kilang amazon

Sebaik sahaja anda menekan butang "Place Your ORder", pasukan pekerja di gudang Amazon bertungkus-lumus untuk memastikan barangan yang dipesan sampai di hadapan pintu rumah anda secepat mungkin.

Bagi kebanyakan kita yang hanya berada di hadapan komputer di rumah, Amazon adalah salah satu kemewahan dunia moden yang sangat hebat, namun bagi mereka yang bekerja di gudang ini, ia adalah satu mimpi negeri.

Amazon digelarkan sebagai salah satu tempat kerja paling teruk di Amerika Syarikat, dan iluminasi.com kongsikan 7 fakta mengejutkan mengenai bekerja di gudang Amazon.

1. Anda boleh dipecat oleh program Kecerdasan Pintar (AI)

pekerja amazon boleh dipecat oleh program ai

Amazon mahu pekerja mereka untuk menjadi sangat produktif dan mereka tidak takut untuk memecat pekerja jika dilihat seperti tidak cekap. Para pekerja Amazon dilengkapkan dengan sebuah program yang dikenali sebagai "ADAPT", yang membolehkan mereka mengesan segala kerja yang dilakukan.

Program ini mengesan berapa banyak barang yang diimbas oleh para pekerja, dan jika anda berhenti walaupun sesaat, ia dapat dikesan yang membolehkan anda dipecat.

Secara purata, pekerja Amazon dikehendaki untuk mengimbas item baru bagi setiap 11 saat, yang membawa kepada lebih daripada 300 item sejam.

Jika anda berehat walaupun ke tandas, mesin tersebut akan menambahkan "waktu tugasan" dan jika ia terlalu tinggi, anda akan dipecat. Para pekerja gudang Amazon memberitahu bahawa mereka pernah melihat pekerja yang sudah 5 tahun bekerja dibuang begitu sahaja kerana hal ini.

Dalam satu kes saman, sebuah gudang Amazon terpaksa melaporkan jumlah pekerja yang dipecat dan jumlahnya agak memeranjatkan. Sistem ADAPT gudang ini sahaja telah memecat 300 orang pekerja sepenuh masa dalam setahun.

2. Para pekerja kencing dalam botol dan tong sampah

pekerja amazon kencing dalam botol

Apabila berhenti sesaat pun boleh membuatkan anda kehilangan kerja, maka urusan ke tandas boleh membunuh kerjaya anda di Amazon. Hal ini menjadi lebih buruk jika tugasan anda berada jauh dari tandas.

Sesetengah pekerja Amazon mengaku bahawa untuk terus bekerja untuk syarikat ini, mereka membuang air kecil di dalam botol dan tong sampah. Bukan semua orang sanggup melakukannya, namun bagi mereka yang tidak dapat menahan, mereka terpaksa melakukannya.

Malah, ada yang mengaku tidak minum walaupun setitik air dalam tempoh 10 jam untuk mengelakkan daripada membuang air kecil, manakala pekerja lain yang menahan kencing telah mengalami jangkitan saluran kencing.

Hal ini bertambah buruk bagi pemandu penghantaran di mana ada yang mengaku bahawa untuk menghantar barangan tepat pada masa, mereka membuang air besar di dalam van penghantaran.

Kalau pekerja wanita, takkan kencing dalam botol juga, kan?

3. Kematian Thomas Becker yang kontroversi

kematian thomas becker kerana amazon

Ketika Thomas Becker mengalami serangan jantung di gudang Amazon pada tahun 2017, dia merayu kepada rakan-rakan sekerjanya: "Jangan biarkan saya mati". Namun, mereka tetap membiarkannya sehingga mati.

Salah seorang rakan sekerja Thomas yang melihat kejadian itu menelefon penyelia bertugas dengan serta-merta dan meminta mereka menelefon ambulans, namun pihak pengurusan gudang Amazon tersebut lebih mengambil berat tentang keselamatan premis mereka berbanding nyawa pekerja mereka.

Pihak pengurusan meminta semua orang yang hadir untuk memberikan maklumat peribadi, termasuklah nombor keselamatan sosial dan tarikh lahir, sebelum meminta bantuan. Dalam 

Sementara itu, tiada apa yang dilakukan untuk membantu Thomas. Terdapat kotak-kotak defibrillator di sekitar gudang yang dapat menyelamatkan nyawanya. Namun, kotak-kotak tersebut kosong tanpa alat tersebut, yang hanya diletakkan di dinding sebagai hiasan.

Jadi, tiada siapa yang dapat melakukan apa-apa sehinggalah bantuan kecemasan tiba.

Selepas 25 minit Thomas diserang sakit jantung, barulah ada yang menelefon 911 dan apabila mereka sampai, pihak pengurusan enggan membenarkan mereka masuk melalui pintu untuk memuatkan barangan, yang mana terus membawa mereka ke lokasi Thomas.

Sebaliknya, pembantu kecemasan pula disoal siasat di pintu, dan dibawa masuk melalui jalan yang jauh dalam premis tersebut, melambatkan proses menyelamatkan Thomas selama 7 minit. 

Sebaik sahaja mereka tiba di lokasi Thomas rebah, pekerja malang ini sudah berhenti bernafas.

4. Pekerja Amazon mengalami 4 kali ganda kadar kecederaan

pekerja amazon berhadapan kadar kecederaan 4 kali ganda

Walaupun risiko untuk dipecat di gudang Amazon agak tinggi, namun risiko untuk cedera adalah lebih tinggi. Satu gudang melaporkan 422 kecederaan dalam setahun sahaja, yang mana lebih daripada 4 kali ganda bagi purata industri ini.

Kadar kecederaan Amazon yang sangat tinggi mempunyai kaitan langsung dengan quota mereka yang tidak terhingga.

Permintaan yang terlalu tinggi membuatkan para pekerja terpaksa mengambil jalan pintas dan tidak mengendahkan garis panduan untuk menyiapkan tugasan.

Tetapi di gudang Amazon, mengalami kecederaan bukanlah satu alasan untuk berehat. Sebab itu gudang-gudang mereka dilengkapi dengan mesin layan diri perubatan percuma kepada sesiapa sahaja.

Seorang pekerja memberitahu wartawan bahawa dia memulakan kerja dengan memakan Advil seperti memakan gula-gula kerana sakit seluruh badan.

5. 6 kematian dalam setahun

kematian di gudang amazon

Kematian Ernest Becker bukanlah satu-satunya kejadian melibatkan Amazon. 2 tahun kemudian, seorang lagi pekerja Amazon maut akibat serangan jantung. Dan sekali lagi, pasukan Amazon membiarkan dia terbaring di atas lantai selama 20 minit.

Di antara November 2018 dan November 2019, terdapat 6 kematian yang berlaku di gudang Amazon dan syarikat ini berjaya menyalahkan pihak lain. Satu-satunya kes yang mana Amazon dipertanggungjawabkan adalah dalam kes Phillip Lee Terry yang dihempap sehingga maut oleh sebuah forklift pada tahun 2017.

Phillip merupakan bekas ahli pemasaran tanpa pengalaman mengendalikan jentera berat. Namun sebaik sahaja dia diambil bekerja di Amazon, dia dipertanggungjawabkan untuk memandu dan membaiki forklift tanpa sebarang latihan.

Phillip tidak mengetahui tentang langkah berjaga-jaga yang diperlukan ketika berkaitan dengan forklift, dan ketika dia cuba membaiki jentera itu, sebuah platform seberat 544 kilogram menghempapnya.

Mahkamah secara ringkas memutuskan bahawa Amazon bersalah dan syarikat yang menjana keuntungan RM302 bilion pada tahun itu, hanya didenda RM117,000.

6. Pemungut barang Amazon berjalan 32 kilometer sehari

picker amazon

"Stower" dan "Picker" adalah pekerja yang memungut segala barangan dan membawanya untuk pembungkusan, jadi tugasan mereka memerlukan banyak berjalan.

Malah, adalah menjadi perkara biasa untuk para pekerja ini berjalan sekitar 32 kilometer sehari dan Amazon cuba untuk memperlihatkan perkara ini sebagai sesuatu yang positif.

Amazon juga mempunyai video latihan yang mana pekerja bangga kerana kehilangan 9 kilogram hasil daripada banyak berjalan.

Namun bagi pekerja, ia bukanlah sesuatu yang menyeronokkan. Kebanyakan daripada berjalan ini dilakukan di atas lantai kongkrit, membuatkan para pekerja tersangat letih dan memerlukan ubat-ubatan secara kerap.

Seorang pekerja memberitahu bahawa dia berasa seperti dilanggar dengan lori sampah, dan mengaku mengambil sekurang-kurangnya 4 ubat penahan sakit setiap hari.

Amazon mempertahankan diri mereka denagn berkata bahawa mereka cuba untuk menggantikan kerja ini oleh robot, namun statistik menunjukkan bahawa robot akan melakukan kerja dengan lebih teruk.

Di kilang-kilang di mana stower dan picker adalah robot, para pekerja pembungkusan terpaksa bekerja 3 hingga 4 kali ganda lebih pantas, memberikan tekanan yang lebih kepada badan pekerja.

Untuk mengikut rentak kerja robot lebih teruk daripada berjalan, dan hasilnya, kadar kecederaan adalah lebih tinggi di gudang-gudang Amazon yang menggunakan robot.

7. Pekerja Amazon cenderung untuk cuba bunuh diri

pekerja amazon cenderung bunuh diri

Wartawan dari Daily Beast menyemak panggilan 911 dari gudang Amazon dan mendapati bahawa antara Oktober 2013 dan Oktober 2018, responden kecemasan dihantar ke gudang Amazon untuk campur tangan dalam cubaan bunuh diri sekurang-kurangnya 189 kali.

Jumlah ini adalah lebih rendah berbanding yang sebenar kerana penyiasatan mereka ini hanya melihat kepada seperempat daripada gudang-gudang Amazon di Amerika Syarikat sahaja dan tidak melihat rekod di negara lain.

Para pekerja yang cuba membunuh diri adalah kerana pelbagai sebab, tetapi hampir semua sebab tersebut berasal dari sistem kuota Amazon.

Satu panggilan datang dari seorang wanita di Florida, yang berkata bahawa dia akan "pulang ke rumah dan bunuh diri" kerana dia dipecat disebabkan tidak cekap. 

Satu lagi panggilan dibuat oleh seorang lelaki yang mempertimbangkan untuk mencederakan diri sendiri kerana "semua permintaan yang diletakkan kepadanya oleh majikan".

Rujukan:

1. The Daily Beast

2. NY Post

3. Chicago Tribune



Hakcipta iluminasi.com (2017)