Kita sedia maklum bahawa pelbagai peralatan awam seperti tombol pintu, butang lif atau troli pasaraya mempunyai pelbagai jenis kuman dan bakteria. Namun, ramai yang tidak menyedari bahawa kuman berbahaya juga boleh berada pada pelbagai jenis peralatan di rumah.
Satu kajian mendapati bahawa lebih daripada 340 bakteria berbeza pada 30 objek berlainan di kediaman anda. Semua sedia maklum bahawa mangkuk tandas atau tong sampah mungkin merupakan benda paling kotor di rumah anda.
BESARKAN TEKS A- A+
Sebenarnya, banyak lagi barang kegunaan harian yang kotor dan tidak dibersihkan dengan kerap. Berikut adalah senarai benda paling kotor di rumah selain mangkuk tandas dan tong sampah.
7. Alat kawalan jauh
Ketika anda menghidupkan TV, mengubah saluran atau menyesuaikan volume, anda pasti tidak terfikir tentang bakteria yang terdapat pada alat kawalan jauh di rumah. Alat ini digunakan hampir setiap orang yang berada di rumah dan ia sebenarnya sangat kotor.
Satu ujian yang dijalankan mendapati bahawa sebanyak 55% alat kawalan jauh mempunyai kulat dan ragi (yeast). Anda mungkin menjamah makanan ringan, menggaru tubuh dan melakukan pelbagai perkara ketika memegang alat kawalan jauh.
Tidak sukar untuk membersihkan alat ini. Anda boleh gunakan tisu pembasmi kuman atau air campuran alkohol dan digosokkan menggunakan tuala atau tisu. Pastikan anda keluarkan bateri dan cuci di bahagian dalam juga.
6. Pemegang pili
Setiap kali membersihkan tangan sama ada di dapur atau tandas, anda perlu menyentuh atau membuka paip terlebih dahulu. Ini menyebabkan bahagian kepala paip mempunyai banyak bakteria.
Lebih buruk lagi, anda perlu menutup semula kepala paip yang tercemar selepas mencuci tangan. Ini membuatkan tangan anda masih mengandungi bakteria walaupun selepas dibersihkan.
Didapati bahawa 27% pemegang pili di rumah mengandungi sejenis bakteria yang dikenaliStaphylococcus. Dianggarkan juga bahawa terdapat sebanyak 2,786 bakteria pada setiap inci persegi pemegang pili terutamanya di dalam tandas.
5. Tombol dapur memasak
Kami percaya bahawa anda sering membersihkan dapur memasak daripada percikan minyak atau makanan. Namun, ramai yang terlepas pandang bahawa tombol dapur gas anda sebenarnya jarang dibersihkan dengan betul dan menyebabkan pembentukan bakteria.
Kajian mendapati sebanyak 14% tombol dapur gas mempunyai bakteria coliformsementara satu pertiga tombol dipenuhi dengan kulat dan ragi.
Untuk memastikan ia sentiasa bersih terutamanya pada bahagian dalam tombol, cabut tombol dan rendamkan dalam air panas yang dicampurkan dengan sabun seminggu sekali.
4. Sinki dapur
Walaupun ada mungkin sudah mengetahui hal ini, sinki dapur sebenarnya lebih kotor daripada apa yang anda sangkakan. Dianggarkan sebanyak 5,000 mikroorganisma berada pada setiap inci persegi sinki dapur dan beribu kali ganda lebih banyak bakteria daripada pemegang tandas anda.
Sinki dapur merupakan tapak pembiakan bakteria kerana persekitarannya yang lembap dan menjadi tempat anda meletakkan makanan mentah seperti daging atau ikan. Itu belum termasuk sisa makanan yang melekat seperti lemak atau minyak.
Kira-kira 45% sinki dapur mengandungi bakteria coliformdan 27% diuji mengandungi kulat. Malah, banyak bakteria E. coli di sinki dapur berbanding tandas. Membersihkan sinki dapur dengan kerap dan betul adalah penting untuk menjaga kesihatan keluarga anda.
3. Papan pemotong
Papan pemotong boleh terdedah kepada pelbagai bakteria berbeza. Ia mungkin berpunca daripada daging mentah, buah-buahan atau sayur-sayuran yang anda potong.
Jika tidak dibersihkan dengan betul, ia mampu menjadi tempat pembiakan bakteria. Dianggarkan secara puratanya papan pemotong yang tidak dibersihkan dengan betul mempunyai 18% bakteria coliformdan 14% kulat dan ragi.
Papan pemotong juga boleh mengandungi 200 kali lebih banyak bakteria tinja berbanding tempat duduk tandas jika tidak dibersihkan dengan betul. Selain membersihkannya dengan cara yang betul, anda juga boleh menggunakan papan pemotong berasingan untuk barang dapur yang berbeza.
2. Bekas berus gigi
Sebelum memasukkan berus gigi ke dalam mulut, pernahkah anda terfikir berapa banyakkah bakteria terkumpul yang ada padanya? Bilakah kali terakhir anda membersihkan bekas berus gigi anda yang terletak dalam tandas itu?
Berus gigi dan bekas simpanannya merupakan tempat pembiakan pelbagai jenis bakteria. Lokasinya di dalam tandas memburukkan lagi keadaan. Anda dinasihatkan supaya membersihkan bekas dan berus gigi dengan betul sekerap yang mungkin.
Jika boleh, elakkan meletakkan semua berus gigi di tempat yang sama dan tutup bahagian berus bagi mengurangkan risiko terdedah kepada bakteria.
1. Span pencuci pinggan
Percaya atau tidak, benda paling kotor yang berada di dalam rumah anda adalah span pencuci pinggan. Walaupun ia digunakan untuk tujuan membersih, span anda sebenarnya mengandungi ratusan juta mikroorganisma yang hidup padanya.
Menurut sebuah kajian, dianggarkan 75% span pencuci pinggan mengandungi salmonella, E.coli, dan pelbagai bakteria berbahaya lain. 86% span pencuci pinggan juga mengandungi ragi dan kulat.
Anda disarankan untuk mengantikan span pencuci pinggan setiap dua minggu sekali. Pada masa yang sama, bersihkan span pencuci pinggan anda dengan kerap dan betul. Penggunaan jaring pencuci pinggan juga adalah pilihan yang lebih baik.