Sejak ratusan tahun lamanya, manusia telah menggunakan pelbagai teknik memburu untuk memburu haiwan. Selain menggunakan senjata, memburu haiwan juga boleh dilakukan dengan memasang perangkap.

Satu ketika dahulu kami pernah menulis mengenai Ukai, iaitu teknik memancing tradisional di Jepun dan China yang menggunakan burung Cormont. Menariknya, walaupun sudah jarang dilihat, masih terdapat lagi segelintir nelayan di Jepun dan China yang masih menggunakan teknik memancing tradisional ini.

Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi pula 5 lagi teknik memburu tradisional yang terdapat di seluruh dunia.

1. Kleptoparisitism

curi daging singa

Bagi kebanyakan manusia, singa adalah satu haiwan yang sangat ditakuti. Namun, percayakah anda bahawa etnik Mbororo di Camerooon mempunyai kepakaran untuk mencuri daging daripada haiwan pemangsa yang ganas ini? Teknik ini dikenali sebagai kleptoparisitism.

Sebaik sahaja singa tersebut berjaya membunuh mangsanya, pemburu-pemburu dari kaum Mbororo ini akan menakut-nakutkan dan menghalau singa ini. Sebaik sahaja singa ini melepaskan hasil buruannya, mereka ini kemudiannya akan mengambil pula daging tersebut daripada singa itu. 

Selain Cameroon, teknik ini juga digunakan di Uganda dan Tazania. Walau bagaimanapun, segelintir pihak ternyata tidak menggemari teknik ini kerana dikhuatiri akan menjejaskan kitaran makanan singa, seterusnya memberi kesan kepada jumlah populasi mereka.

2. Memburu dengan melakukan pembakaran

memburu dengan melakukan pembakaran

Kaum Martu yang tinggal di kawasan pantai Barat Australia sememangnya terkenal dengan teknik memburu biawak Goanna. Teknik ini dikatakan telah digunakan sejak ratusan tahun lamanya.

Ketika musim sejuk, biawak ini biasanya akan berhibernasi dan membina sarang di bawah tanah. Setelah mengenalpasti lubang masuk ke sarang haiwan ini, mereka akan menutupnya dengan timbunan ranting dan daun kering.

Kemudian, mereka akan membakar ranting dan daun-daun kering ini. Asap yang terhasil daripada pembakaran ini akan memaksa haiwan ini untuk keluar daripada sarangnya dan memudahkan mereka menagkap haiwan-haiwa ini.

3. Menggunakan helang

memburu guna burung helang

Burkitshi adalah pemburu haiwan dari kaum minoriti Khazakh yang tinggal di Mongolia. Sambil menunggang kuda, mereka akan memburu haiwan menggunakan helang.

Helang-helang yang digunakan juga bukanlah helang yang dibela sejak daripada kecil. Sebaliknya, mereka akan menangkap helang liar yang sudah berumur 4 tahun ke atas. Pada umur ini, burung helang sudah mempunyai kecekapan untuk memburu. 

Helang betina biasanya menjadi pilihan kerana sifat agresifnya. Helang yang ditangkap akan dijinakkan terlebih dahulu. Teknik ini berkemungkinan besar akan pupus tidak lama lagi memandangkan golongan Bukitshi ini semakin berkurangan. Dianggarkan terdapat sekitar 50 hingga 60 orang sahaja yang masih mengamalkan teknik memburu tradisional ini.

4. Teknik memijak

pijak ikan

Untuk menangkap ikan, terdapat beberapa teknik yang biasanya digunakan seperti memancing, menjala dan memasang bubu. Namun, lain pula bagi penduduk di bandar kecil Palnackie, Scotland yang hanya perlu memijak ikan ini.

Di kawasan pantai bandar ini, ikan Flounders dapat dilihat di kawasan air yang cetak. Ini kerana ikan ini bergantung kepada ketam-ketam kecil sebagai makanan utamanya. Penduduk hanya perlu memijak ikan ini berpandukan bayang-bayang ikan yang boleh dilihat daripada atas air.

Selain itu, pada hari Sabtu pertama di bulan Ogos setiap tahun, terdapat satu pertandingan menangkap ikan dengan menggunakan teknik memijak ini akan diadakan disini. Peserta yang menangkap ikan yang paling banyak akan diisytiharkan sebagai pemenang.

5. Menggunakan kayu dan cecair pelekat

kayu dan cecair pelekat 621

Pemburu di Cyprus pula menggunakan satu teknik yang boleh dianggap sangat mudah dan tradisional. Merekan akan meletakkan pelekat kuat yang diperolehi daripada buah Plum Syria di kayu.

Kayu yang sudah diletakkan pelekat ini akan diletakkan berhampiran pokok-pokok yang menjadi tempat burung berteduh. Apabila burung-burung ini hinggap di atas kayu ini, mereka akan melekat dan tidak boleh melarikan diri.

Malangnya, teknik ini turut mempunyai keburukannya. Burung-burung yang diancam kepupusan juga sering menjadi mangsa perangkap ini. Banyak organisasi antarabangsa cuba menghalang perkara ini bagi melindungi spesis-spesis burung terancam ini namun usaha ini sukar memandangkan cara memburu seperti ini sudah sebati dengan orang tempatan.

Kredit:

  1. BBC
  2. The New Yorker
  3. National Geographic
  4. SBS News


Hakcipta iluminasi.com (2017)