Pada 26 April 1986, salah satu daripada bencana terburuk dunia telah berlaku di bandar Pripyat, Ukraine. Masalah pada reka bentuk di Loji Kuasa Nuklear Chernobyl telah mengakibatkan berlakunya letupan dan menyebabkan tersebarnya radiasi di seluruh kawasan berhampiran. Hanya Tragedi Chernobyl dan Fukushima yang dinilai pada skala tertinggi iaitu tahap 7 dalam Skala Peristiwa Nuklear Antarabangsa.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Seluruh bandar Pripyat telah dikosongkan. Seramai 31 orang mati serta-merta manakala 500,000 lagi dikhuatiri terjejas. Sejuta orang diperlukan untuk membersihkan Chernobyl. Kini, ia menjadi tempat tarikan pelancong yang gemar mengambil gambar bandar tinggal yang menyeramkan itu.

Sebagai tambahan, pelbagai kisah pelik dan misteri menyelubungi Chernobyl selepas tragedi malang itu. Berikut adalah beberapa kisah mengenai tempat dan mangsa bencana terburuk dalam sejarah ini.

1. Taman tema dibuka lebih awal untuk menghiburkan mangsa

taman tema pripyat

Taman tema Pripyat telah dijadualkan akan dibuka pada 1 Mei 1986 tetapi bencana Chernobyl berlaku lima hari sebelum itu. Walaupun ia tidak dibuka secara rasmi pada tarikh yang ditetapkan, beberapa permainan seperti Ferris Wheel dikatakan telah beroperasi lebih awal iaitu pada 27 April, sehari selepas bencana.

Ia dibuka lebih awal bagi menghiburkan penduduk Pripyat yang masih trauma dengan kejadian itu. Kini, walaupun tahap radiasi yang tinggi masih lagi wujud di sebahagian kawasan taman tema itu tetapi ia menjadi lokasi popular bagi jurugambar yang pergi ke sana. Taman tema ini juga menjadi latar belakang permainan video Call of Duty 4 : Modern Warfare.

2. Penghibur dibawa masuk untuk menenangkan penduduk

penari balet rusia

Salah seorang penghibur dari St Petersburg bernama Yuri telah berkongsikan pengalaman yang tidak boleh dilupakannya. Dia adalah sebahagian daripada pemuzik dan penari tajaan kerajaan. Beberapa jam selepas bencana Chernobyl, mereka telah dipanggil untuk pergi ke Pripyat bagi menghiburkan penduduk di sana.

Tanpa mengetahui kesan sebenar bencana yang berlaku, mereka menjalankan tugas seperti yang diarahkan. Yuri melihat ramai penduduk sakit dan mati dikuarantin tetapi tidak dibenarkan meninggalkan zon itu. 

mangsa chernobyl 939

Malah, kumpulan penghibur juga terjejas akibat bencana itu. Pada penghujung tempoh mereka di sana, Yuri menceritakan bagaimana penari balet cuba menari dengan baik walaupun rambutnya mula gugur di pentas dan darah keluar dari hidung dan telinganya.

Pada malam itu juga, Yuri tekad melarikan diri dari Pripyat. Dia mencuri sebuah kereta dan memandu tanpa henti ke arah barat laut. Ketika melarikan diri, penglihatannya sudah semakin teruk. Apabila dia meninggalkan USSR, dia menjadi buta sepenuhnya. Yuri adalah satu-satunya ahli kumpulannya yang masih hidup selepas membuat persembahan di sana.

3. Doktor menasihatkan wanita di Eropah Barat gugurkan kandungan

doktor sarankan wanita gugurkan kandungan

Ketika itu, doktor profesional juga terjangkit dengan masalah "radiophobia" atau ketakutan radiasi. Agensi Tenaga Atom Antarangbangsa melaporkan bahawa terdapat antara 100,000 hingga 200,000 kes di mana ibu-ibu di Eropah Barat menggugurkan kandungan mereka atas nasihat tidak tepat dari doktor.

Banyak doktor percaya bahawa bencana Chernobyl boleh menyebabkan masalah kepada kesihatan bayi mereka dalam kandungan. 21 tahun selepas kejadian itu, Pertubuhan Kesihatan Dunia memutuskan bahawa dos sinaran pencemaran radioaktif di Chernobyl tidak cukup tinggi untuk menyebabkan kesan sampingan pada kehamilan di negara-negara berhampian.

4. Haiwan mutasi Chernobyl

haiwan mutasi chernobyl di muzium ukrain

Banyak laporan mengenai binatang cacat dan pelik dilihat di kawasan berhampiran Chernobyl menunjukkan bahawa radiasi mempunyai kesan yang teruk terhadap populasi haiwan. Ada antara haiwan pelik ini dipamerkan di Muzium Nasional Chernobyl di Ukraine.

Walau bagaimanapun, ada juga haiwan yang kelihatan baik dan tidak mengalami mutasi yang ketara walaupun paras radiasi mereka tinggi. Antara haiwan paling teruk terjejas adalah haiwan kecil seperti burung, tikus dan serangga. Kecacatan seperti tumor, katarak dan otak mengecil adalah kesan paling banyak dilihat.  

haiwan mutasi chernobyl

Menurut satu laporan pada 2016, sesetengah spesies haiwan di sana semakin membiak di Zon Larangan malah semakin baik ketika manusia berada di sana. Namun, saintis masih mengkaji kesan jangka panjang pada haiwan yang tinggal di situ.

5. Hantu Chernobyl

Seperti kebanyakan tempat lain di mana ramai manusia kehilangan nyawa, Pripyat juga diselubungi banyak kisah hantu. Seorang ahli fizik nuklear dari New York, Andrei Kharsukov, mendakwa pernah mengalaminya ketika melawat kawasan itu pada 1997.

lukisan menakutkan di chernobyl

Ketika Kharsukov pergi ke stesen janakuasa reaktor No. 4 di mana berlakunya letupan, Apabila dia memasuki bilik kawalan reaktor itu, Kharsukov terdengar seseorang menjerit meminta tolong dari dalam. Kharsukov kemudian berlari untuk memberitahu ahli kumpulannya yang lain.

Pemandu arah yang ada bersama mereka memberitahu bahawa, Kharsukov adalah orang pertama yang membuka pintu bilik kawalan itu setelah tiga tahun. Banyak lagi kisah seram menyelubungi tapak bencana itu.

6. Misteri "Burung Hitam" Chernobyl

burung hitam chernobyl

Pada awal April 1986 iaitu beberapa minggu sebelum tragedi Chernobyl, beberapa orang pekerja Loji Kuasa Nuklear Chernobyl telah melaporkan telihat makhluk menyerupai burung besar. Makhluk itu dikatakan mempunyai lebar sayar sepanjang 20 kaki dan bermata merah.

Mereka menggelarkan makhluk misteri itu sebagai "Burung Hitam Chernobyl". Laporan mengenai penampakan makhluk ini berterusan sehinggalah berlakunya letupan di stesen janakuasa reaktor No. 4 pada jam 1.23pagi 26 April, 1986. Selepas itu tiada lagi laporan mengenainya.

mothman

Ramai orang menyamakan kisah Burung Hitam Chernobyl ini dengan makhluk Mothman di Amerika. Kedua-dua makhluk yang mempunyai ciri yang hampir sama ini kelihatan sebelum berlakunya bencana. 

Mothman dilaporkan dilihat oleh beberapa orang penduduk sebelum berlakunya kejadian runtuhan Jambatan Perak di Point Pleasant, Westt Virgina. Dalam tragedi itu, 46 orang telah terkorban.

Rujukan:

1. Kisah misteri tragedi Chernobyl

2. Kisah pelik selepas kejadian letupan Chernobyl

3. Kisah paranormal Burung Hitam Chernobyl




Hakcipta iluminasi.com (2017)