Bola sepak adalah satu sukan yang melibatkan amaun berbilion ringgit setahun. Jadi banyak pihak sanggup melabur jutaan ringgit semata-mata untuk memastikan tahap keadaan pemain serta pengurusan meningkat dengan banyak.

Apakah contoh-contoh teknologi yang digunapakai di luar negara? Ada bermacam jenis sebenarnya tetapi kami kongsikan kepada anda, 5 contoh teknologi yang berbeza menjadi amalan kelab luar, daripada elemen sekecil stoking sehinggalah kepada fasiliti besar yang mampu melatih ketepatan hantaran pemain.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Viper POD dan STATSports

messi memakai viper pod

Viper POD dan STATSports merupakan sistem pengesan pergerakan pemain ciptaan syarikat STATSports Technologies. Ia memerlukan dua peranti, satu alat pengesan bernama Viper POD GPS yang akan merekodkan pergerakan pemain sepanjang latihan dan perlawanan, serta aplikasi pemproses data menggunakan komputer. Data yang akan direkodkan pula pelbagai jenis, daripada aspek larian, kecepatan larian, jarak larian, pecutan, nyahpecutan dan daya beban yang ditanggung.

Dengan data-data ini, lebih mudah bagi pasukan mengenalpasti pemain manakah yang letih, berisiko menghadapi kecederaan, memerlukan latihan tambahan ataupun malas bermain, hanya nak makan gaji buta-buta.

Mendapat anugerah peranti pakaian terbaik dalam anugerah berprestij Sports Technology Awards, sistem ini digunapakai oleh banyak pasukan besar seperti Arsenal, Barcelona, Manchester United dan banyak pasukan-pasukan lain Hendak tahu bila peranti ini digunakan, lihat bahagian belakang pemain sama ada wujud lekuk pada bawah leher mereka.

2. Globall Coach

rafael benitez menunjukkan globall coach

Diasaskan oleh pengurus legenda pasukan Liverpool, Rafael Benitez bagi memudahkan beliau menunjukkan taktik secara visual kepada pemain, Globall Coach kini digunakan oleh ramai pengurus lain dalam membantu menerangkan apa yang terkandung dalam minda seorang jurulatih. Benitez membentangkan ideanya dan menjadi penyumbang dana kepada aplikasi tersebut dan Elite Sports Technology terpilih untuk membangunkan perisiannya.

Globall Coach dilancarkan pada tahun 2012 dan kini sudah pun memasuki versi 2.0. Bagaimana Globall Coach berfungsi? Andaikan satu papan taktikal berbentuk visual yang mampu dikawal oleh pengurus, sama ada melalui iPad ataupun disambung ke skrin TV. Dalam aplikasi tersebut, pengurus boleh menganimasikan sendiri bagaimana pergerakan taktikal yang kerap digunakan oleh pihak lawan dan pemain dapat melihat bagaimana pergerakan mereka dalam padang, patut dibuat berdasarkan kepada apa yang ditayangkan.

Jika ada taktik baru mengambil sepakan sudut yang direka, pengurus boleh menghantar animasi tersebut kepada pemain-pemain tak kira di mana saja mereka berada, sebagai indikator sebelum mereka menjalankan latihan sebenar di atas padang.

3. Beyond Sports

Teknologi maya dijadikan asas dalam pembangunan perisian di Beyond Sports. Apa yang akan dilakukan hanya merangkumi sesi latihan dengan pemain terpilih akan dipakaikan set realiti maya bagi mereka menjalani simulasi permainan sebenar.

Dengan menggunakan teknologi pengesan dan animasi, Beyond Sports akan menukarkan pergerakan yang berlaku dalam permainan sebenar, yang akan diterjemahkan sepenuhnya ke dalam bentuk realiti maya dengan pergerakan setiap pemain dapat diasingkan.

Jurulatih juga dapat melihat dari perspektif pemain itu sendiri, apa yang dilihat oleh pemain semasa di dalam padang dan ini dapat memberikan maklumat tentang apa kelemahan yang pemain perlu perbaiki. Sukar kami nak terangkan dalam bentuk tulisan, jadi anda boleh tonton demonya di atas.

Dibangunkan oleh sebuah syarikat Belanda, teknologi Beyong Sports kini sudah diguna pakai oleh kelab AZ Alkmaar, PSV Eindhoven, Ajax Amsterdam dan juga pasukan kebangsaan Belanda.

4. Footbonaut

mesin footbonaut

Footbonaut dikatakan adalah rahsia kejayaan pasukan Borussia Dortmund selama ini. Sebuah mesin berskala besar yang memerlukan ruang yang agak besar dengan dinding setinggi 14 meter.

Bola akan ditembak keluar dari dinding secara rawak dan pemain dikehendaki mengawal serta menyepak semula bola kepada salah satu daripada 64 kotak sasaran yang menyala, sebagai petunjuk pada pemain.

Dicipta oleh seorang pencipta dari Berlin, Jerman bernama Christian Guttler, Borussia Dortmund menjadi kelab pertama di dunia mempunyai fasiliti Footbonaut sebagai alat latihan mereka, sebelum kelab Hoffenheim membeli fasiliti sama.

Kebanyakan pemain yang sudah menggunakannya, seperti Shinji Kagawa, Robert Lewandowski dan Mario Gotze meyamakan satu sesi latihan dengan footbonauts menyamai satu minggu latihan hantaran bola di atas padang kerana ketepatannya.

5. TruSox

pemain mengenakan trusox

TruSox mencetuskan kontroversi selepas banyak pemain memilih untuk mengenakannya berbanding dengan stoking rasmi yang diberikan oleh penaja pasukan. Dicipta oleh Jim Cherneski, seorang pemilik syarikat start-up di England, TruSox sebenarnya dipakai oleh 30% pemain dalam liga perdana Inggeris namun tidak kelihatan. Ini kerana pemain terpaksa memakai stoking rasmi mereka di atas padang, dengan TruSox disorokkan dalam kaki.

Kebanyakan pemain yang didapati bersalah memakai TruSox berdepan dengan amaran daripada penaja. Hanya seorang saja pemain di dunia yang memakai TruSox secara rasmi iaitu Luis Suarez, penyerang hebat Barcelona. Pemain-pemain lain seperti Arjen Robben dan Gareth Bale juga adalah pemakai tegar TruSox namun terpaksa melindungi kepentingan penaja. Apa kelebihan TruSox sehinggakan atlit sanggup berdepan dengan amaran dan pemutusan kontrak dengan penaja?

trusox ciri citi

Apabila pemain berlari, permukaan di antara tumit dengan kasut kerap tergelincir sehingga mampu menyebabkan kecederaan pada kaki pemain. TruSox mengelakkan perkara itu dengan memperkemaskan genggaman kaki pada bahagian dalam kasut ketika pemain menukar arah larian, dengan menambah beberapa lapisan di atas bahagian achilles. Jika anda nak tahu pemain mana yang memakai TruSox, cari bintik-bintik yang jelas kelihatan pada bahagian belakang kaki pemain.




Hakcipta iluminasi.com (2017)