Trend memboikot sesuatu produk atau jenama sudah menjadi lumrah dalam kehidupan kita terutamanya dalam dunia tanpa sempadan zaman kini. Jika terdapat sesuatu keanehan atau perkara di luar norma, mana-mana individu dengan pantas boleh menularkan maklumat untuk mengajak orang ramai agar turut meng-cancel produk tersebut. 

Namun, tahukah anda, terdapat beberapa perkara yang pernah diharamkan dalam sejarah dunia sebelum ini? Bahkan, mungkin ada beberapa pengharaman yang seolah-olah tidak masuk akal kerana ia sebenarnya hanyalah sesuatu yang biasa-biasa sahaja.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Kentang

Hari ini, kentang dikenali sebagai sejenis sayuran ubi yang sangat popular dan serba guna. Kentang boleh melazatkan pelbagai menu tidak kira untuk hidangan sarapan, makan tengah hari mahupun makan malam.

Walau bagaimanapun, pada suatu masa dahulu ubi yang tidak bersalah ini bukan sahaja tidak dihargai, malah pernah difitnah.

Pada tahun 1748, Perancis melancarkan perang habis-habisan terhadap ubi kentang. Ketika itu, kentang sering digunakan sebagai makanan ternakan dan tidak pernah dianggap sebagai makanan manusia. Orang Perancis juga menganggap sayuran ini menyebabkan penyakit leprosy atau lebih dikenali sebagai kusta.

ubi kentang diharamkan di perancis

Hal ini demikian kerana kentang bukanlah produk yang berasal dari negara itu dan hanya dibawa masuk serta mula diperkenalkan oleh masyarakat Sepanyol. Maka, warga Perancis berasa ragu-ragu untuk menggunakannya kerana rupa dan bentuknya yang agak aneh.

Negara itu telah mengharamkan kentang selama 25 tahun sehinggalah seorang pegawai farmasi ketenteraan bernama Antoine-Augustin Parmentier yang pernah menjadi tahanan pihak Prussian (Jerman lama) meyakinkan masyarakat di Perancis bahawa kentang adalah sejenis makanan yang lazat dan selamat dimakan setelah dia sendiri sering dijamu hidangan kentang ketika berada dalam penjara.

2. Hap

Jika anda banyak membaca atau menonton kisah fantasi epik, anda mungkin mengetahui bahawa alat muzik hap merupakan sebuah instrumen penting dalam dunia penyair dan penyanyi kembara.

Alat yang menjadi kebanggaan masyarakat Celtic ini bukan sekadar menghasilkan alunan muzik nan indah malah ia mempunyai sejarah tersendiri.

hap dan pemain hap diharamkan di england

Sekitar tahun 1500-an, England dan Ireland berada dalam situasi yang amat tegang. Keluarga Diraja England menganggap pemain hap sebagai suatu ancaman kepada negara itu kerana kuasa yang dimiliki selain mempunyai pengaruh yang sangat hebat.

Keadaan ini berlanjutan sehingga mereka dituduh menjadi perisik. Ratu Elizabeth kemudian telah memerintahkan agar kesemua pemain hap ditangkap, digantung sampai mati serta alat muzik milik mereka dihapuskan.

Pada tahun 1650, Oliver Cromwell pula telah mengharamkan penggunaan hap secara menyeluruh. Mana-mana instrumen yang diketahui masih wujud segara dimusnahkan dan kesemua pemain hap juga dilarang menyertai sebarang aktiviti yang diadakan secara berkumpulan.

3. Penternakan ikan kap

Ikan kap mungkin merupakan antara ikan yang biasa dan mudah dijumpai di seluruh pelosok dunia.

Ikan kap biasa juga adalah spesies asli di China dan telah diternak sejak berabad lamanya. Ikan tersebut amat mudah dibela, membesar dengan cepat dan keenakan isinya sangat digemari masyarakat China.

ikan kap penternakan

Keadaan berubah semasa pemerintahan Dinasti Tang dari tahun 618 hingga 906 Tahun Masihi. Maharaja yang berkuasa ketika itu telah mengharamkan penternakan dan sebarang pengambilan ikan kap hanya disebabkan bunyi panggilan ikan itu dalam Bahasa Cina kedengaran seakan-akan sama dengan nama keluarga Maharaja tersebut.

Namun begitu, pengharaman ikan tersebut dilaporkan telah menyumbang kepada perkembangan bidang akuakultur di China. Para nelayan dan penternak telah beralih fokus kepada spesies ikan yang berbeza selain mula memperkenalkan hidangan ikan yang baru kepada rakyat negara itu.

4. "Mate"

Jika anda meminta sesiapa yang bukan berasal dari Australia supaya bercakap gaya warga Australia, kemungkinan besar mereka akan terus mengungkapkan frasa popular "G'day, mate!"

Penggunaan perkataan "mate" itu sememangnya sudah sangat sinonim dengan budaya rakyat Australia.

gday mate

Namun, pada tahun 2005, seluruh dunia digemparkan dengan berita pengharaman perkataan tersebut oleh kerajaan negara kanggaru itu selepas salah seorang Ahli Parlimen merasakan pengawal keselamatan di Parlimen tidak sopan kerana memanggil dirinya dengan gelaran "mate."

Pengharaman yang dikatakan tidak berasas itu terus tular dan mendapat kecaman dari seluruh rakyat Australia dan juga dunia. Akhirnya arahan itu ditarik semula dalam masa tidak sampai 24 jam.

5. Pinball

Sebelum kewujudan konsol permainan video, permainan arked sangat popular dan digemari masyarakat di seluruh dunia. Sekiranya sesiapa berkunjung ke arked pada zaman itu sudah pasti selalu terjumpa atau biasa menggunakan mesin pinball.

Mesin pinball moden yang umum kenali kini mempunyai kisah di sebalik awal kemunculannya sekitar tahun 1930-an. Ketika itu, mesin-mesin pinball ini boleh dijumpai di bar, pusat boling dan sebagainya.

mesin pinball

Jika difikirkan, permainan pinball tampak sangat ringkas dan tidak mampu mendatangkan sebarang mudarat. Walaupun begitu, ia pernah menjadi momokan dan menimbulan ketidakselesaan kepada penduduk New York, Chicago dan Los Angeles buat suatu tempoh yang agak lama.

Bermula awal 1940-an, ketiga-tiga bandar tersebut telah mengharamkan permainan pinball kerana ia dilaporkan menjadi punca keruntuhan akhlak dalam kalangan masyarakat. Ini disebabkan mesin-mesin pinball di sana telah dianggap sebagai mesin judi.

Binaan mesin pinball waktu itu tidak mempunyai sebarang kayu penguis. Ini bermakna, sesiapa yang bermain perlu menggerakkan atau menggoncang sendiri mesin supaya bola bergerak.

Pihak kerajaan melihat perbuatan tersebut sebagai 'mencuba nasib' yang dikaitkan dengan berjudi lalu mengeluarkan arahan pengharaman mesin pinball yang kemudian berlanjutan selama lebih kurang 30 tahun.

mesin pinball dimusnahkan oleh pihak berkuasa new york

Sepanjang tempoh tersebut, pihak polis diarahkan untuk memusnahkan kesemua mesin pinball dan membuang mesin-mesin yang disita ke dalam sungai. 

Pengharaman itu hanya berakhir pada tahun 1976 apabila seorang penggemar dan pemain pinball profesional, Roger Sharpe, berjaya melakukan demonstrasi untuk meyakinkan pihak berkuasa New York bahawa pinball sebenarnya hanyalah sebuah permainan yang mengasah kemahiran.

6. Pemain tegar Gran Turismo

Anda mungkin biasa membaca berita mengenai permainan video yang diharamkan kerana mempunyai unsur-unsur luar batasan. Namun, jarang kita dengar kisah gamer yang diharamkan memasuki pertandingan kerana terlalu hebat.

Pada tahun 2008, Akademi GT Nissan mula menyenaraikan barisan pemain video Gran Turismo untuk memandu dan berlumba di trek menggunakan kereta lumba sebenar.

Walau bagaimanapun, pada tahun 2013, pihak jawatankuasa Kejohanan GT British yang tersohor telah mengharamkan mana-mana pemain permainan video Gran Turismo daripada menyertai perlumbaan campuran (pro-am) anjuran mereka.

jann mardenborough diharamkan gran turismo

Hal ini berpunca daripada kemenangan pemandu amatur tahun sebelumnya yang merupakan seorang gamer tegar. Dilaporkan gaya pemanduan Jann Mardenborough terlalu laju dan hebat sehingga menyamai taraf pemandu profesional berpengalaman yang telah menjalani latihan selama bertahun-tahun.

Sejak itu, pemain tegar Gran Turismo diharamkan daripada menyertai perlumbaan tersebut untuk mengelakkan ketidakadilan bagi pelumba amatur yang lain.




Hakcipta iluminasi.com (2017)