Tidak kiralah alat muzik apa sekalipun daripada gitar, drum, piano sehinggalah ke seruling, semua alat muzik ini perlu dipegang dan disentuh untuk menghasilkan bunyi. Namun, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa ada satu alat muzik yang langsung tidak perlu disentuh tetapi tetap mampu menghasilkan bunyi yang mengasyikkan.

Dikenali umum sebagai "Theremin", ianya mungkin alat muzik yang pelik dan unik yang perlu dihasilkan sehingga saat ini. Ianya tidak mempunyai tali dan not, hanya 2 batang besi yang langsung tidak perlu disentuh.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Untuk bermain alat muzik ini, pemain hanya perlu menggerakkan tangan di udara dengan pergerakan tertentu dan bunyi yang nyaring dan beralun umpama suara seorang penyanyi opera akan terhasil. Daripada manakah datangnya bunyi ini?

Ciptaan secara tidak sengaja

pencipta theremin

Uniknya, alat muzik ini dicipta secara tidak sengaja. Segalanya bermula pada tahun 1919 apabila seorang saintis Russia, Lev Sergeyevich Termen atau dikenali juga dengan nama Léon Theremin di Barat sedang mencipta mesin osilator berfrekuensi tinggi yang dibina untuk mengukur pemalar dielektrik gas.

Apabila Termen memutuskan untuk menambah litar audio ke mesin tersebut supaya ia mengeluarkan nada yang boleh didengar apabila mengambil bacaan, dia mendapati bahawa mesin itu bukan sahaja bertindak balas terhadap pemalar gas dielektrik tetapi juga orang-orang di sekitar mesin itu.

Dengan menukar kedudukan atau menggerak-gerakkan tangganya atau dengan bergerak di sekitar peranti itu, Termen mendapati bahawa dia boleh membuat mesinnya itu memancarkan bunyi aneh.

Pengenalan sebagai sebuah alat muzik

theremin 736

Pada awalnya, beliau telah mempersembahkan ciptaannya itu kepada beberapa orang saintis atau rakannya. Beliau sedar bahawa mesin tersebut layak dianggap sebagai sebuah peralatan muzik.

Beliau mengambil masa kira-kira setahun untuk memahirkan diri menggunakan mesin tersebut sebagai alat muzik. Kemudian, beliau telah mengadakan satu persembahan kepada orang awam untuk menunjukkan kemampuan alat muziknya yang unik ini.

Pada awalnya, beliau bercadang untuk menamakan ciptaanya ini sebagai “etherphone”. Tidak lama kemudian, alat ini dikenali umum sebagai "Termenvox" di kawasan Kesatuan Soviet dan "Theremin" di Amerika Syarikat.

Konsep Theremin

konsep theremin

Sebuah Theremin biasanya berbentuk kotak dan mempunyai 2 antena - 1 menegak dan 1 melintang. Pemain muzik akan berdiri di hadaapn alat ini dan menggerakkan tangan mereka antara 2 antena ini, lalu mengubah kadar kapasitan medan elektromagnet yang dihasilkan oleh antena.

Isyarat elektrik yang dihasilkan oleh antena kemudian dikuatkan dan disalurkan kepada pembesar suara. Antena tersebut dipasang secara menegak untuk mengawal pitch sementara antena mendatar berbentuk gegelung pula akan mengawal kelantangan atau kekuatan bunyi yang dihasilkan.

Apabila tangan digerakkan menghampiri antena, pitch (atau kelantangan bunyi) menjadi lebih tinggi. Apabila tangan bergerak menjauhi antena, pitch (atau kelantangan bunyi) menjadi lebih rendah. Dengan menggerak-gerakkan tangan secara pantas, seorang pemain Theremin boleh menghasilkan pelbagai bunyi yang unik dan menarik.

Pengenalan Theremin ke seluruh dunia

Selepas mengadakan pertemuan dengan Vladimir Lenin yang pada ketika itu merupakan Pengerusi kerajaan Russia yang baru, Terman telah dihantar ke seluruh pelusuk Russia untuk mempersembahkan keunikan alat muziknya itu. Ternyata ia telah berjaya menarik minat ramai pihak.

Kemudian, dia dihantar pula mengadakan persembahan di negara-negar Eropah dan Amerika Syarikat. Secara tidak langsung ianya dapat mempersembahkan kepada seluruh dunia kemajuan teknologi Russia melalui ciptaan alat muzik yang unik dan yang pertama seumpama dengannya ketika itu.

Termen kemudiannya berjaya mengikat perjanjian dengan syarikat RCA (Radio Corporation of America) untuk menghasilkan alat muzik dan menjualnya secara komersial. Malangnya, ia tidak begitu mendapat permintaan dan hanya 500 unit sahaja yang terjual.

Rahsia Termen sebagai seorang pengintip

dokumentari theremin

Poster dokumentari mengenai Theremin 

Walaupun dikenali ramai sebagai seorang pemuzik atau saintis yang mencipta Theremin, ramai yang tidak tahu bahawa Termen juga merupakan seorang pengintip yang berkhidmat untuk pihak KGB milik Kesatuan Soviet.

Syarikat RCA pada ketika itu merupakan syarikat pembuatan barangan elektronik terkenal di Amerika Syarikat. Hubungan rapatnya dengan syarikat ini dan syarikat-syarikat besar lain seperti GE, Westinghouse dan syarikat-syarikat penerbangan membolehkan dia mengetahui penemuan dan ciptaan baru syarikat-syarikat ini.

Info yang dianggap sulit ini kemudiannya akan disalurkan pula kepada pihak KGB. Termen juga memiliki sebuah syarikat yang mencipta mesin dram dan beberapa ciptaan seperti sistem penggera dan pembuka pintu elektirk. Namun, kesemua ciptaanya ini langsung tidak terjual menyebabkannya terjerumus dalam kancah hutang.

Termen kemudiannya berkahwin dengan seorang penari ballet berkulit hitam. Namun, kerana masalah hutang, dia telah melarikan diri ke Kesauan Soviet meninggalkan isterinya di Amerika Syarikat.

Tindakan Termen melarikan diri ke Kesatuan Soviet ini sangat dicurigai oleh sesetengah pihak sehinggakan ada yang menganggap dia sebenarnya diculik oleh pihak KGB.

Walaupun dia tidak lagi mempromosikan Theremin, alat muzik ini terus tersebar luas di Hollywood. Malah, ramai produser pada ketika itu telah menggunakan Theremin untun menghasilkan bunyi latar belang dalam filem mereka antaranya Music out of the Moon, It Came from Outer Space, The Lost Weekend dan banyak lagi.

Theremin pada masa kini

persembahan theremin

Alat muzik ini masih lagi wujud pada masa kini walaupun ianya sangat sukar ditemui. Theremin kekal menjadi alat unik yang penuh misteri kerana kesukaran menguasai alat muzik ini.

Stephen Dunnington, seorang jurutera di Moog Music, syarikat yang menghasilkan Theremin pernah mendedahkan kepada pihak CBS News bahawa saban tahun mereka menjual beribu unit alat muzik ini namun beliau percaya hanya beratus sahaja individu yang benar-benar menggunakannya.

Walaupun alat muzik ini jarang didengari oleh orang ramai, ramai peminat muzik sebenarnya pernah mendengar bunyi yang dihasilkan oleh alat muzik ini melalui beberapa kumpulan band popular era 60-an dan 70-an seperti Led Zepplin, The Beach Boys dan The Rolling Stones.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. The Guardian
  3. How Stuff Works



Hakcipta iluminasi.com (2017)