Baru-baru ini, dunia digemparkan dengan beberapa kejadian tembakan secara rambang dalam masjid di New Zealand. Kejadian itu telah mengorbankan puluhan nyawa orang awam yang ketika itu sedang bersedia untuk menunaikan Solat Jumaat.
Salah seorang dalang yang melakukan keganasan itu ialah Brenton Tarrant. Apa yang lebih mengejutkan ialah, Tarrant merakam kejadian tembakan itu menggunakan kamera secara bersiaran langsung. Ramai berpendapat kejadian itu disebabkan oleh pengaruh permainan video yang berlebihan.
BESARKAN TEKS A- A+
Itu hanyalah teori sahaja kerana tiada bukti kukuh bahawa permainan video adalah punca utama dia melakukan keganasan itu. Namun, terdapat beberapa kejadian jenayah lain yang dikaitkan dengan permainan video. Berikut adalah senarai beberapa daripadanya.
1. Pavel Mateev
Credit : newslocker
Seorang budak lelaki bernama Pavel Mateev dari Rusia sangat suka bermain permainan video. Mateev dikatakan akan menghabiskan berjam-jam masanya bermain permainan video online menggunakan komputer yang dibeli oleh ibunya.
Pada September 2018, Mateev ditemui mati selepas mengalami kecederaan teruk di kepalanya akibat terkena gergaji automatik. Dia dikatakan membunuh diri setelah kalah dalam permainan video.
Pihak berkuasa kini sedang menyiasat perkara itu kerana di Rusia terdapat beberapa "Death Group" yang cuba meyakinkan remaja dan kanak-kanak untuk melakukan bunuh diri ketika bermain permainan video. (sumber)
2. David Katz
Credit : abcnews
David Katz adalah seorang pemain permainan video profesional berusia 24 tahun dari Baltimore, Amerika Syarikat. Pada Ogos 2018, dia telah menyertai pertandingan permainan video "Madden NFL 19" yang berlangsung di Jacksonville.
Menurut pihak berkuasa, Katz telah melepaskan tembakan rambang ke atas peserta lain apabila dia kalah dalam pertandingan itu. Dalam kejadian itu, dua orang lelaki iaitu Elijah Clayton berusia 22 tahun dan Taylor Robertson berusia 28 tahun telah terbunuh dan beberapa yang lain cedera.
Katz dikatakan memang berniat membunuh pihak pencabar yang mengalahkannya kerana dia tidak menembak orang lain ketika berjalan melepasi mereka. Katz kemudian membunuh dirinya sendiri selepas itu.
3. Tyrone Spellman
Credit : wired
Pada tahun 2006, Tyrone Spellman tinggal bersama anak-anak dan teman wanitanya, Mia Turman. Suatu hari, anak perempuan teman wanitanya berusia satu tahun, Alayiah Turman, secara tidak sengaja telah menarik konsol permainan video Xbox miliknya ketika dia sedang bermain.
Berang dengan kejadian itu, lelaki berusia 27 tahun itu kemudian memukul kepala bayi itu sebanyak beberapa kali dan menyebabkan tengkoraknya retak di beberapa bahagian. Kecederaan itu membawa kepada kematian Alayiah.
Pada mulanya, Spellman mengatakan bahawa bayi itu terjatuh dari katil tetapi pihak juri tidak mempercayainya. Spellman kemudian didakwa dan dijatuhi hukuman maksimum 22 hingga 45 tahun penjara kerana membunuh. (sumber)
4. Johnathan Fair
Credit : Daily Mail
Pada Disember 2018, Johnathan Fair sedang menjaga anak perempuan teman wanitanya yang berusia empat tahun bernama Skylar Mendez. Apabila Skylar tidak sedarkan diri ketika dalam jagaannya, Fair membawa kanak-kanak itu ke hospital.
Fair memberitahu doktor bahawa Skylar terjatuh dan kepalanya terhentak sehingga dia tidak sedarkan diri. Namun, pembedahan autopsi menunjukkan kanak-kanak itu tidak jatuh tetapi telah dipukul dengan kuat. Skylar meninggal dunia beberapa hari kemudian.
Fair disabitkan dengan kesalahan membunuh dan dibenarkan diikat jamin sebanyak USD 5 juta. Pihak berkuasa memberitahu bahawa lelaki berusia 19 tahun itu memukul Skylar kerana kanak-kanak itu telah menumpahkan air jus ke atas konsol permainan video Xbox miliknya. (sumber)
5. Alexandra Tobias
Credit : aarklife
Alexandra Victoria Tobias dan anak lelakinya berusia tiga bulan, Dylan Lee Edmondson, tinggal di Jacksonville, Florida. Pada tahun 2010, Alexandra yang ketagih bermain permainan FarmVille di Facebook telah mengamuk apabila Dylan kerap menangis dan mengganggunya.
Alexandra yang berang itu telah menggoncang bayinya itu dengan kuat. Dia kemudian keluar untuk menghisap rokok dan kembali semula ke dalam rumah untuk menggoncang bayi malang itu lagi.
Bayi malang itu kemudian dibawa ke hospital kerana mengalami kecederaan di kepala. Tidak lama selepas itu, Dylan meninggal dunia. Alexandra kemudian ditangkap dan dijatuhkan hukuman penjara selama 50 tahun kerana membunuh bayinya sendiri. (sumber)
6. Patricia Waible
Bill Nutter. Credit : washingtonpost
Patricia Waible adalah seorang pembantu jururawat di hospital Pesara Tentera di Bedford, Amerika Syarikat. Dia bertanggungjawab untuk memeriksa seorang tentera veteran Vietnam bernama Bill Nutter di hospital itu.
Nutter mengalami masalah jantung dan berisiko tinggi untuk terkena serangan jantung. Selepas pembedahan, dia hanya mampu bercakap dengan berbisik manakala kedua-dua belah kakinya telah dipotong akibat kencing manis. Selain itu, dia juga mengalami masalah neuropati di tangannya. Akibatnya, dia tidak mampu menekan butang panggilan kecemasan.
Waible sepatutnya melawat Nutter setiap jam tetapi dia menghabiskan masa berjam-jam bermain permainan video. Akibat kelalaiannya itu, Nutter meninggal dunia akibat terabai. Tidak lama selepas itu, satu siasatan jenayah dibuka di hospital itu apabila banyak keluarga yang tampil mendakwa bahawa hospital itu mengabaikan para pesakitnya. (sumber)
7. Kim Jae-beom And Kim Yun-jeong
Credit : dailymail
Kim Jae-beom dan Kim Yun-jeong adalah pasangan yang bertemu atas talian. Mereka dikurniakan seorang anak perempuan yang diberi nama Kim Sa-rang. Selepas kelahiran anak mereka, pasangan itu kerap menghabiskan masa mereka di kafe internet sehingga 10 jam lamanya.
Bayi mereka sering ditinggalkan walaupun pasangan itu kadang-kala pulang ke rumah untuk memberi susu kepada anak mereka. Kim Yun-jeong mula menyedari bahawa anak perempuannya itu mengalami penurunan berat badan tetapi tidak melakukan apa-apa mengenainya.
Pada suatu hari, pasangan itu pulang ke rumah selepas menghabiskan 12 jam bermain permainan online tetapi mendapat bayi mereka tidak lagi bernyawa. Mereka melaporkan kematian bayi mereka tetapi pihak polis menjadi curiga kerana bayi berusia tiga bulan itu terlalu kurus.
Kim Sa-rang dilahirkan seberat 2.9kg tetapi apabila dia meninggal dunia beratnya hanya 2.5kg sahaja. Pasangan itu akhirnya ditahan dan didakwa atas sebab kecuaian. (sumber)
8. Malik Terrell
Credit : fox
Adik kepada Malik Terrell percaya bahawa seorang budak berusia 15 tahun bernama Dennis King telah berkomplot dengan seorang lagi budak lelaki untuk mencuri konsol permainan video mereka. Kedua-dua beradik itu mula menyoal King tentang kehilangan konsol mereka dan mula membelasah remaja itu supaya mengaku.
Malik Terrell akhirnya memukul kepala King menggunakan tukul dan menikamnya di leher. Mereka kemudian mengalihkan mayat King menggunakan tong sampah dan membakarnya di sebuah rumah terbiar.
Keluarga King kemudian membuat laporan tentang kehilangan remaja itu. Beberapa minggu kemudian, mayat King ditemui. Malik Terrell ketika itu telah melarikan diri ke Chicago tetapi berjaya ditahan. Dia akhirnya disabitkan dengan membunuh dan dipenjarakan seumur hidup. (sumber)