang ditulis oleh Soltan Ahmad Mirza Azod-ed-Dowleh mengandungi nama 160 orang wanita yang dipercayai adalah isteri-isteri kepada Fat'h Ali Shah Qajar.




Hakcipta iluminasi.com (2017)