Lihat tangan anda. Adakah anda sedang memakai jam tangan, baik yang berbentuk digital atau analog?
Tak kiralah apa saja jenis tangan yang ada miliki, jam tangan sebenarnya adalah satu ciptaan kejuruteraan yang sangat kompleks serta mempunyai mekanisme yang perlu direkabentuk dengan rapi, bagi memastikan ketepatannya.
Ada beberapa fakta berkenaan jam tangan yang menarik untuk kami kongsikan kepada anda, sekiranya anda salah seorang peminat jam tangan. Berikut lima yang menjadi pilihan kami.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Dari mana datang istilah 'watch'?
Dalam bahasa Inggeris, jam tangan dikenali sebagai watch. Watch juga berkait dengan perbuatan seseorang menjaga atau melindungi sesuatu kawasan. Ada kaitankah di antara kedua-duanya? Ada.
Watch diambil daripada istilah Inggeris kuno waeccann yang bermaksud 'kekal berjaga' atau 'tidak lena.' Istilah ini kemudiannya berkembang digunakan sebagai label bagi menamakan individu yang ditugaskan berkawal mengikut giliran; dinamakan sebagai watchmen.
Tugas watchmen yang diatur mengikut jadual tetap, mempopularkan terma watch sebagai satu bentuk ukuran masa; menyebabkan perbuatan mengukur masa dibuat mengikut jadual watchmen bertugas.
Selepas merebaknya penggunaan alat mengukur masa di negara barat, istilah watch mula digunakan sebagai label alatan itu bermula sekitar abad ke 16.
2. Jam poket untuk lelaki, jam tangan untuk wanita?
Sebelum trend pemakaian jam tangan menjadi norma biasa, jam poket adalah pilihan orang ramai khususnya golongan lelaki.
Ada dua sejarah bagaimana jam tangan tercipta dan belum ditemui kesahihannya. Yang pertama adalah pada tahun 1810, apabila seorang pencipta jam di Perancis bernama Abraham Louis Breguet mencipta jam tangan untuk Permaisuri Naples sebagai hadiah.
Sejarah kedua pula menyebut pencipta dari Switzerland, Patek Phillipe telah mencipta sejenis hiasan berbentuk gelang dengan jam untuk Permaisuri Koscowisz dari Hungary sekitar tahun 1868.
Walaupun ada dua pendapat berbeza, satu persamaan sejarah ini adalah jam tangan sebenarnya dicipta sebagai sebuah perhiasan wanita.
3. Sumbangan Rolex kepada teknologi jam tangan
Kini terkenal sebagai antara barangan koleksi peribadi yang diminati ramai, jam tangan berjenama Rolex mempunyai sejarah panjang yang penuh dengan jasa besar.
Jurutera di Rolex merupakan kumpulan pencipta pertama berjaya membangunkan jam tangan kalis air pertama di dunia, menerusi Rolex Oyster pada tahun 1926 - yang membolehkan kita semua mandi dan berenang dengan jam tangan sekarang.
Rolex juga merupakan pengeluar jam analog pertama dunia yang memperkenalkan sistem paparan tarikh pada muka jam, yang akhirnya menjadi standard kepada industri. Sinambungan daripada fungsi itu, Rolex jugalah yang memperkenalkan penambahan paparan hari pada muka jam pertama di dunia.
4. Getaran yang tidak kita sedari pada jam tangan
Mungkin tidak ramai yang memiliki jam tangan yang dikategorikan sebagai jam tangan kuarza atau quartz.
Nak tahu ya atau tidak, biasanya jam tangan jenis ini akan dipaparkan teks 'Quartz' pada mukanya - menandakan jam anda itu bergerak menggunakan teknologi kristal kuarza sebagai pengukur masa.
Dalam setiap jam tangan jenis ini, di dalamnya ada mekanisme pengayun atau oscillator diperbuat daripada kuarza yang menerima cas elektrik daripada bateri terpasang.
Cas elektrik itu akan menggetarkan pengayun setiap saat, yang kemudiannya menggerakkan motor dalam jam anda. Motor itulah yang akan memusingkan gear pengawal setiap jarum saat, minit dan jam yang ada.
Berapa kali pengayun itu bergetar setiap satu saat? Sebanyak 32,768 kali satu saat!
Laju kan? Sekiranya anda pemilik jam tangan kuarza, mesti susah nak percaya pada tangan anda ada kristal yang bergetar sebanyak itu setiap masa.
5. Apakah jam paling tepat di dunia?
Dalam banyak jenis dan mekanisme pengiraan waktu yang ada, penyelidik di seluruh dunia bersetuju dengan satu pendapat - jam paling tepat di dunia, adalah jam jenis atom yang menentukan masa menggunakan frekuensi atom.
Semua jam atom boleh berinteraksi dengan sejenis frekuensi berdasarkan radiasi elektromagnetik, yang mempunyai sifat sangat konsisten, tidak terjejas dengan suhu, tekanan dan faktor alam sekitar lain.
Bagaimanapun, teknologi sedia ada sekarang ini belum membolehkan jam atomik dihasilkan dalam peringkat komersial kerana sistem yang telah ada, memerlukan jam tangan berinteraksi dengan sejenis alat lain untuk menentukan bacaan masanya. Kosnya juga sangat tinggi, hanya sesuai untuk tujuan penyelidikan agensi besar seperti NASA semata-mata.
Pada tahun 2018, sebuah syarikat jam tangan bernama URWERK telah pun melancarkan jam tangan atom pertama di dunia untuk tujuan komersial, memberikan pemiliknya sebuah jam tangan serta sebuah pemancar frekuensi seberat 35kg, bagi membolehkan ukuran masa yang tepat dipaparkan setiap masa.
Seperti kami katakan, teknologi ini tidak murah. Jam tangan itu serta perkakasannya berharga RM12.5 juta.