Lanun secara umumnya dikenali ramai sebagai sekumpulan individu yang menghabiskan sebahagian besar masanya di atas kapal di laut. Mereka juga diketahui mempunyai tradisi atau gaya ada tertentu yang dianggap unik seperti memakai subang, bertatu dengan corak tertentu dan sebagainya.

Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi 7 daripada tradisi para lanun yang biasanya diamalkan suatu ketika dahulu. Kod-kod yang digunakan oleh mereka ini umpama sejenis undang-undang atau panduan bagi setiap lanun yang berada di atas sesebuah kapal.

1. Subang berfungsi sebagai alat penghalang bunyi

kapal lanun

Sesebuah kapal lanun biasanya dilengkapi dengan begitu banyak meriam bagi tujuan pertahanan dan serangan terhadap musuh. Salah sebuah kapal lanun yang terkenal, Queen Anne’s Revenge dikatakan mempunyai 40 buah meriam di atasnya. Apabila meriam-meriam ini digunakan untuk melepaskan tembakan, ia akan menghasilkan bunyi yang sangat kuat.

Pendedahan pada bunyi bising ini dalam tempoh yang panjang boleh menyebabkan pekak pada para lanun ini. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa subang yang dipakai oleh lanun ini sebenarnya berfungsi sebagai penghalang bunyi, seterusnya mengelakkan kerosakan pada gegendang telinga.

2. Subang berfungsi sebagai polisi insurans

subang lanun 974

Walaupun menghabiskan sebahagian besar daripada hidup di atas kapal, seseorang lanun tetap mahukan mayat mereka ditanam atau disemadikan di atas tanah. Kebiasaannya, subang yang dipakai oleh seseorang lanun tidaklah murah tetapi mempunyai nilai yang tinggi kerana diperbuat daripada emas atau perak.

Apabila seseorang lanun itu mati, subang yang dipakainya itu akan digadaikan untuk menanggung kos pengebumiannya. Malah, sesetengah lanun juga dikatakan mengukir nama tempat asal-usul mereka pada subang tersebut supaya mayat mereka boleh dihantar ke rumah mereka untuk urusan pengebumian sempurna.

3. Bendera merah 

bendera merah lanun

Tiada sesiapapun mahu melihat bendera merah dikibarkan oleh kapal pihak musuh. Dalam dunia lanun, apabila bendera merah dikibarkan, ianya merupakan satu amaran keras bahawa tiada belas kasihan akan diberikan pada kapal yang ditawan.

Dalam hal ini, setiap lanun yang ditawan akan dibunuh dan kapal yang ditawan juga akan dihancurkan. Bagi mengelakkan dibunuh, biasanya lanun yang kapalnya sudah ditawan akan melompat ke dalam laut bagi mengelakkan mereka ditangkap dan dibunuh.

4. Tidak semua lanun buta mata sebelah

lanun mata buta

Antara imej lanun yang sering dipaparkan adalah mereka ini kehilangan sebelah mata. Hakikatnya, lanun biasanya menutup sebelah mata mereka bagi membolehkan mereka fokus dengan lebih baik apabila melihat melalui teropong.

Selain itu, menutup sebelah mata membolehkan mereka mengawal pencahayaan pada mata dengan lebih baik. Seseorang lanun biasanya akan bergerak dari tempat yang cerah (atas kapal) dan gelap (dalam dek kapal), Apabila bergerak dari tempat yang cerah ke gelap, mereka hanya perlu membuka pelapik mata pada bahagian mata yang ditutup dan mampu melihat dengan lebih baik walaupun pada keadaan sekeliling yang gelap.

5. Kepercayaan karut terhadap subang

mitos mengenai lanun

Subang yang dipakai oleh seseorang lanun mungkin boleh dianggap sebagai harta paling bernilai bagi seseorang lanun. Selain itu, mereka juga tidak terkecuali dengan beberapa kepercayaan tahyul mengenai subang yang dipakai.

Ada lanun percaya bahawa subang yang dipakai mereka mampu menglakkan mereka daripada mabuk laut sementara ada juga yang percaya ianya mampu menyembuhkan mata mereka. Terdapat juga lanun yang percaya subang yang dipakai boleh mengelakkan mereka daripada mati lemas namun mitos ini sudah banyak kali dibuktikan tidak benar.

6. Bendera "Jolly Roger"

bendera lanun

Bendera di atas merupakan bendera lanun yang paling popular dan banyak dipaparkan dalam majalah mahupun filem. Ianya dikenali sebagai "Jolly Roger" dan terdapat beberapa variasi. Nama "Jolly Roger" pertama kali disebutkan dalam buku terbitan tahun 1724, A General History of the Pyrates tuilsan Charles Johnson.

Walau bagaimanapun, setiap kumpulan lanun memiliki bendera unik milik mereka. Kapal milik Blackbeard misalnya menggunakan bendera lain yang memaparkan rangka manusia memegang lembing dan gambar hati dengan 3 titisan darah yang menggambarkan musuh akan dibunuh sekiranya tidak menyerahkan diri.

7. Lanun yang tercedera tetap dibayar pampasan

tugas lanun 962

Walaupun lanun dilihat sebagai manusia yang tidak mempunyai undang-undang dan belas kasihan, mereka tetap menghargai setiap ahli mereka di atas kapal termasuklah anggota mereka yang tercedera.

Ini bermakna, sekiranya seseorang lanun itu tercedera, dia tetap akan menerima bayaran pampasan yang diperolehi daripada keuntungan daripada kempen yang dijalankan. Dalam erti kata lainnya, mereka langsung tidak akan disisihkan walaupun mungkin tidak dapat bekerja di atas kapal.

Kredit:

  1. Livescience
  2. Ranker
  3. Grunge



Hakcipta iluminasi.com (2017)