Rambut merupakan mahkota bagi setiap wanita terutamanya. Sudah tentu ramai yang nak mahkota cantik lagi berseri bukan? Bahkan ramai juga yang inginkan rambut lebat seperti artis Bollywood. Kini, terdapat banyak salon rambut yang menawarkan produk-produk rambut akan tetapi ada di antara anda yang berasa risau dengan kandungan bahan yang digunakan.
Hal ini kerana terdapat beberapa produk rambut yang mengandungi banyak bahan kimia seperi parabens, sodium lauryl sulphate (SLS) dan lain-lain. Sebenarnya, ramai yang masih tidak ambil peduli tentang kandungan sesuatu produk rambut. Untuk pengetahuan anda, bahan-bahan kimia inilah yang merosakkan rambut serta kulit kepala dan menyumbang kepada masalah keguguran rambut anda.
BESARKAN TEKS A- A+
Masalah keguguran rambut bukan asing lagi bagi kaum wanita khususnya. Sejujurnya, memang sukar untuk memilih produk rambut mana yang sesuai digunakan walaupun sudah terdapat banyak produk rambut di luar sana yang menggunakan bahan organik.
Okay, di sini terdapat 7 petua yang menarik untuk lebatkan rambut anda dengan hanya menggunakan bahan semula jadi. Sememangnya bahan semula jadi lebih berkesan untuk lebatkan rambut anda.
#1 Minyak kelapa
Panaskan minyak kelapa dan urut kulit kepala menggunakan minyak kelapa tersebut dengan hujung jari. Lakukan urutan membulat dan tidak terlalu kuat tekanannya. Kemudian, balutkan rambut anda dengan tuala hangat. Biarkan ia selama setengah jam dan cuci dengan menggunakan syampu. Ulangi kaedah ini sekurang-kurang sekali seminggu untuk memberikan kesan rambut yang lebih tebal dan panjang secepat mungkin.
#2 Daun lidah buaya
Ambil dua atau tiga helai daun dan potong kepada dua bahagian. Perah gel yang terkandung di dalam daun tersebut dan sapukan rata pada kulit kepala dan rambut. Biarkan selama setengah jam. Bilas dengan air sederhana suam. Lakukan sekali atau dua kali dalam masa seminggu untuk mendapatkan rambut sihat dan lebat. Mengambil satu sudu jus daun lidah buaya setiap hari ketika perut kosong juga mampu membantu melebatkan rambut.
#3 Telur
Pecahkan dua biji telur dan kacau hingga pecah kuning dan sebati. Sapu adunan telur ke atas rambut yang sedia basah. Biarkan selama 10 hingga 15 minit. Cuci rambut dengan air sederhana panas dengan syampu yang sesuai untuk kulit kepala anda agar bau hanyir telur tidak melekat. Cuba lakukan kaedah mudah ini sekali seminggu untuk mendapatkan hasil rambut tebal yang lebih cepat.
#4 Kulit buah oren
Okay, selalunya ramai yang gemar makan buah oren dan buang kulitnya ke dalam tong sampah kan? Lepas ni kalau nak makan, sila ingat untuk simpankan kulit tersebut ya. Ambilkan kulit buah oren dan tumbuk sehingga lumat. Sapu rata di atas rambut dan kulit kepala. Biarkan selama 15 hingga 20 minit dan cuci sehingga bersih. Lakukan sekurang-kurangnya sekali dalam masa seminggu untuk membantu pertumbuhan rambut pada kulit kepala.
#5 Avokado + pisang
Selain dijadikan sebagai makanan bayi, kombinasi ini juga sesuai bagi melebatkan rambut anda. Lumatkan isi buah avokado bersama pisang dan gaul sehingga rata. Kemudian, sapukan campuran dua buah ini ke atas kulit kepala berserta urutan ringan. Biarkan ia mengering selama setengah jam agar khasiat kedu-dua buah ini meresap masuk ke dalam kulit kepala. Cuci rambut dengan air suam selama 15 minit bersama syampu. Rambut akan kelihatan lebih tebal dan sihat setelah rambut kering sepenuhnya.
#6 Daun inai
Ambil beberapa helai daun inai dan kisar bersama sedikit air. Kisar sehingga ia menjadi seakan pes dan biarkan selama beberapa jam. Gunakan pes tersebut ke atas kulit kepala dan perap rambut dengan topi mandian selama tiga jam. Cuci rambut dengan air sehingga bersih bersama conditioner. Amalkan sebanyak dua kali seminggu untuk menggiatkan lagi pertumbuhan rambut dengan lebih pantas.
#7 Daun pandan + santan
Kombinasi antara daun pandan dan santan juga dapat lebatkan rambut anda. Gunakan daun pandan yang sudah ditumbuk, campurkan ia dengan sedikit air dan perah. Kemudian, ambil santan, campurkan dengan pandan tadi dan kacau sehingga rata. Biarkan ia selama setengah hari dan anda boleh sapukan campuran tadi pada rambut anda. Dalam masa 45 minit atau lebih (lagi lama lagi bagus), anda sudah boleh bilas dengan air. Lakukan seberapa kerap yang mungkin untuk dapatkan hasilnya.
Selamat mencuba!
Rujukan :