Orang utan adalah tiga spesies beruk besar yang berasal dari Malaysia dan Indonesia. Haiwan itu kini hanya terdapat di hutan hujan Borneo dan Sumatera sahaja. Dikelaskan dalam genus Pongo, orang utan pada asalnya dianggap sebagai satu spesies sahaja.
Pada tahun 1996, haiwan itu dibahagikan kepada dua spesies iaitu orang utan Borneo (P. pygmaeus sebanyak tiga subspesies) dan orang utan Sumatera (P. abelii). Pada bulan November 2017, dilaporkan bahawa spesies ketiga orang utan telah dikenali pasti iaiti orang utan Tapanuli (P. tapanuliensis).
BESARKAN TEKS A- A+
Peluang untuk bertemu dengan orang utan di habitat semula jadi adalah salah satu pengalaman hidup yang terbaik kerana haiwan itu semakin jarang ditemui dan hampir pupus. Berikut adalah 5 tempat terbaik di mana anda boleh melihat orang utan di habitat semula jadinya.
1. Lembah Danum, Sabah, Malaysia
Terbentuk daripada rizab hutan hujan seluas 400 km persegi, Lembah Danum menawarkan salah satu peluang terbaik untuk anda melihat orang utan di dalam persekitaran semula jadi.
Kajian terbaru menunjukkan bilangan orang utan di kawasan itu adalah sebanyak 500 ekor semuanya. 17 ekor daripada jumlah itu tinggal di kawasan berhampiran Borneo Rainforest Lodge.
Borneo Rainforest Lodge terletak di lokasi yang menakjubkan di lencongan Sungai Danum. Rumah persinggahan itu menawarkan laluan hutan yang baik dan perkhidmatan pemandu pelancong, terdiri daripada penduduk tempatan untuk membantu anda melihat orang utan.
Memulakan perjalanan pada awal pagi di laluan kanopi di situ adalah cara terbaik untuk melihat orang utan dan haiwan pribumi yang lain.
Satu lagi pilihan ialah dengan tinggal di Danum Valley Field Centre. Ia merupakan stesen penyelidikan orang utan. Walaupun tiada panduan yang disediakan tetapi anda akan berpengalaman melihat sendiri bagaimana haiwan terancam itu dipelihara.
2. Gunung Leuser, Sumatra, Indonesia
Orang utan Sumatera yang terdapat di sini mempunyai warna yang lebih terang, muka yang lebih tirus dan panjang berbanding sepupu mereka di Borneo. Spesies orang utan ini juga merupakan spesies yang amat terancam.
Tempat perlindungan orang utan di Taman Negara Gunung Leuser ini menawarkan peluang terbaik bagi pengunjung untuk melihat haiwan unik ini hidup liar di habitat semula jadi mereka.
Tempat perlindungan ini telah memulihkan dan melepaskan semula lebih daripada 200 ekor orang utan. Akan tetapi, tempat perlindungan ini telah ditutup pada tahun 2005 kerana telah penuh dengan orang utan.
Orang utan yang dipelihara atau liar kekal berada di kawasan ini. Orang utan yang pernah dibeli di pusat perlindungan ini dilihat sering kembali ke bangunan terbiar ini terutamanya di bahagian tempat memberi makan.
Haiwan itu juga dapat dilihat dari laluan penjalan kaki yang disediakan di sini. Bukit Lawang Eco-Lodge di pinggir taman ini merupakan tempat terbaik untuk pelancong tinggal dan melihat orang utan.
3. Sungai Kinabatangan, Sabah, Malaysia
Sungai yang terpanjang di Sabah iaitu Sungai Kinabatangan dipenuhi dengan kawasan rizab yang dilindungi. Ia merupakan tempat terbaik untuk melihar orang utan liar. Selain itu, ia juga merupakan rumah bagi gajah pygmy, monyet proboscis, buaya dan pelbagai lagi spesies asli Borneo.
Kebanyakan lodge terletak 80 km di Sukau atau sedikit hulu di Kampung Bilit. Tidak banyak denai penjalan kaki yang disediakan dan biasanya pemerhatian haiwan dilakukan menggunakan bot atau perahu.
Selain itu, terdapat satu lagi cara iaitu dengan melalui kawasan tasik yang dipenuhi pokok buah-buahan yang besar. Apabila tiba musim buah, orang utan diketahui akan berkumpul berhampiran kawasan itu selama beberapa hari.
4. Tanjung Puting, Kalimantan, Indonesia
Hutan hujan tropika dan hutan rawa gambut di Taman Negara Tanjung Puting merupakan salah satu kawasan perlindungan orang utan di Borneo. Taman Camp Leakey yang berkeluasan 3,040 kilometer persegi ini menjadi habitat bagi lebih 5,000 ekor orang utan ini menjadi pusat penyelidikan jangka panjang yang dijalankan oleh Dr. Biruté Mary Galdikas.
Perjalanan ke lokasi ini bukanlah suatu perkara yang mudah. Laluan masuk adalah melalui lapangan terbang Pangkalan Bun atau Pelabuhan Kumai dan diikuti dengan perjalanan menaiki bot selama 2½ jam ke Tanjung Harapan. Dari situ, satu lagi perjalanan selama dua jam di sepanjang Sungai Sekonyer sebelum tiba ke Camp Leakey.
Kebiasaannya, pengunjung akan menyewa sebuah bangsal bot dipanggil Klotok serta seorang pemandu selama tiga hari untuk membawa mereka merentasi sungai hutan yang sempit serta meneroka kawasan hutan hujan itu sebanyak dua atau tiga kali sehari. Namun, ada pengunjung yang memilih Dr. Galdikas sendiri untuk membimbing mereka kerana pengetahuan luasnya tentang orang utan.
5. Kawasan Simpanan Hidupan Liar Tabin, Sabah, Malaysia
Lokasi ini ditubuhkan pada tahun 1984 bertujuan untuk memelihara hidupan liar yang semakin pupus di wilayah ini. Ia menjadi tempat perlindungan bagi pelbagai spesies flora dan fauna termasuklah burung enggang, gajah pigmi, musang, harimau bintang dan tarsier barat.
Kawasan Simpanan Hidupan Liar Tabin juga menjadi salah satu tempat terbaik untuk melihat orang utan. Taman ini merupakan kawasan pelepasan spesies tersebut selepas melalui proses pemulihan di Sepilok.
Penginapan bagi para pengunjung terletak di kawasan pinggir hutan namun terdapat banyak denai dan pemandu pelancong yang boleh menemani sebagai bimbingan.
Rujukan:
3. Wanderlust