Pada masa ini, dianggarkan lebih daripada 4,000 agama yang wujud di seluruh dunia. Ia termasuk agama yang sudah kukuh bertapak sehinggalah kepada agama yang menyerupai kultus atau ajaran sesat.
Apa sahaja perbezaan kepercayaan manusia, sudah pasti ada agama di luar sana yang bersesuaian dengan kepercayaan itu. Berikut adalah enam kumpulan agama yang kurang dikenali tetapi mempunyai jumlah pengikut yang agak besar dari seluruh dunia.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Falun Gong
Agama ini ditubuhkan di China pada tahun 1992. Falun Gong adalah disiplin rohani di mana para pengikutnya cuba mendapatkan kesihatan dan pembaharuan yang lebih baik melalui meditasi. Tiga kepercayaan asas agama ini adalah 'kebenaran, belas kasihan dan kesabaran'.
Agama ini menggabungkan unsur-unsur ajaran Buddhisme, Taoisme, Konfusianisme dan sedikit cerita rakyat Cina. Pada akhir tahun 1990-an, Parti Komunis China mula melihat Falun Gong sebagai satu ancaman kerana kebebasannya dan saiznya yang besar.
Ada pihak yang berpendapat pada penghujung 1990-an, pengikut Falun Gong atau Falun Dafa ini melebihi 10 juta orang. Parti Komunis kemudian memulakan kempen propaganda besar-besaran untuk menghentikan ajaran ini.
Pada April 1999, lebih daripada 10,000 pengikut Falun Gong berkumpul secara aman berhampiran bangunan kerajaan untuk meminta pengiktirafan dan bebas daripada gangguan pihak kerajaan. Ramai melihat peristiwa ini sebagai peluang bagi pihak kerajaan melakukan penindasan berikutan pihak berkuasa telah menculik, menyiksa, menahan dan membunuh beribu-ribu pemimpin Falun Gong.
Sejak perhimpunan itu, para penganut Falun Gong menuntut agar pemimpin Parti Komunis dibicarakan kerana melakukan pembunuhan beramai-ramai dan jenayah terhadap kemanusiaan.
2. Ásatrú
Ásatrú bermaksud kepercayaan terhadap tuhan-tuhan Norse Lama dan menjalani kehidupan yang sederhana dengan menyembah empat dewa utama. Agama ini sebenarnya telah wujud sejak beribu-ribu tahun, lebih lama daripada agama Kristian.
Walaupun Ásatrú sering disamakan dengan agama Neopagan, namun ia berbeza daripada aliran utama Neopaganisme. Ia berpegang teguh pada asas sejarah Nordic dan merangkumi kepercayaan rohani Politeistik.
Tidak ada amalan "universal" atau pemahaman tentang Ásatrú yang benar-benar wujud. Namun kebanyakan kumpulan penganutnya merayakan agama ini dengan blóts, acara komuniti yang didadakan beberapa kali setahun.
Mereka akan menyediakan mead (wain madu) atau arak dan melakukan ucap selamat kepada dewa-dewa, wira-wira dan nenek moyang mereka. Hammer of Thor merupakan lambang utama kepada ajaran agama ini.
3. Bahá’í
Tiga prinsip yang menjadi asas bagi ajaran Bahá'í ialah :
- Perpaduan Tuhan - bahawa hanya ada satu Tuhan yang menjadi sumber semua penciptaan
- Perpaduan Agama - semua agama utama berasal dari sumber dan Tuhan yang sama
- Perpaduan Manusia - semua manusia diciptakan sama rata dan kepelbagaian bangsa dan budaya diterima serta dihargai
Merupakan salah satu agama yang agak 'muda' di dunia, Bahá'í diasaskan pada tahun 1863 di Iran oleh Baha'u'llah. Dia percaya bahawa agama Bahá'í ini adalah salah satu wahyu daripada Tuhan pada waktu itu.
Baha'u'llah - Pengasas agama Baha'i
Para pengikut Bahá'í percaya bahawa bukan hanya seorang sahaja utusan tuhan yang dihantar dalam satu-satu agama itu. Mereka percaya beberapa orang nabi akan dihantar dalam setiap agama dan akan mendedahkan diri mereka dari semasa ke semasa.
Idea utama kepercayaan di sebalik agama Bahá'í adalah perpaduan antara manusia, agama dan perkara yang membawa manfaat kemanusiaan. Kini Bahá'i dianggarkan mempunyai 10 juta orang pengikut dan banyak cawangan di beberapa buah negara termasuk Israel.
4. Universe People (Cosmic People of Light Powers)
Kumpulan agama dari Czech Republik ini mula diperkembangkan oleh seorang pensyarah bernama Ivo A. Benda. Pensyarah itu mendakwa dirinya mempunyai keupayaan untuk berkomunikasi secara telepati dengan makhluk luar angkasa.
Penganut agama ini percaya bahawa kapal angkasa makhluk asing sedang mengorbit bumi dari semasa ke semasa dan memerhatikan kita. Makhluk asing ini akan memberikan bantuan kepada sesiapa yang dilihat layak menerimanya dan akhirnya membawa kita ke dimensi lain.
Pada tahun 1997, dunia digemparkan dengan pembunuhan diri beramai-ramai oleh penganut agama Heaven's Gate dalam usaha untuk membebaskan diri dan jiwa mereka dari alam ini. Seramai 39 orang telah menemui ajal pada hari itu.
Ivo A. Benda - Pengasas Universe People
Orang ramai juga khuatir bahawa Universe People juga akan melakukan perkara yang sama memandangkan mereka membawa ajaran yang tidak jauh berbeza dengan Heaven's Gate.
Namun kebimbangan masyarakat telah berkurangan kerana pengasas Universe People iaitu Benda, menyakinkan semua orang bahawa ajarannya itu tidak akan membawa kepada pembunuhan diri beramai-ramai. Penganut Universe People percaya mereka perlu bersedia untuk menghadapi kaum Saurian atau Manusia Reptilia yang akan datang ke Bumi.
5. Yorùbá
Agama Yorùbá ini berpangkalan di Nigeria, terutamanya kawasan Benin dan Togo yang mereka kenali sebagai Yorùbáland. Para penduduk di sini juga bertutur dalam bahasa yang mereka gelarkan Yorùbá.
Agama ini tidak mempunyai pengasas namun mereka percaya agama ini wujud disebabkan oleh satu Tuhan pencipta bernama Olodumare. Matlamat utama para pengikut Yorùbá adalah untuk menjadikan roh mereka bersatu dengan Tuhan pencipta itu.
Selain Olodumare, terdapat kumpulan dewa-dewa lain yang dikenali sebagai Orisha. Jumlah bilangan dewa-dewa Orisha ini adalah begitu banyak sekali antara 400 hingga 700 daripadanya.
Mereka sering melakukan ritual seperti bermain dram, upacara penyembuhan dan juga pemujaan roh. Semasa era pemerdagangan hamba abdi, para pengamal agama Yorùbá di Afrika telah dibawa ke Amerika dan dipaksa bekerja serta menganut agama Katolik dan Kristian. Kini, pengamal Yorùbá di Amerika bercampur kepercayaan dan amalan antara Yorùbá dan Kristian.
6. Cao Dai
Agama Cao Dai (disebut sebagai gao-die) diasaskan pada tahun 1926 di Vietnam. Cao Dai juga merupakan nama Tuhan Agung agama ini, yang dipercayai bebas daripada sifat fizikal seperti jantina atau personaliti.
Dahulu, agama Cao Dai telah meminjam daripada fahaman agama Taoisme dari segi bentuk amalan ghaib, termasuk berkomunikasi dengan orang mati melalui pemujaan dan kini amalan ritual itu telah diharamkan oleh kerajaan Vietnam.
Kuil Cao Dai
Agama ini mempunyai sekurang-kurangnya empat hingga enam juta pengikut. Simbol bagi agama ini ialah "all-seeing eye", iaitu mata kiri di dalam segitiga yang dapat ditemui di kuil gua mereka.
Kuil yang dibina di selatan Vietnam itu mempunyai hiasan naga dan pelbagai patung yang berwarna warni, di mana ribuan penganut datang untuk melakukan ibadat setiap tahun. Apa yang anehnya agama ini mempunyai campuran ajaran agama lain seperti Buddhisme, Kristian, Taoisme, Confucianisme dan Islam.