Oleh pada 23 Aug 2022 kategori

Apabila semua perkara berkaitan transaksi perbankan kini sudah menjadi digital, semakin banyak kisah-kisah penjenayah yang bijak memanfaatkan kemahiran komputer untuk menipu kedengaran.

Ramai sudah menjadi mangsa scammer-scammer ini yang menggunakan pelbagai taktik dan kaedah licik, bagi mengelabui mata pemilik akaun agar wang hasil titik peluh mereka dapat dilesapkan.

Malangnya, walaupun sudah banyak panduan dan nasihat dikeluarkan bagi memupuk kesedaran orang ramai - kesnya tampak sukar untuk berhenti biasanya akibat kecuaian kita sendiri. Berikut adalah lima tips paling mudah yang bagus untuk kita amalkan apabila berdepan situasi sebegini.

1. Rujuk bank sebelum buat apa-apa

servis perkhidmatan pelanggan

Ini adalah nasihat paling utama yang semua orang perlu faham.

Jika anda mendapat emel mengatakan ada transaksi bayaran dibuat tanpa pengetahuan anda, rujuk bank. Jika ada pihak ketiga menelefon anda bertanyakan tentang pindahan wang yang tidak anda ketahui, rujuk bank.

Kebanyakan mangsa scam menjadi mangsa kerana mereka terus percaya dengan individu yang menghubungi mereka, sehingga terlupa pihak bank ada menyediakan nombor hubungan untuk anda memeriksa apa-apa masalah dengan mereka. 

Tak kiralah walaupun nombor pemanggil yang memanggil anda sama seperti nombor pihak bank sekalipun, pastikan sebelum membongkar apa-apa maklumat anda - anda sendiri kena hubungi pihak bank bagi memastikan kesahihan panggilan yang anda terima.

2. Jangan klik pautan atau pasang aplikasi tanpa sebab

pdrm scam apk aplikasi

Sama ada menggunakan telefon pintar atau komputer, kerja-kerja scammer biasanya akan bermula dengan satu cara - anda perlu menekan satu pautan yang memuat turun sesuatu aplikasi untuk dipasang ke peranti anda. 

Majoriti teknik phising scam bermula dengan kaedah ini. Apa yang berlaku kemudian bergantung kepada jenis aplikasi yang telah anda pasang tanpa sedar.

Sama ada anda memberikan akses penuh peranti anda kepada penjenayah atau penjenayah telahpun akses kepada keylogger, sejenis perekod semua input papan kekunci yang anda gunakan. 

Pautan aplikasi sebegini boleh datang dalam bermacam format, sama ada melalui emel, laman web, SMS, mesej Whatsapp dan juga beberapa kaedah lain. Berhati-hati apabila memasang aplikasi yang disarankan oleh pihak ketiga. 

Pastikan anda memuat turun aplikasi hanya dari pihak penyelia asli seperti Google Play Store, Apple App Store atau Microsoft Store bagi komputer. Bagi muat turun khusus dari laman web, luangkan masa seminit dua Google-kan dulu nama aplikasi itu. 

3. Periksa pautan dan alamat emel setiap kali anda mahu melakukan urusan bank

maybank website palsu

Oleh kerana kebanyakan aplikasi sekarang ini boleh terus berhubung dengan sistem perbankan, scammer juga semakin kreatif mencipta 'laman-laman web' mirip dengan laman web perbankan asal. 

Wajahnya mungkin serupa, tetapi periksa dulu alamatnya sebelum memasukkan data anda. Jika anda di Maybank2u, pastikan alamatnya sama. Bukan 'www.maybamk2u.co' atau 'www.mmaybank2u.co.2u' sebagai contoh. Nampak serupa sekali imbas, tetapi ini taktik asal penipuan yang dijalankan.

Sama juga seperti emel. Jika anda menerima emel dari pihak seperti 'loanofficer@maybankk2u.co' yang menceritakan tentang kewujudan pinjaman melibatkan nama anda yang langsung anda tak tahu ada, dari alamat emelnya saja sudah jelas semua itu dusta. 

4. Jangan muat naik butiran kad kredit secara kekal

elak tinggal data kad bank anda

Kemudahan beli-belah dalam talian telah menyebabkan ramai di antara pengguna di Malaysia ni gemar menyimpan rekod kad bank mereka, baik debit atau kredit dalam sistem gedung maya untuk memudahkan urusan pembayaran.

Jika anda benar-benar yakin dengan mereka, tak apalah - tetapi penulis walaupun menggunakan sistem mereka, masih gentar nak meninggalkan rekod kad bank penulis. Setiap urusan transaksi pembayaran penulis biasanya dilakukan satu per satu, menggunakan sistem FPX yang pada penulis lebih meyakinkan.

Memanglah leceh sikit kena log masuk dan log keluar setiap kali nak bayar, tetapi bila kita nampak kata kata kunci sekuriti dan juga imej sekuriti setiap kali nak buat pembayaran - rasa yakin kita tidak berada di laman yang salah tu berkuranganlah.

5. Gunakan fon tidak pintar

amalkan dumb phone ganti smartphone

Sekiranya anda benar-benar rasa risau serta tahu diri anda kurang mahir dalam mengenalpasti apa yang kami perjelaskan di atas, mungkin langkah terakhir yang boleh anda buat adalah gunakan telefon 'tidak pintar' atau 'dumbphone' sebagai satu-satunya telefon di mana nombor TAC anda boleh diakses.

Dengan pertukaran ini, sekurang-sekurangnya anda boleh dijauhi daripada bermacam jenis anasir jahat kerana fungsi dumbphone itu sendiri sangat terhad - sehinggakan scammer pun tak boleh buat apa dengan anda.

Nak suruh anda pasang aplikasi scam? Tak boleh. Dia nak cuba baca TAC yang anda terima? Tak boleh. Nak berikan anda pautan scam dalam emel pun tak boleh.

Leceh memang leceh sedikitlah tetapi untuk mereka yang kurang cakna tentang sekuriti dan tatacara perlindungan diri, ini adalah kaedah terbaik. Hendak tak hendak kita kena mengaku juga, memang semua orang ada kemahiran - tetapi bukan semua pihak faham bagaimana nak menangani scammer.

Langgan dua nombor. Satu untuk telefon pintar dan satu untuk telefon bodoh. Pastikan semua nombor pin TAC anda hanya dihantar ke telefon bodoh anda. Beli telefon bodoh yang murah-murah cukup, asalkan original. 



Hakcipta iluminasi.com (2017)