Oleh pada 05 Aug 2017 kategori

Beberapa tahun dahulu, anda dikira agak hebat jika berjaya mengabaikan email putera raja Nigeria yang ingin menghantar duit wasiat jutaan dolar ke dalam akaun bank anda. Bagi anda, mungkin makcik-makcik di kampung yang kurang berpendidikan saja yang mudah tertipu dengan muslihat itu.

Tapi teknologi telah berubah dan cara penipuan juga kini semakin canggih. Scammerspula menjadi semakin pintar menggunakan pelbagai helah untuk mendapatkan data peribadi atau wang anda. Jika anda selama ini gagal membezakan berita sahih dengan berita palsu, anda juga mungkin tidak dapat membezakan antara scam dengan perniagaan sah.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kami kongsikan 7 penipuan di Internet yang boleh memperdaya walaupun bagi individu celik teknologi dan cara untuk elakkan diri daripada menjadi mangsa:

1. E-mel rangkaian sosial palsu

Kaedah penipuan: Skim pancingan data (phishing) ini melibatkan penghantaran e-mel palsu yang kelihatan seperti berasal dari rangkaian sosial sebenar. Ia mungkin mengatakan bahawa anda mempunyai permintaan rakan baru atau ada seseorang telah cuba menceroboh masuk ke akaun anda dan anda perlu log masuk segera untuk pengesahan identiti.

fake facebook email

Sekiranya anda log masuk menggunakan pautan palsu yang diberikan dalam e-mel tersebut, penipu tersebut boleh mengakses akaun sebenar anda, mencuri identiti, menghantar mesej spam kepada kenalan anda dan menggunakan maklumat peribadi untuk memeras ugut anda.

Cara mengelakkan: Sama seperti modus operandi phishing akaun bank, anda hanya perlu mengelakkan daripada menggunakan apa-apa pautan dari dalam e-mel. Jika anda mendapat sebarang notifikasi berkaitan akaun media sosial, layari terus laman web tersebut dengan menaip alamat menggunakan browser ataupun menggunakan aplikasi yang telah dimuat turun ke dalam telefon anda.

Jangan sesekali klik pautan yang dihantar kepada anda dan sentiasa gunakan tetapan pengesahan dua langkah bagi kesemua akaun anda. Dengan cara ini, jika ada seseorang cuba menceroboh ke dalam akaun anda dari peranti berbeza, anda akan segera mendapat notifikasi amaran.

2. Lampiran e-mel yang tidak dijangka

Kaedah penipuan: Katakan scammer berjaya mengakses e-mel rakan anda, dia akan menghantar e-mel palsu kepada semua kenalan di dalam senarai. Kebiasaannya e-mel itu akan dilampirkan sekali pautan atau dokumen untuk dimuat turun.

email yang disangka daripada kawan

Anda mungkin sangka e-mel itu benar-benar dihantar oleh rakan anda lalu anda pun memuat turun dokumen yang dihantar. Kesudahannya, komputer anda mungkin dijangkiti virus ataumalware. Lebih pedih lagi sekiranya kesemua fail anda tidak dapat diakses disebabkanransomware yang memohon wang tebusan.

Cara mengelakkan: Jika anda menerima e-mel mengandungi dokumen yang tidak dijangka atau pautan kepada mana-mana laman web perkongsian fail, jangan terus dibuka. Sebaliknya, cuba hubungi rakan yang menghantar itu terlebih dahulu melalui saluran lain seperti panggilan telefon atau Whatsapp untuk memastikan bahawa merekalah penghantar sebenar.

3. Permintaan menjadi rakan

Kaedah penipuan: Penipu akan membuat profail akaun fake menggunakan maklumat dan gambar rakan anda kemudian menghantar permintaan untuk menjadi rakan baru anda. Jika anda menerima permintaan tersebut, penipu tersebut kini mempunyai maklumat peribadi anda yang boleh digunakan untuk menggodam akaun-akaun lain.

Maklumat sensitif seperti tarikh lahir, tempat tinggal, nama ibu dan ayah, nama binatang peliharaan dan sebagainya tidak patut diketahui umum.

fake profail facebook scammer

Cara mengelakkan: Jangan terima permintaan menjadi rakan oleh orang yang tidak dikenali. Jika ada seseorang yang sudahpun berada dalam senarai rakan anda membuat permohonan menggunakan akaun baru, anda perlu cuba hubunginya melalui saluran lain (panggilan telefon, Whatsapp dan sebagainya) untuk mengesahkan yang mereka memang benar-benar mempunyai akaun kedua.

Dan yang paling penting, jangan sesekali kongsi maklumat peribadi yang boleh menjawab soalan keselamatan akaun lain.

4. Wifi percuma

Kaedah penipuan: Penjenayah akan membuka hotspot Wifi dengan akses terbuka di kawasan tumpuan ramai seperti kedai kopi atau lapangan terbang. Wifi 'percuma' ini dihubungkan ke komputer riba mereka yang akan mencedok segala data dan maklumat daripada telefon atau komputer anda setelah internet berjaya disambung.

wifi percuma boleh digodam

Cara mengelakkan: Pastikan tetapan Wifi peranti anda tidak akan menyambung secara automatik kepada mana-mana rangkaian Wifi dengan akses terbuka. Pilih tetapan "Ask to join networks" dan sentiasa padam butang Wi-Fi jika tidak digunakan. Apabila berada di tempat yang menawarkan Wi-Fi percuma, pastikan anda bertanya kepada pekerja kedai nama rasmi rangkaian tersebut. Jangan sesekali membuat sebarang transaksi perbankan melalui rangkaian percuma.

5. Pop-ups yang menakut-nakutkan

Kaedah penipuan: Apabila melayari web, satu jendela timbul (pop-up window) akan muncul memberikan amaran yang peranti anda telah dijangkiti virus dan malware. Kemudian anda diminta menekan butang untuk membuat imbasan menggunakan perisian antivirus untuk memadam virus itu dengan mengenakan bayaran yang murah. Jika anda menekan butang muat turun, anda mungkin telah memasukkan perisian yang berniat jahat. dan boleh mendapatkan maklumat peribadi seperti nombor kad kredit.

popup amaran virus

Cara mengelakkan: Pastikan peranti anda telah dipasang program antivirus yang sentiasa dikemaskini. Jangan klik pada mana-mana iklan timbul semasa melayari Internet dan tutup semua tetingkap sekiranya iklan 'virus' itu muncul dengan banyak. Pasang pop-up blockers pada pelayar untuk mengelakkan penipuan seperti ini muncul tanpa diundang.

6. Cari jodoh

Kaedah penipuan: Kaki tipu akan membuat satu profail cari jodoh yang palsu dengan gambar dan maklumat daripada orang sebenar. Kebiasaannya gambar dengan wajah jejaka kacak dan gadis yang cantik menjadi pilihan pemangsa. Mereka kemudian akan mencari mangsa untuk berkenalan dengan lebih rapat melalui mesej, gambar dan panggilan telefon. Tapi mereka sering menolak apabila diminta membuat panggilan video atau bersemuka secara depan-depan.

Apabila hubungan anda berdua sudah semakin intim, penipu tadi akan mula menceritakan masalah kewangan mereka dan meminta anda menghulurkan bantuan. Jika anda termakan pujuk dan membuat pindahan wang, mereka mungkin akan terus lesap melarikan diri atau berterusan memohon simpati anda untuk meminta wang dengan lebih banyak.

cari jodoh muka hensem sangat

Cara mengelakkan: Percaya dengan naluri anda. Jika orang yang dikenali dalam talian enggan berjumpa untuk bersua muka, pasti ada sesuatu yang dia ingin sembunyikan. Jangan sesekali menghantar wang kepada sesiapa sahaja yang anda baru kenali dalam alam maya.

7. Perlukan simpati dan bantuan

Kaedah penipuan: Scammer akan membuat satu post, halaman crowd funding ataupun laman kerja amal berkaitan berita yang sedang viral. Berita ini kebiasaannya seperti ditimpa bencana alam, menyamar mempunyai anak kecil yang sedang sakit tenat atau keluarga yang hidup dalam keadaan daif.

Penipu kemudian akan meyakinkan orang ramai agar menghebahkan post/halaman tersebut ke media sosial. Ada penipu yang meletakkan nombor akaun sendiri/dipinjam untuk menerima dana daripada orang ramai, ada juga penipu yang meletakkan pautan untuk anda menderma menggunakan akaun bank dalam talian.

Cara mengelakkan: Jangan klik pautan yang anda terima melalui e-mel ataupun melayari alamat web yang mencurigakan. Jika anda ingin menderma, cari organisasi yang betul atau orang yang dipercayai. Jika anda ingin membuat pindahan wang derma secara dalam talian, pastikan URL memaparkan "https://" di bahagian permulaan alamat.

minta derma anak sakit menyamar jadi ibu bapa

Walaupun anda seorang yang berhati-hati, scammer, penggodam dan pencuri identiti akan sentiasa berusaha untuk mendapatkan wang dan maklumat peribadi anda. Jadi, jangan mudah percaya apa yang anda lihat dan semak terlebih dahulu sebelum anda terpedaya.

Jadilah pengguna Internet yang bijak dan sentiasa berwaspada!




Hakcipta iluminasi.com (2017)