badgermin

Apabila kita berfikir tentang alat muzik, kebanyakan kita mungkin memikirkan gitar, piano atau dram dan sebagainya. Kebanyakannya sudah tentulah alat muzik yang kita biasa lihat atau dapat mengenalpasti bunyinya dalam sesebuah lagu yang didengari.

Walau bagaimanapun, di luar sana sebenarnya terdapat banyak lagi alat muzik yang mungkin kebanyakan daripada kita tidak pernah tahu akan kewujudannya. Sesetengah alat muzik ini bukan hanya mempunyai rekabentuk yang unik semata-mata tetapi juga mampu menghasilkan bunyi atau alunan muzik yang unik.

Sebelum ini pihak Iluminasi pernah menulis mengenai Theremin, sebuah alat muzik yang tidak perlu disentuh langsung tetapi mampu menghasilkan bunyi yang menarik. Kali ini, kami ingin berkongsi 7 lagi alat muzik unik yang pernah dihasilkan.

1. Pyrophone Organ

pyrophone organ 302

Pyrophone Organ yang juga dikenali sebagai "fire organ" ini dikuasakan oleh proses pembakaran. Oleh itu, sesetengah bahagian alat muzik ini perlu didedahkan dengan api terlebih dahulu  untuk menghasilkan bunyi.

Jangan khuatir kerana semuanya selamat. Organ ini boleh dikuasai oleh gas propana dan petrol. Kemudian, bunyi letupan yang terhasil dapat disalurkan melalui ekzos paip dan kekuatan bunyi ini apat dikawal. Maka, tidak hairanlah alat ini juga dikenali sebagai "explosive organ".

2. Great Stalacpipe Organ 

Alat muzik ini dicipta oleh Leland W. Sprinkle yang terkenal pada tahun 1956 dan terletak di sebuah gua bawah tanah di Virginia. Organ besar ini berfungsi dengan mengetuk stalaktit dalam gua dengan palet getah yang semuanya terhubung ke sebuah konsol yang kelihatan seperti alat muzik organ tradisional.

Salah satu cerita menarik bagaimana organ ini tercipta adalah bahawa Leland W. Sprinkle mendapat idea ini ketika anaknya terhantuk kepalanya di salah satu stalaktit yang terdapat dalam gua tersebut, lalu menghasilkan bunyi yang rendah dan bergetar dari gua itu.

3. Singing Ringing Tree

singing ringing tree

Singing Ringing Tree adalah sebuah projek kejuruteraan dan keseniaan yang menjadikannya sebagai sebuah arca dan pada masa yang sama berfungsi sebagai alat muzik. Menariknya, ia menggunakan sumber semulajadi iaitu angin untuk menghasilkan bunyi.

Projek pembinaannya siap pada tahun 2006 dan alat muzik ini terdiri daripada batang-batang paip dengan susunan tertentu. Angin kuat yang bertiup akan melalui lubang paip dan menghasilkan bunyi secara semulajadi.

4. Hyperbass Flute

Seruling (flute) adalah alat muzik yang unik kerana kemampuannya untuk menghasilkan bunyi yang nyaring. Hyperbass Flute pula adalah sebuah seruling paling besar dan unik dengan tiub di dalamnya sepanjang 15 meter.

Alat muzik yang unik ini biasanya diperbuat daripada bahan PVC dan kayu. Hyperbass Flute yang pertama dicipta oleh Francesco Romei untuk pemuzik Roberto Fabbriciani. Sila tonton video ringkas di atas untuk mendendar sendiri alunan bunyi yang mampu dihasilkan oleh alat muzik gergasi ini.

5. Sea Organ

     

Satu lagi organ yang menggunakan unsur semulajadi untuk menghasilkan bunyi. Diberi nama sea organ, alat muzik ini dibina di kawasan tasik di Zadar, Croatin. Terdapat susunan paip di bawah kawasan pejalanan kaki di tebing tasik yang dibina semula.

Apabila ombak-ombak kecil melalui paip-paip ini, maka akan terhasillah bunyi yang sangat harmoni. Kawasan ini menjadi tempat tumpuan pelancong yang rata-rata kagum dengan bunyi yang dihasilkan secara semulajadi.

6. Cello Horn

Antara alat muzik hibrid hasil campuran 2 alat muzik yang berlainan iaitu cello dan juga saksofon. Pemain akan menggunakannya seumpama bermain cello, namun bunyi yang terhasil akan disalurkan pula kepada bahagian saksofon.

Selain Cello Horn, ada juga alat muzik seumpama ini yang dikenali sebagai Stroh violin dimana violin digunakan bagi menggantikan cello. Penggunaan bahagian pembesar suara bukan sahaja akan menjadikan bunyi dihasilkan lebih kuat, tetapi bunyinya juga sedikit berlainan dan unik.

7. Badgermin

Mungkin alat muzik paling pelik dalam senarai ini. Nama badgermin adalah hasil gabungan nama Theremin dan juga haiwan badger. Alat muzik ini dihasilkan oleh  David Cranmer. 

Walau haiwan tersebut kelihatan masih hidup dalam video di atas, apa yang anda lihat itu sebenarnya adalah bangkai haiwan ini yang telah mati dan badannya telah diawet. Kemudian, isi dalam badannya telah dibuang dimasukkan dengan bahagian-bahagian Theremin untuk menghasilkan bunyi.

Kredit:

  1. Popular Science
  2. ClassicFM
  3. Wikipedia
  4. Gizmodo


Hakcipta iluminasi.com (2017)