Pada zaman moden ini, banyak bangunan yang telah dibina dengan bentuk yang berbeza dan unik, dan kelihatan sangat berbeza berbanding bangunan-bangunan biasa yang sedia ada. Ada yang berbentuk seperti aiskrim, 'hot dog', buah nenas dan banyak lagi. Seni bina ini digelar sebagi 'Novelty Architecture'.
Ia adalah sejenis seni bina dimana bangunan atau binaan yang diberi sentuhan yang luar biasa bertujuan untuk pengiklanan, sebagai mempromosikan perniagaan ataupun meniru beberapa bangunan lain yang terkenal.
Bangunan-bangunan ini kelihatan lebih menonjol dari bangunan lain di sekelilingnya dan ada antaranya yang menjadi tarikan kepada pelancong. Berikut adalah 10 bangunan unik yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu bangunan yang berbentuk seperti produk yang dijual dan juga bangunan yang berbentuk seperti barang keperluan harian;
BESARKAN TEKS A- A+
Bangunan yang berbentuk seperti produk yang dijual
1. Gerai Hot Dog Coney Island, Bailey, Colorado, USA
Salah satu binaan jalanan yang terkenal berbentuk seperti 'hot dog' yang berukuran 42 kaki panjang. Ia pada asalnya dibina pada tahun 1966 di Denver. Pada tahun 1970 ia dipindahkan ke Aspen Park dan kemudiannya ke Bailey pada 2006. Menurut Pam Grout(2006), pelanggan yang beratur untuk mendapatkan makanan di sana bertambah sehingga beberapa batu panjang pada waktu makan malam di hari terakhirnya di Aspen Park.
2. Kedai Ais Krim Twistee Treat, USA
Antara tahun 1983 hingga 1990, sekitar 90 buah bangunan Twistee Treat yang dibuat menggunakan gentian kaca telah dibina, apabila syarikat asalnya difailkan bankrap, bangunan-bangunan yang berbentuk seperti kon ini tetap berdiri teguh. Direka bentuk oleh Robert G. Skiller, kebanyakan bangunan yang berukuran 28 kaki tinggi dan 20 kaki lebar imi telah dicat dengan pelbagai warna, dan ada yang tidak lagi menjual aiskrim. Disebabkan oleh reka bentuk yang unik, bangunan-bangunan Twistee Treat yang diabaikan dengan pantas dibuka/digunakan semula atau (disebabkan oleh binaannya yang ringan) dipindahkan ke kawasan lain dimana ada individu lain yang boleh membuka perniagaan aiskrim yang baru.
3. The Big Pineapple, Bathurst, Eastern Cape, South Africa
Di sebuah kampung bernama Bathurst, di Afrika Selatan, terdapat sebuah bangunan yang berdiri megah iaitu 'buah nenas terbesar di dunia'. Ia berketinggian 17 meter dan terletak di ladang nenas Summerhill Estate. Dibina di antara tahun 1990-1992, ia dibuat daripada besi dan konkrit dengan bahagian luaran dibuat daripada gentian kaca. Bangunan ini sebenarnya ditiru dari Big Pineapple di Queensland, Australia. Namun 'nenas gergasi' di Queensland tersebut hanya berketinggian 16 meter jadi 'nenas Bathusrt' adalah 'replika' kepada bangunan nenas di Queensland tetapi ianya lebih besar.
Bangunan yang berbentuk seperti barang keperluan harian
4. Perpustakaan Bandar Kansas, Missuori, Amerika Syarikat
Perpustakaan Bandar Kansas mempunyai dinding berupa rak Buku Komuniti di bahagian luarnya, direka untuk mempamerkan bahagian sisi 22 buah buku yang dicadangkan oleh penduduk bandar Kansas. Apa yang menarik adalah penduduk di sana perlu memilih apakah tajuk buku yang akan dipamerkan di bangunan ini. Beberapa tajuk buku yang dipilih adalah: Catch-22, Invisible Man, the Lord Of The Rings, Silent Spring, dan Charlotte's Web.
5. Hotel dan Kasino Hard Rock Hotel Seminole, Florida, USA
Perkembangan dan pembangunan Hotel dan Kasino Hard Rock Seminole di Florida, yang dirancang akan disiapkan pada tahun 2019, adalah projek seni bina yang sangat mencabar dan menakjubkan dan ia adalah sebagai penghormatan kepada status ikonik Hard Rock.
Hotel dan kasino ini yang akan mempunyai 638 buah bilik, adalah seperti sebuah menara bertingkap kaca berwarna biru yang berketinggian 140 meter, menawarkan pelbagai jenis restoran, dewan santapan yang mewah dan juga spa - kesemuanya dibina di dalam sebuah bangunan yang berbentuk seperti dua biji gitar yang lengkap dengan 'string' di dalam posisi saling membelakangkan. Kompleks ini juga menyediakan kolam berukuran 10 ekar, kasino yang luas, kelab dan juga sukan air.
6. Kotak Kasut Adidas, Barcelona, Spain
Tiada cara lain yang lebih baik untuk mempromosikan kedai kasut berbanding sebuah 'kotak kasut gergasi' seperti apa yang dilakukan oleh jenama terkenal dari Jerman, Adidas. Binaan yang menarik perhatian ramai dari segi reka cipta luaran ini menampilkan sebuah kotak kasut besar Adidas berwarna biru dan tertera perkataan Adidas Originals, lengkap dengan label saiz kasut dan juga tali kasut yang terkeluar daripada penutup 'kotak' tersebut.
'Shoebox' ini dibina sempena perayaan muzik Primavera di Barcelona, Sepanyol. Ia sememangnya menjadi tarikan utama pelancong yang beratur panjang untuk memasuki 'kotak' ini. Idea yang sangat menarik untuk mempromosikan perniagaan anda.
Rujukan: rostek