Pada masa kini, populariti sesuatu kawasan tempat pelancongan popular mudah tular kerana adanya kuasa sosial media. Sama juga seperti kedai makan popular, apabila sudah tular maka berpusu-pusulah orang ramai dari luar datang ke tempat yang ditularkan tersebut.

Walaupun populariti sesuatu kawasan pelancongan itu bagus untuk ekonomi masyarakat setempat, amat mendukacitakan sekali apabila hanya segelintir sahaja yang benar-benar menghargainya dan menjaganya dengan baik.

BESARKAN TEKS     A-  A+

pusat pelancongan tutup sebab pelancong

Satu ketika dahulu pihak Iluminasi pernah berkongsi bagaimana populariti filem Bollywood, 3 Idiots telah membuka mata masyarakat antarabangsa terhadap keindahan kawasan Ladakh dan seterusnya menjadikannya begitu popular. Malangnya, akibat sampah sarap dan kebodohan manusia sendiri, kawasan tersebut dicemari dengan sampah sarap dan mengalami pelbagai jenis kerosakan.

Kali ini, kami akan kongsikan pula beberapa kawasan pelancongan popular yang terkenal kerana keindahannya sebelum "rosak" akibat tabiat buruk sebahagian besar pelancong yang hanya pentingkan diri sendiri.

1. Air Terjun Guaira, Brazil

air terjun guaira

Air Terjun Guaira terletak di Sungai Parana yang menjadi kawasan sempadan antara negara Paraguay dan Brazil. Walaupun bukanlah air terjun yang tertinggi di dunia dengan ketinggian hanya 114 meter, ianya mempunyai kapasiti air yang sangat banyak iaitu dua kali ganda daripada air terjun Niagara.

Bunyi deruan air terjun ini sangat kuar dan dikatakan boleh didengari dari jarak 30 kilometer jauh. Keindahan air terjun ini telah menarik begitu ramai pelancong setiap tahun. Malangnya, pihak tentera Brazil telah memusnahkannya pada tahun 1982 bagi membolehkan pembinaan Empangan Itaipu dimulakan.

2. Piramid Nohmul, Belize

piramid nohmul

Nohmul yang terletak di kawasan Semenanjung Yucatan (kini dikenali sebagai Belize) merupakan sebuah tapak arkeologi tinggalan masyarakat zaman Maya dahulu. Ianya turut menarik ramai pelancong dan antara tarikan utamanya adalah Piramid Nohhmul setinggi  17 meter. 

Pada 13 Mei 2013, struktur terbesar di Nohmul telah dimusnahkan oleh sebuah syarikat pembinaan. Pihak kontraktor telah menggunakan jengkaut dan jentolak untuk memusnahkan sebahagian besar struktur piramid pusat untuk mendapatkan kandungan batu kapurnya untuk membuat jalan di sebuah kampung yang berhampiran dengan batu kerikil.

3. Maya Bay (Pulau Phi Phi), Thailand

maya bay

Maya Bay merupakan satu lagi lokasi percutian yang tiba-tiba tular akibat pengaruh filem The Beach lakonan Leonardo DiCaprio. Kawasan ini terletak di Pulau Phi Phi di Thailand dan sewaktu zaman kemuncaknya telah menerima sehinga 5000 orang dalam sehari.

Kedatangan terlalu banyak bot dalam setiap hari dikatakan telah mengganggu ekosistem disini dan merosakkan kawasan terumbu karang. Keadaan ini semakin teruk dengan pertambahan sampah sarap yang tidak terkawal di kawasan ini. Pada tahun 2018, pihak berkuasa telah mengumumkan kawasan ini akan ditutup selama-lamanya bagi membolehkan kawasan tersebut dipulihara seperti keadaan sebelumnya.

4. Terumbu Karang di Christmas Island, Australia

kemusnahan terumbu karang 985

Segala pembakaran dan pencemaran yang dilakukan oleh manusia telah menyebabkan peningkatan suhu sekeliling dan pemanasan global. Namun, mungkin ramai yang tidak sedar perubahan suhu ini akan mengganggu ekosistem haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Salah satu kawasan pelancongan yang terkesan adalah kawasan terumbu karang di Christmas Island, Australia. Dalam tempoh hanya 10 bulan sahaja, dianggarakan 90% daripada terumbu karang yang ada disekeliling kawasan ini telah musnah sama sekali akibat peningkatan suhu air lau.

5. Chacaltaya Glacier, Bolivia

chacaltaya glacier

Kawasan glacier ini dikatakan terbentuk 18,000 tahun dahulu dan merupakan antara kawasan glacier tertinggi di Amerika Selatan. Ianya menarik minat pelancong dari seluruh dunia terutamanya bagi penggemar sukan ski.

Malangnya, kerana pemanasan global, ais di kawasan ini mulai mencair. Keadaan ini menjadikannya tidak lagi sesuai untuk aktiviti ski dan seumpanya. Pada tahun 2012, kawasan pelancongan tanah tinggi ini akhirnya telah diisytiharkan tutup untuk selama-lamanya.

6. Pulau Raja Ampat, Indonesia

pulau raja ampat

Di Indonesia, Raja Ampat merupakan sebuah pulau yang merupakan syurga bagi penyelam laut dalam kerana keindahan terumbu karang disini. Malangnya, pada tahun 2017 sebahagian besar kawasan terumbu karang ini telah musnah dimusnahkan oleh kapal persiaran besar yang datang ke kawasan ini.

Kerugian dan kerosakan yang disebabkan oleh tragedi ini dianggarkan sekitar $18.6 juta. Pihak kerajaan kini dalam usaha mengembalikan semula ekosistem terumbu karang disini sebaik sahaja mereka memperoleh bayaran pampasan daripada syarikat insurans kapal persiaran tersebut.

7. Duckbill, Oregon

Diberi nama Duckbill memandangkan batuan semulajadi ini mempunyai bentuk paruh itik. Batu setinggi 7 kaki ini menjadi lokasi mengambil gambar popular kerana keunikan bentuknya itu. Malangnya, pada tahun 2016 batu ini telah ditemui jatuh atau roboh. Pihak berkuasa pada mulanya menyangka ia berlaku secara semulajadi memandangkan tapaknya lebih kecil dan mungkin tidak lagi mampu menahan beban di atasnya.

Walau bagaimanapun, seorang pemilik drone telah mendedahkan beliau telah berjaya merakamkan kejadian sebenar yang berlaku. Dalam video tersebut, kelihatan sekumpulan remaja sebenarnya telah bertindak menghancurkan batu itu kerana sebelum kejadian tersebut salah seorang rakan mereka telah patah kaki ketika cuba memanjatnya.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. Insider
  3. Mongabay News
  4. The New York Times



Hakcipta iluminasi.com (2017)