Walau sehebat mana sesebuah perlawanan bola sepak itu, ia hanyalah sejenis sukan sama seperti sukan-sukan yang lain.
Ya, kemenangan adalah sangat penting, namun apa yang lebih penting nilai sukan dan semangat kesukanan itu sendiri.
Pasti anda pernah menonton perlawanan di mana para pemain sanggup melakukan apa sahaja untuk memperoleh kemenangan, sehingga sanggup menipu atau berpura-pura sakit.
BESARKAN TEKS A- A+
Antara insiden yang paling popular adalah insiden "Hand of God", di mana Maradona menjaringkan gol menggunakan tangan ketika menetang England pada Piala Dunia 1986.
Namun, masih terdapat ramai pemain-pemain yang jujur dan mementingkan perlawanan yang adil, dan dengan itu iluminasi.com kongsikan 6 aksi semangat kesukanan dalam bola sepak yang paling hebat dalam sejarah.
1. Leicester vs Nottingham Forest - Carling Cup 2007
Pada tahun 2007, perlawanan di antara Notthingham Forest dan Leicester telah dibatalkan melalui persetujuan kedua-dua pasukan selepas pemain pertahanan Leicester, Clive Clark pengsan dalam bilik persalinan ketika waktu rehat.
Perlawanan dijadualkan semula 3 minggu kemudian. Ketika perlawanan dimulakan oleh Notthingham Forest, kesemua pemain Leicester berdiri kaku dan tidak mencabar bola yang dimiliki oleh pemain lawan.
Malah, mereka memberikan ruang luas kepada pemain Notthingham Forest untuk membawa bola dan menjaringkan gol.
Apa yang sebenarnya berlaku adalah Leicester membiarkan pasukan lawan untuk menjaringkan gol, bagi memberikan kelebihan 1 jaringan kepada Notthingham Forest, seperti mana dalam perlawanan sebelum itu.
2. Paolo Di Canio vs Everton - 1998
Paolo Di Canio sememangnya terkenal dengan kontroversi sepanjang kariernya di Liga Perdana Inggeris, namun beliau telah melakukan sesuatu yang mengejutkan semua orang.
Ketika bermain untuk West Ham di Goodison Park, Paolo Di Canio membuatkan kita menyaksikan satu detik permainan yang adil yang pernah dilihat dalam sejarah bola sepak.
Dengan perlawanan terikat dengan jaringan 1-1 dengan waktu permainan hampir 90 minit, pemain Itali ini dihidangkan dengan kesempatan emas untuk menjaringkan gol kemenangan selepas penjaga gol Everton, Paul Gerard, tiba-tiba pengsan ketika mencabar bola.
Dengan pintu gol terbuka luas dan kemenangan boleh dicapai dengan hanya satu sentuhan sahaja, Paolo memilih untuk menangkap bola tersebut dan menghentikan permainan, bagi membolehkan Paul Gerrard menerima rawatan.
3. Robbie Fowler vs Arsenal - 1997
Dalam perlawanan menentang Arsenal di Highbury pada tahun 1997, Robbie Fowler menerima hantaran jauh daripada Mark Wright.
Dengan hanya perlu menewaskan satu-satunya pemain lawan yang tinggal iaitu penjaga gol Arsenal, David Seaman, malangnya Robbie tersadung dan terjatuh di dalam kotak penalti.
Pengadil kemudiannya menunjukkan isyarat bahawa sepakan penalti diberikan. Jika pemain lain, pastinya sangat gembira dengan keputusan ini, malah ada yang sengaja berlakon untuk mendapatkan sepakan penalti.
Tetapi tidak bagi Robbie Fowler. Melihatkan keadaan itu, Robbie bingkas bangun dan cuba untuk meyakinkan pengadil bahawa beliau terjatuh sendiri, dan bukan disebabkan oleh penjaga gol.
Namun, sepakan penalti tetap diberikan walaupun Fowler sendiri mengaku beliau terjatuh sendiri. Perkara itu dipuji oleh FIFA dan telah memenangi hati semua peminat.
4. Arsene Wenger vs Sheffield United - 1999
Pada tahun 1999, Arsene Wenger membawa masuk pemain baru, Nwanko Kanu ke dalam pasukan Arsenal.
Namun, perlawanan FA Cup menentang Sheffield United berlangsung selepas kemasukan Kanu dan dia belum sempat memahami protokol perlawanan liga Inggeris.
Dengan perlawanan hanya berbaki 10 minit, jaringan menunjukkan 1-1. Sheffield United kemudian itu menendang bola keluar padang bagi membolehkan salah seorang pemain menerima rawatan.
Setelah rawatan diberikan, pemain Arsenal Roy Parlor membuat lontaran ke kepada penjaga gol Sheffield United, Alan Kelly bagi memulakan semula perlawanan yang adil.
Kanu yang tidak menyedari akan kebiasaan itu telah merampas bola dan menghantar kepada Marc Overmas lalu menjaringkan gol.
Berasa malu dengan tindakan itu, pengurus Arsenal memutuskan untuk membatalkan keputusan dan mahu mengadakan semula perlawanan tersebut untuk perlawanan yang lebih adil.
5. Jan Vertonghen vs SC Cambuur - 2006
Semasa bermain untuk Ajax menentang SC Cambuur, Jan Vertonghen yang ketika itu berusia 19 tahun, secara tak sengaja menjaringkan gol ketika cuba untuk mengembalikan bola kepada pihak lawan selepas bola dikeluarkan bagi membolehkan rakan sepasukannya menerima rawatan.
Jan yang berasa bersalah disebabkan gol tersebut, kemudiannya mengarahkan rakan sepasukannya untuk membiarkan pemain lawan untuk membawa bola tanpa halangan dan menjaringkan gol, bagi menyamakan kedudukan.
Jan Vertonghen menerima pujian daripada rakan sepasukan dan pihak lawan, serta peminat bola sepak yang menonton.
6. Miroslav Klose vs Napoli - 2012
Miroslave Klose bukan sahaja antara penjaring gol terhebat sepanjang zaman, tetapi juga salah seorang yang budiman dalam perlawanan.
Beliau terkenal dengan kehebatan menjaringkan gol, namun Klose tidak menggunakan "apa-apa dan bagaimana" cara sekalipun untuk menjaringkan gol, tidak seperti pemain-pemain lain yang hanya mementingkan jaringan.
Dalam perlawanan menentang Napoli pada tahun 2012, Klose yang bermain untuk Lazio telah menjaringkan gol melalui sepakan penjuru.
Namun, Klose kemudiannya mengaku kepada pengadil bahawa beliau menggunakan tangan untuk menampan bola masuk ke dalam gawang lawan.
Pengadil membatalkan gol tersebut, walaupun pada awalnya jaringan gol diberikan, disebabkan pengakuan oleh Klose.