Muhammad Ali boleh dikatakan sebagai tokoh yang paling terkenal pada abad ke-20. Juara dunia kelas berat sebanyak 3 kali, Muhammad Ali telah berjaya menewaskan peninju hebat lain, kerajaan dan penyakit Parkinson.

Ramai yang menjadikan beliau sebagai idola yang mana termasuk dengan berjuta-juta orang bukan Islam. Jika anda mengetahui tentang kisah Muhammad Ali, pastinya anda akan kagum dengan keperibadian beliau.

BESARKAN TEKS     A-  A+

iluminasi.com kongsikan 6 kisah dan fakta menakjubkan tentang Muhammad Ali.

1. Hilang basikal pencetus kerjaya tinju

muhammad ali ketika remaja

Sebelum Muhammad Ali hebat dalam sukan tinju, beliau hanyalah seorang budak 12 tahun yang mahu membalas dendam.

Ia bermula pada Oktober 1954 dan beliau yang ketika itu masih dikenali sebagai Cassius Clay merupakan pemilik basikal Schwinn.

Ia merupakan hadiah Krismas daripada bapanya dan menaikinya ke sebuah pasar di kampung halamannya di Louisville, Kentucky.

Setelah sampai, Muhammad Ali dan rakannya menghabiskan masa bersiar-siar dan makan popcorn di pasar tersebut. Dan sekembalinya mereka di tempat letak basikal, beliau menyedari bahawa basikalnya hilang.

Ali menangis teresak-esak dan kemudian pergi ke sebuah gym tempatan untuk mencari Joe Martin, seorang polis yang juga merupakan jurulatih tinju.

Beliau menceritakan situasi kepada Joe dan mengugut untuk membelasah siapa sahaja yang mencuri basikalnya. Melihatkan tubuh badan Ali yang kurus, Joe berkata, "Kau patut belajar berlawan terlebih dahulu sebelum bergaduh dengan sesiapa,".

Selepas membantu Ali mengisi laporan polis, Joe memberikan borang gym. Dan 6 minggu kemudian, Ali memenangi pertarungan pertamanya yang ditayangkan dalam TV tempatan, mengalahkan seorang budak bernama Ronny O'Keefe dengan keputusan majoriti.

Joe terus melatih Ali tentang asas tinju dan bersama-sama mereka memenangi 6 gelaran Kentucky Golden Gloves, 2 gelaran Amateur Athletic Union malah pingat emas dalam Sukan Olimpik Rom 1960.

Sudah tentu Ali tidak menjumpai semula basikal kesayangannya, jika tidak, tak tahu apa yang akan berlaku kepada pencuri tersebut.

2. Mempunyai fobia teruk untuk naik pesawat

muhammad ali takut naik pesawat

Ketika Ali siap sedia untuk Sukan Olimpik Rom 1960, beliau menyedari bahawa dirinya akan menaiki pesawat untuk ke sana.

Kerana rasa takut yang menyelubungi dirinya, Ali yang berusia 18 tahun ketika itu bertanyakan sama ada beliau boleh menaiki bot dan bukannya pesawat.

Disebabkan ideanya ditolak, Ali memutuskan bahawa memenangi pingat emas tidak berbaloi untuk mengambil risiko menaiki pesawat yang mungkin terhempas, jadi beliau tidak mahu meneruskannya.

Mujurlah jurulatihnya Joe Martin memujuk Ali untuk menaiki pesawat. Namun Ali yang masih bimbang membeli payung terjun dan memakainya sepanjang perjalanan ke Itali.

Selepas pulang ke Amerika Syarikat, beliau membeli sebuah bas untuk lawatan akan datang dan menyatakan bahawa jika bas rosak mereka tak akan jatuh daripada ketinggian 30,000 kaki.

Selepas memeluk Islam, Ali memberitahu bahawa Allah tak akan membiarkan dirinya mati dalam nahas kapal terbang.

Anaknya, Maryum Ali memberitahu bahawa satu-satunya masa dia melihat juara tinju itu ketakutan adalah ketika mereka berada di udara dan pesawat mula bergoncang.

3. Seorang pemuzik berbakat

muhammad ali pemuzik berbakat

Walaupun terkenal dengan kehebatan tinjunya, Muhammad Ali mempunyai bakat rahsia yang ramai tak tahu.

Pada tahun 1964, sebelum pertarungan pertama dengan juara kelas berat Sonny Liston, Ali mengeluarkan album dengan Columbia Records.

Diberikan tajuk "I Am the Greatest", album itu kebanyakannya terdiri dari puisi terkenalnya.

Dalam gaya Ali yang sebenar, beliau memuji dirinya sendiri (“This is the legend of Cassius Clay / The most beautiful fighter in the world today”) dan meramalkan kekalahan Sonny yang akan datang (“He can’t fight. I watched him shadow boxing. His shadow won in the first round!”).

Namun, Ali melakukan lebih daripada sekadar bercakap gah. Pada akhir album, Ali mula mengarang lagu klasik Ben E. King, "Stand By Me."

Selepas itu, beliau cuba menyanyikan lagu unik yang dinamakan "The Gang's All Here" di mana Ali bertanyakan sama ada bandar-bandar di dunia bersamanya (“Is London with me?” “Yeah!” “Is Paris with me?” “Yeah!”).

Namun, album ini tidak pernah dipasarkan. Selepas memeluk Islam dan menukar namanya, Columbia Records menghentikan kerjaya muzik Ali dan menarik semula album itu.

4. Selamatkan lelaki daripada bunuh diri

muhammad ali selamatkan lelaki daripada bunuh diri

Pada tahun 1981 di Los Angeles, seorang lelaki yang tidak diketahui namanya berusia 21 tahun berada di pintu kecemasan tingkat 9, memberitahu bahawa Viet Cong (parti politik) memburunya.

Lebih buruk, dia berkata akan membunuh dirinya. Situasi menjadi semakin parah di mana pihak polis tidak mampu memujuknya dan orang ramai berteriak supaya lelaki itu terjun.

Jika Muhammad Ali tak muncul, mungkin lebih buruk akan berlaku. Ketika itu Ali yang sudah bersara berada di seberang jalan dan diberitahu tentang situasi tersebut.

Tanpa teragak-agak, Ali bergegas ke bangunan tersebut dan menawarkan bantuannya. Pihak polis yang terdesak bersetuju dengan tawaran itu namun memberi amaran bahawa lelaki itu mungkin memiliki senjata api.

Ali mengambil risiko dan menjenguk kepalanya ke luar tingkap, membuatkan lelaki itu terkejut melihat atlet paling terkenal di dunia itu muncul.

"Muhammad Ali, ia benar-benar kamu," jerit lelaki itu. Untuk tempoh 30 minit kemudian, lelaki itu berborak dengan Ali tentang kehidupannya yang susah di rumah dan sukar untuk mendapatkan pekerjaan.

"Kau saudara aku. Aku sayang kau dan aku tak akan bohong pada kau," pujuk Ali agar lelaki itu membuka pintu kecemasan, yang akhirnya melihatkan dia terselamat.

Ali mengajaknya menaiki limo Rolls-Royce miliknya dan membawa lelaki itu ke hospital serta berjanji untuk membantu membina kehidupan yang lebih baik untuknya.

"Selamatkan nyawa seseorang adalah lebih penting kepada aku berbanding memenangi kejuaraan dunia," kata Muhammad Ali.

5. Handal dalam silap mata

muhammad ali pandai buat silap mata

Walaupun Ali tidak "menari" dengan lawannya dalam gelanggang, tetapi beliau tahu untuk membuatkan orang ramai teruja.

Apa yang diperlukannya adalah selendang atau syiling. Antara gimik kegemarannya adalah membuatkan sapu tangan hilang di udara.

Beliau juga boleh membuatkan kunci terbalik dengan sendiri atas tapak tangannya, secara magiknya mengembalikan bentuk syiling yang telah digigit dan banyak lagi.

Trik paling popular yang dilakukan oleh Ali adalah mengapungkan diri. Beliau akan membelakangkan orang ramai, merapatkan tumitnya dan tiba-tiba terapung-apung serta bergerak beberapa inci di udara.

Magiknya sangat hebat sehinggakan David Copperfield sendiri menggelarkannya sebagai "klasik". Namun selepas memeluk Islam, Ali berasakan bahawa ia adalah salah untuk menipu, jadi beliau menjelaskan tentang bagaimana beliau melakukan magik tersebut.

6. Membebaskan tebusan Amerika Syarikat di Iraq

muhammad ali bertemu saddam hussein

Pada awal 1990-an, diktator Iraq, Saddam Hussein menceroboh Kuwait dan tentera Amerika Syarikat sudah bersiap sedia untuk bertindak. Sebagai tindak balas, Saddam menawan tebusan yang agak ramai.

Berharap untuk menggunakan tebusan sebagai perisai, mereka menawan 2,000 orang asing yang mana 700 daripadanya adalah orang Amerika.

Rundingan untuk membebaskan tebusan tidak berjaya membuatkan Muhammad Ali campur tangan. Walaupun dengan gelaran juara dunianya, Ali mempunyai masa-masa yang sukar.

Beliau bersara secara rasmi daripada tinju pada tahun 1981 selepas tewas kepada Trevor Berbick. Kemudian pada tahun 1984, Ali mengumumkan kepada dunia bahawa dia menderita penyakit Parkinson.

6 tahun kemudian, semua kehebatan Ali lenyap begitu sahaja. Anggota badannya terketar-ketar dan percakapannya menjadi tidak jelas.

Walaubagaimanapun, beliau masih seorang pahlawan dari dalam dan apabila mengetahui tentang situasi tawanan tersebut, Ali memutuskan untuk menawarkan bantuan.

Ketika beliau sampai di Baghdad, Ali diiringi ke istana Saddam Hussein dan menghabiskan 50 minit bercakap dengan diktator tersebut.

Disebabkan Ali mengalami kesukaran untuk bercakap, beliau banyak menggunakan isyarat tangan untuk menyampaikan mesejnya.

"Saya datang ke sini dengan misi perdamaian. Saya bukan datang ke sini sebagai ahli politik. Saya seorang rakyat Amerika dan saya juga seorang Islam," kata Ali.

Beliau juga memberitahu Saddam Hussein bahawa melepaskan tebusan ini merupakans satu langkah perhubungan awam yang baik, meyakinkan diktator untuk bersetuju.

Juara dunia ini kekal di Iraq untuk beberapa hari dan melawat serta bertemu dengan orang tempatan sambil menunggu Saddam Hussein mengotakan janjinya.

Ketika di Iraq, Ali kehabisan ubat-ubatannya tetapi enggan pulang sehingga semua warga Amerika dibebaskan. Akhirnya, Saddam Hussein membebaskan 15 orang banduan Amerika.

Patutlah orang ramai memanggil Muhammad Ali sebagai "The Greatest".




Hakcipta iluminasi.com (2017)