Oleh pada 01 Nov 2021 kategori

Kebanyakan orang biasanya membersihkan terlebih dahulu ayam, daging atau ikan sebelum memasaknya. Proses pembersihan termasuklah membuang kotoran serta darah terlebih dahulu. Ini kerana darah juga dianggap sebagai kotoran yang boleh mendatangkan penyakit.

darah 803

Namun, terdapat sebahagian budaya di dunia di mana darah dijadikan sebagai bahan utama hidangan. Darah digunakan dalam masakan atau minuman ini dianggap sebagai taboo di kebanyakan bahagian dunia.

Berikut adalah beberapa hidangan popular yang menggunakan darah. 

1. Susu Darah - Kenya

susu darah maasai

Kaum Maasai adalah puak asli yang terdapat di Kenya dan Tanzania. Mereka dikenali di seluruh dunia kerana mengamalkan ritual tradisi memburu singa untuk mencapai alam dewasa. Satu lagi tradisi yang masih diamalkan kaum ini ialah tabiat mereka meminum darah.

Kehidupan Kaum Maasai sangat bergantung kepada haiwan ternakan mereka terutamanya lembu. Keseluruhan diet mereka merangkumi daging, susu bahkan darah lembu.

Mereka menggunakan teknik menebuk urat leher lembu untuk mengambil darah tanpa membunuh haiwan itu. Mereka meminum darah itu secara mentah, memasaknya atau mencampurkannya dengan susu lembu.

2. Czernina - Poland

czernina

Czernina adalah hidangan yang menjadi lambang budaya masyarakat Poland. Biasanya, bahan utama sup ini adalah itik. Daging itik direbus biasa sebelum dicampurkan dengan kuahnya yang diperbuat daripada darah itik segar.

Rebusan darah itik dicampur dengan cuka dan pemanis seperti madu atau sirap buah-buahan. Ada kalanya, bahan utama digantikan dengan ayam, khinzir atau arnab tetapi rebusan darah haiwan yang menjadikannya hidangan bernama Czernina.

Orang Polang secara tradisinya menghidangkan sup ini kepada orang muda yang ditolak pinangannya.

3. Sanguinaccio Dolce - Itali

sanguinaccio dolce

Hidangan seterusnya merupakan hidangan popular di Itali. Hidangan yang dinamakan Sanguinaccio Dolce ini bermaksud "Puding Darah Manis". Bahan-bahan yang digunakan untuk hidangan ini adalah sama seperti membuat puding biasa tetapi hanya darah khinzir yang membezakannya.

Hidangan ini menjadi terkenal apabila ia ditunjukkan dalam rancangan televisyen siri Hannibal musim ketiga. Pembunuh bersiri Hannibal Lector membuat hidangan ini menggunakan darah lembu dan darah mangsanya.

4. Tauhu Darah - China

tauhu darah

Di China, Tauhu Darah ini dikenali dengan pelbagai nama seperti Tauhu Gelap, Tauhu Hitam, Dadih Darah dan sebagainya. Tauhu Darah ini dibuat dengan menggumpal darah khinzir sehingga menjadi ketulan dan mempunyai ketumpatan seperti tauhu.

Tauhu Darah ini digunakan dalam pelbagai hidangan seperti nasi, mi, atau sup. Tauhu Darah menjadi masalah kepada pelancong vegetarian daripada luar negara kerana mereka biasanya memakan tauhu sebagai ganti kepada daging. Ternyata, Taudu Darah ini bukanlah makanan yang diingini vegetarian.

5. Blodplättar - Sweden

blodpl ttar

Blodplättar sebenarnya adalah lempeng atau pancake biasa tetapi apa yang membezakannya ialah ia menggunakan darah putar menggantikan krim putar (whipped cream).

Walaupun blodplättar merupakan hidangan popular Sweden, makanan seumpama ini juga boleh ditemui di seluruh Eropah. Di Sepanyol, ia dikenali sebagai filloas de sangre atau crepe darah. Hidangan ini dikenali sebagai veriohukainen Finland dan di Estonia pula ia dikenali sebagai verikäkk.

Orang Sweden bukan sahaja menggunakan darah untuk hidangan blodplättar tetapi juga pada sup, puding, roti dan sebagainya.

6. Hematogen - Russia

hematogen

Walaupun dicipta di Switzerland pada tahun 1890, Hematogen lebih popular dan menjadi sebahagian budaya di Rusia. Negara itu telah menghasilkan Hematogen sendiri sejak tahun 1920-an dan menjadi makanan kepada tentera semasa Perang Dunia Kedua.

Apa sebenarnya Hematogen itu? Ia sebenarnya bar coklat yang dihasilkan menggunakan darah lembu. Kebanyakan Hematogen kini dihasilkan seperti bar coklat tenaga dan dijual di farmasi dan pasaraya sebagai nutrisi tambahan kepada kanak-kanak.

7. Wain Ular - Asia Tenggara

wain ular

Wain ular dikenali dengan pelbagai nama di negara Asia yang berbeza. Ia juga terdiri daripada pelbagai variasi tetapi apa yang hampir sama iaitu campuran wain dengan darah ular.

Sebahagian penduduk Asia percaya bahawa darah ular berbisa adalah penawar yang mujarab terutamanya bagi masalah kesuburan lelaki. Untuk meneutralkan bisa haiwan ini, ular beracun biasanya diperap di dalam alkohol selama sebulan hingga setahun.

Ada juga kaedah menghidangkan darah ular segar yang baru dibunuh dan terus diminum bersama minuman keras. Kaedah ini biasanya agak berisiko kerana bisa ular boleh bercampur dengan darah yang diminum.

8. Sundae - Korea Selatan

sundae korea

Peringatan bagi mereka yang ingin melancong ke negara KPop ini. Berhati-hati apabila memesan Sundae. Anda mengharapkan aiskrim disaluti dengan coklat panas tetapi mungkin mendapat sesuatu di luar jangkaan.

Di Korea Selatan (juga di Korea Utara), Sundae atau Sundae Sausage bermaksud "sosej darah". Ia terdapat dalam pelbagai varieti tetapi biasanya diperbuat daripada usus lembu atau khinzir yang disumbat dengan darah.

Biasanya, bahan-bahan seperti nasi, daging atau sayur-sayuran juga dicampur ketika menghasilkan sundae dan dihidang bersama sos gochujang. Hidangan ini banyak dijual di gerai tepi jalan jadi berhati-hatilah.



Hakcipta iluminasi.com (2017)