Keratapi adalah satu bentuk pengkutan utama suatu masa dahulu. Tidak seperti kereta atau kapal terbang, kereta api yang bergerak di atas landasan ini mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Sekiranya anda mengembara dengan menaiki kereta api, anda dapat melihat pemandangan yang tidak ada pada pengangkutan awam atau komersial yang lain.
Namun, terdapat beberapa landasan kereta api di dunia yang dianggap ekstrem dan kreatif pada masa yang sama. Ia mungkin juga disebabkan keadaan terdesak jurutera yang membinanya. Berikut adalah senarai beberapa landasan kereta api yang dianggap ekstrem ini.
BESARKAN TEKS A- A+
7. Laluan Terowong Gotthard
Utara dan Selatan Eropah mungkin berbeza secara geografi dan dipisahkan oleh puncak-puncak gunung Alpine yang menjulang tinggi di atas hutan dan tanah yang lembab. Namun, Terowong Gotthard yang luar biasa ini telah menjadi penyelesaian kepada masalah bagi laluan kereta api untuk menghubungkan kedua-dua kawasan Eropah yang dipisahkan oleh laluan sukar.
Terowong ini merupakan yang terpanjang di dunia dengan jarak 56km dan juga terowong paling dalam dengan kedalaman sebanyak 2.2km di bawah tanah pada sesetengah laluannya. Terowong berkembar yang menghubungkan bandar Ersfeld, Jerman dengan Bandar Bodio, Switzerland yang terletak berhampiran dengan sempadan Itali ini telah banyak menggantikan jumlah trafik trak yang mengangkut barang setiap tahun.
6. Landasan kereta api Pasar Maeklong
Bermain di atas landasan kereta api adalah tidak digalakkan, tetapi di landasan kereta api Pasar Maeklong di Bangkok, Thailand, ia adalah perkara yang berbeza. Anda bukan sahaja akan melihat orang berkumpul di sekitar landasan, malah keseluruhan pasar di bina dan dibongkar setiap hari.
Apabila pasar bermula, gerai-gerai menjual barangan akan dibuka di atas landasan di mana kereta api akan melaluinya. Setiap kali kereta api tiba, barangan jualan akan dialihkan dengan pantas, begitu juga peniaga. Mereka perlu memberi perhatian pada waktu ketibaan kereta api untuk kekal selamat berada di pasar ini.
Kepadatan pasar ini membuatkan proses pengalihan gerai menjadi agak rumit. Namun, dengan kerjasama beberapa peniaga lain yang membantu, membolehkan ianya dilakukan tepat pada masanya. Walaupun sibuk dengan urusan jual beli, para peniaga di sini telah dilatih untuk menjadi peka supaya kejadian tidak diingini dapat dielakkan.
5. Landasan Dunia Indah Katoomba
Australia terkenal sebagai negara yang mempunyai kawasan tanah rata dan padang pasir yang luas. Namun, Australia juga mempunyai kepelbagaian topografi. Pergunungan Biru di New South Wales bukan sahaja satu keindahan alam semula jadi malah terdapat satu sistem kereta api yang menjadi tarikan pelancong.
Terkenal dengan landasan dan kereta api penumpang yang paling curam di dunia, Landasan Dunia Katoomba Scenic telah dibina pada penghujung tahun 1800 dan kaya dengan sejarah. Pada awalnya ia dibina bagi tujuan pengangkutan semasa operasi perlombongan.
Sistem pengangkutan yang beroperasi dengan bantuan tarikan kabel ini akan menarik kereta api menaiki cerunan yang curam dan memberi cabaran yang hebat. Dengan landasan pada kedudukan 52 darjah atau 128% kecuraman, ia kini beroperasi sebagai tarikan pelancong dan menawarkan pemandangan gunung, hutan dan tebing yang memukai serta melalui beberapa kawasan yang sukar.
Dalam satu bahagian penjelajahan kereta api ini, ia akan turun ke bawah sehingga 309 meter dan akan melalui satu terowong di sisi tebing gunung di situ. Satu pemandangan yang mungkin sukar untuk dilupakan.
4. Tren-a-las Nubes, Argentina
Kawasan Andes dikenali sebagai salah satu formasi geografi luar biasa yang mempunyai beberapa gunung tinggi di dunia. Tren-a-las Nubes yang bermaksud "kereta api awan" di Argentina terletak pada ketinggian 4,197 meter di atas permukaan laut. Melalui beberapa landskap memukau dan zon iklim berbeza, kereta api ini bergerak melintasi tanah rendah yang gersang, halangan berbatu dan juga di permukaan tinggi di mana udaranya cukup nipis dan memberi cabaran kepada mereka yang tidak biasa.
Malah, bantuan pernafasan kecemasan disediakan untuk menangani simptom masalah kesihatan akibat daripada ketinggian luar biasa yang dilalui oleh kereta api. Pembinaan landasan ini bermula pada tahun 1921 untuk menghubungkan kawasan utara Argentina dan Chile dengan merentasi pergunungan Andes.
Disebabkan kepelbagaian ketinggian permukaannya, pembinaan landasan kereta api ini banyak bergantung kepada jambatan besi untuk memudahkannya merentasi dari satu gunung ke gunung yang lain. Pembinaan landasan yang teliti juga dilakukan pada laluan di tepi lereng bukit agar kereta api tidak mudah tergelincir terutamanya pada musim sejuk.
Ia mendapat jolokan kereta api awan adalah kerana penghasilan wap dalam cuaca sejuk yang kelihatan menakjubkan, bukanlah kerana ia melalui kawasan awan semula jadi.
3. Landasan Qinghai-Tibet
Merupakan landasan kereta api tertinggi di dunia, ketinggian maksimumnya adalah 5071 meter dari permukaan laut manakala ketinggian puratanya adalah sebanyak 4500 meter tinggi. Landasan ini juga merentasi terowong kereta api tertinggi di dunia. Sebahagian daripada landasan ini juga kadangkala dilanda cuaca sejuk yang teruk.
Landasan ini memegang beberapa rekod dunia seperti terowong dataran tinggi terpanjang yang terletak di Gunung Kunlun iaitu dengan jarak 1686 meter panjang dan juga Terowong Fenghuoshan yang merupakan terowong paling tinggi, iaitu 4905 meter dari permukaan laut.
Landasan ini diiktiraf sebagai kejayaan kejuruteraan China dengan pelbagai penyelesaian kejuruteraan yang bijak dan mencabar. Ia disebabkan pembinaan jarak jauh landasan ini yang melalui beberapa kawasan terpencil dan juga pembinaannya pada beberapa bahagian ais yang tidak percah cair.
Ketinggian landasan ini bukan sahaja memberi cabaran kepada penumpang kereta api, malah kepada pekerja pembinaan sehingga ada beberapa tempat kemudahan bekalan oksigen disediakan. Penumpang yang mengisytiharkan tentang masalah kesihatan mereka semasa mengisi borang juga akan dibekalkan dengan topeng oksigen setiap orang.
2. Landasan Mauritania, Gurun Sahara
Landasan Mauritania ini merupakan salah satu laluan kereta api di padang pasir yang panas. Dengan jarak sepanjang 703km, ia merentasi padang pasir Sahara yang jauh terpencil dari ketamadunan. Landasan yang digunakan oleh kereta api nasional ini merangkumi sebahagian besar negara Afrika iaitu Mauritania.
Kereta api yang mengangkut barangan ini adalah yang terpanjang di dunia dengan 2.4km panjang dan digunakan untuk mengangkut bijih besi jarak jauh menyeberangi padang pasir ke lokasi pelabuhan, dimana ia akan dieksport keluar.
Memandangkan negara ini hampir sepenuhnya gurun dan padang pasir, pengeksportan bijih besi memainkan peranan penting dalam kelangsungan ekonomi negara. Walaupun sebahagian besar kereta api ini bertujuan untuk mengangkut barangan, penumpang dapat menaikinya dengan percuma untuk tempat berdiri dan bayaran murah untuk tempat yang mempunyai kerusi.
Namun, sekiranya kereta api itu rosak atau berhenti di tengah padang pasir, ia boleh membawa kemudaratan kepada pelancong. Antara risiko lain menaikinya adalah kepanasan melampau, ribut pasir, dehidrasi dan pelbagai lagi.
1. Stesen kereta api Dawlish, laluan Exeter ke Plymouth
Kereta api di tepi pantai dengan tembok ombak dan juga terowong tebing laut ini mempunyai banyak gabungan yang menjadikan ia sebagai laluan kereta api ekstrem dan paling berbahaya. Tambahan pula ketika cuaca buruk boleh menyebabkan landasannya rosak akibat hakisan dipukul ombak.
Namun, landasan Stesen Kereta api Dawlish di selatan England ini mempunyai pemandangan yang begitu indah walaupun berbahaya tidak kira sama ada cuaca baik ataupun buruk. Pukulan ombak yang kuat seringkali memukul kereta api dan dilihat melimpah sehingga ke landasan. Ia merupakan kawasan yang sempurna untuk tujuan fotografi.
Bukan sahaja pemandangan cantik itu boleh dilihat di tepi pantai sewaktu tembok dipukul ombak, malah treknya yang melintasi terowong laut tertutup yang terletak di selatan stesen itu juga mempunyai pemandangan yang menakjubkan.