Melalui internet, pelbagai informasi terkini sangat mudah tersebar atau bahasa modennya, viral. Penggunaan media sosial seperti Facebook dan Youtube memudahkan netizen melihat perkara-perkara baru yang terjadi di seluruh dunia.

Malangnya, tidak semua yang diperlihatkan di internet adalah perkara baik yang boleh diikuti. Ini termasuklah cabaran-cabaran pelik yang wujud di internet yang dirakam kemudian dikongsi pula di Youtube dan Facebook. Bagi netizen yang tidak berfikiran panjang, mereka akan cuba melakukan cabaran tersebut tanpa mengetahui risikonya.

Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi beberapa di cabaran di internet yang telah menyebabkan kematian kepada pelakunya. Siapa sangka, cabaran yang dibuat secara "suka-suka" ini berakhir dengan kematian yang tragis.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Swafoto Ekstrim

Swafoto atau dalam bahasa Inggerisnya "selfie" bukanlah satu perkara yang baru dan pelik. Ianya adalah satu bentuk ekspresi diri. Kebiasaannya, kaum wanita lebih gemar berswafoto berbanding lelaki. Namun, ada juga yang cuba berswafoto pada tahap yang lebih ekstrim di tempat-tempat yang merbahaya dan berkongsinya di media sosial untuk menunjukkan mereka lebih hebat.

Satu kajian bertajuk “Me, Myself and My Killfile: Characterizing and Preventing Selfie Deaths” menunjukkan antara Mac 2014 dan September 2016 sahaja, 127 kematian direkodkan akibat tindakan swafoto di tempat ekstrim ini. Malah, sesetengah tempat perlancongan popular juga telah meletakkan had kawasan yang boleh diambil swafoto bagi mengelakkan pelancong terjatuh daripada curam atau tembok yang tinggi.

2. Blue Whale Challenge

blue whale challenge

Pada tahun 2016, media sosial dibanjiri dengan fenomena cabaran "Blue Whale Challenge". Cabaran ini bermula dengan pemain akan mengikuti sebuah akaun laman sosial yang akan mengarahkan pemain melakukan beberapa siri cabaran dalam masa 50 hari.

Antara cabaran yang perlu dilakukan adalah mencederakan diri dan galakan untuk membunuh diri. Mengikut data daripada InfoSec Awareness Online, cabaran ini telah menyebabkan 130 kematian di Russia sahaja. Malah, sekiranya anda membuat carian "Blue Whale Challenge" di enjin carian Google Malaysia, anda akan melihat pautan ke laman Malaysia Suicide Hotlines di carian teratas.

3. Punch 4 Punch

punch 4 punch 653

Kebiasaannya, cabaran-cabaran yang wujud di internet ini adalah untuk menunjukkan siapa yang lebih hebat atau kuat. Ini termasuklah cabaran Punch 4 Punch ini. Dalam cabaran ini, 2 orang pemain akan menumbuk lawannya dan pihak lawan akan membalas tumbukan tersebut sehingga salah seorang pemain mengaku kalah.

Permainan ini adalah umpama paparan dalam filem "Fight Club" dan video mengenai cabaran ini dikatakan telah wujud sejak tahun 2009 lagi. Pada tahun 2014, seorang pemuda berusia 23 tahun Tommy Main mati setelah bermain cabaran ini dalam satu sambutan hari jadi.

4. Neknominate

neknominate

Neknominate, singkatan bagi Neck and Nomination adalah satu cabaran di mana pemain perlu merakamkan video mereka meminum minuman beralkohol (kebiasaannya arak) dalam masa yang pantas. Pemain kemudiannya akan mencalonkan atau mencabar orang lain untuk melakukan perkara sama dalam tempoh 24jam.

Cabaran ini asalnya bermula dari New Zealand sebelum tersebar luas ke UK dan Ireland. Lama-kelamaan, pemain yang terlibat mula melakukan perkara yang lebih ekstrim seperti meminum campuran minuman yang lebih memabukkan dan melakukan aktiviti lain sewaktu meminum alkohol ini. Antara mangsa yang maut akibat cabaran bodoh ini adalah Issac Richardson, 20 tahun yang maut akibat meminum wine, whisy, vodka dan arak dalam cabaran ini.

5. Momo

bunuh diri 363

Cabaran Momo ini lebih kurang Blue Whale Challenge. Setiap pemain akan mendapat mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada individu yang dikenali sebagai "Momo" yang mengandungi pelbagai cabaran yang perlu dilakukan. Cabaran ini dikatakan popular di Amerika Selatan, Mexico, Perancis, Jerman dan Amerika Syarikat.

Cabaran-cabaran yang diberikan oleh "Momo" ini termasuklah perlakuan yang boleh mencederakan diri sendiri, menonton filem seram secara berseorangan dan lain-lain. Seorang remaja 18 tahun dari India ditemui mati pada Ogos 2018 dan dikatakan ada kaitan dengan cabaran ini. Selain itu, terdapat juga lelaki 16 tahun dan perempuan 12 tahun yang pernah membunuh diri kerana mengikuti cabaran ini.

Kredit:

  1. The Telegraph
  2. WikiPedia
  3. DailyStar
  4. Independent
  5. CBN



Hakcipta iluminasi.com (2017)