Kehamilan adalam tempoh yang paling gembira dan juga mencabar bagi pasangan yang berkahwin.
Namun, bakal ibu sering kali mempunyai pelbagai persoalan dan malangnya, kebanyakannya dipengaruhi oleh mitos dan tahyul.
Sebagai contoh, jika wanita hamil banyak minum kopi atau makan kicap, bayi yang dilahirkan akan berkulit gelap.
Kepercayaan karut seperti ini mempengaruhi minda masyarakat dengan begitu dahsyat sekali sehingga boleh membawa kemudaratan.
BESARKAN TEKS A- A+
iluminasi.com kongsikan 8 mitos pelik dan mengarut tentang kehamilan yang ramai percaya.
1. Makanan pedas
Terdapat mitos yang mencadangkan bahawa makanan pedas yang dimakan ketika hamil boleh "membakar" mata bayi dan menyebabkan buta.
Makanan pedas juga disalahkan kerana boleh menyebabkan keguguran. Walaupun kaitan-kaitan ini mungkin kedengaran seperti munasabah, namun ia tidak benar.
Namun begitu, makanan pedas boleh meningkatkan berlakunya pedih ulu hati bagi wanita hamil.
Pedih ulu hati berulang kali ketika hamil mungkin bermakna bahawa bayi itu akan dilahirkan dengan kepala yang penuh rambut, menurut kisah legenda.
2. Wayar elektrik dan tali pusat
Dalam budaya tertentu, kepercayaan karut menasihatkan wanita hamil agar tidak melangkah tali semasa hamil.
Ini kerana perbuatan ini boleh menyebabkan tali pusat terbelit pada leher bayi. Dalam era moden, mitos ini diperluaskan dengan memasukkan wayar elektrik ke dalam kepercayaan ini.
Juga terdapat mitos yang mengesyorkan wanita hamil supaya tidak menaikkan lengan melepasi kepala kerana ini juga akan menyebabkan tali pusat terbelit di leher bayi.
Tiada asas saintifik bagi mana-mana mitos ini.
3. Morning sickness
Semakin teruk mual dan muntah di awal kehamilan (morning sickness), semakin tinggi kemungkinan wanita hamil akan mendapat cahaya mata perempuan.
Ini mungkin dianggap sebagai mitos paling popular kerana ia dipercayai secara meluas.
Satu kajian yang diterbitkan pada tahun 2004 mendapati bahawa kadar wanita yang melahirkan bayi perempuan adalah sedikit lebih tinggi bagi wanita yang mendapatkan rawatan untuk mual dan muntah semasa hamil, berbanding wanita yang tidak mendapatkan rawatan.
Namun, ini bukanlah penentu kepada seseorang itu melahirkan bayi perempuan dan lebih banyak kajian perlu dibuat untuk memahami dengan lebih mendalam jika ada kaitan di antara morning sickness dan jantina bayi.
4. Kecantikan ibu
Satu mitos mendakwa boleh meramalkan jantina bayi dan yang paling popular adalah bayi perempuan akan "mencuri" kecantikan ibunya.
Sebagai contoh, seorang wanita hamil bayi perempuan jika dia "kehilangan" kecantikannya, jika wajahnya menjadi semakin bulat atau dia mengalami morning sickness yang teruk.
Mitos lain mendakwa bahawa jika badan wanita itu berubah ketika hamil, ia merupakan penanda kepada jantina bayi. Jika wanita itu menjadi cemerkap atau hidungnya menjadi lebih panjang atau lebar, maka bayi tersebut adalah lelaki.
Satu kepercayaan lama yang popular dalam beberapa budaya juga mencadangkan bahawa apabila wanita hamil melihat haiwan yang tidak menyenangkan atau hodoh, bayinya akan menyerupai wajah haiwan tersebut.
Perkara-perkara ini akan tetap berlaku dan ia langsung tidak menentukan jantina bayi.
5. Rambut dan kecacatan kelahiran
Jika rambut wanita yang sedang hamil dipotong, bayi dalam rahim tersebut akan mengalami masalah penglihatan.
Adalah sukar untuk kita menghadam bahawa proses semulajadi boleh menjadi penyebab dan akibat yang tersirat oleh tahyul ini.
Apa yang lebih kontroversi adalah sama ada wanita hamil patut mewarnakan rambut atau tidak.
Penggunaan pewarna rambut masih belum dikaitkan secara sah terhadap kecacatan kelahiran bagi manusia, walaupun para pakar menasihatkan supaya tidak melakukannya dalam trimester pertama kehamilan.
6. Kesan bulan purnama
Antara khurafat kehamilan yang lebih kuat dipercayai adalah tanggapan bahawa kekerapan bayi dilahirkan meningkat semasa bulan purnama.
Malah, sesetengah kakitangan perubatan yang bekerja di wad bersalin mempercayai mitos ini, yang mana mungkin menguatkankan lagi kemungkinan tentang kaitan kedua-dua ini dalam fikiran masyarakat.
Walaupun penyiasatan yang meluas dilakukan bagaimanapun, para saintis masih belum mengenal pasti hubungan antara bulan purnama dan kadar kelahiran.
7. Beli dan terima hadiah
Bagi sesetengah budaya, dipercayai bahawa membeli, menerima atau membuka hadiah bayi sebelum bayi lahir akan menarik roh jahat atau membawa malang, seperti keguguran.
Mitos ini berdasarkan pegangan teguh pada ketakutan dan kepercayaan sihir. Mitos lain yang serupa adalah sesetengah wanita percaya bahawa roh bayi akan menjadi takut (dalam kes keguguran) jika kehamilan diumumkan terlalu awal.
Risiko keguguran secara semulajadi adalah lebih tinggi pada trimester pertama berbanding dengan trimester kedua dan ketiga. Mengumumkan kehamilan pada minggu pertama tidak mempunyai pengaruh terhadap risiko keguguran.
8. Menggosok perut
Menurut cerita legenda China, wanita hamil harus elakkan diri daripada menggosok perutnya secara berlebihan.
Jika dia berbuat demikian, bayi di dalam kandungan akan menjadi terlalu manja.
Apa yang dicadangkan ini adalah tersangat mustahil. Namun perlu diketahui bahawa menjelang minggu ke-10 kehamilan, janin yang berkembang boleh merasakan sentuhan dan menghasilkan respon apabila digosok melalui perut ibu.
Rujukan:
1. Britannica
2. NPR
3. Belly