Oleh pada 24 Jul 2018 kategori

Saban tahun, apabila jendela perpindahan pemain bola sepak kelab-kelab di Eropah di buka, kita akan menyaksikan pembelian dan penjualan pemain yang penuh dengan kejutan. Dengan kemampuan dana yang besar, syarikat-syarikat gergasi Eropah seperti Manchester United, Real Madrid, Barcelona, PSG dan lain-lain sanggup membelanjakan puluhan dan ratusan juta dollar untuk membawa masuk pemain-pemain baru.

perpindahan pemain terhamal 2018

Jendela perpindahan pemain 2017 menyaksikan rekod baru pemain termahal didunia telah tercipta dengan perpindahan Neymar Jr. daripada Barcelona ke PSG. Walaupun harga yang perlu dibayar iaitu sekitar €222m juta adalah tidak masuk akal, itulah realitinya kuasa wang kelab-kelab gergasi bola sepak Eropah. 

Jendela perpindahan musim 2018 juga tidak kurang rancaknya. Walaupun jendela perpindahan masih lagi berlangsung ketika artikel ini ditulis, sudah terdapat beberapa rekod perpindahan baru yang sudah dicipta. 

1. Pemain termahal berusia 30 tahun ke atas - Cristiano Ronaldo

jersi ronaldo

Antara pembelian pemain yang menarik perhatian ramai tentulah perpindahan Cristiano Ronaldo daripada Real Madrid kepada Juventus. Pada usia 33 tahun, Real Madrid berjaya menjual Ronaldo pada harga €100 juta, sekaligus mencipta rekod perpindahan termahal bagi pemain berusia 30 tahun ke atas.

Menariknya, harga ini lebih mahal daripada harga yang dibayar oleh Real Madrid kepada Manchester United pada 2009 dahulu iaitu €94 juta. Dalam erti kata lain, Real Madrid tetap mendapat untung €4 juta daripada pembelian ini, sesuatu yang jarang diperolehi bagi penjualan pemain yang sudah berusia.

Mengambil kira umur Ronaldo yang sudah menjangkau 33 tahun, penjualan ini sememangnya tepat pada masanya kerana harganya mungkin menurun selari dengan penurunan prestasinya selepas ini.

2. Pemain termahal dibeli kelab dari Belanda - Daley Blind

daley blind

Daley Blind merupakan antara pemain Belanda yang dibawa masuk oleh pengurus lama Manchester United, Louis van Gaal ke Old Trafford. Dibeli pada harga €17.5 juta pada tahun 2014, pemain ini telah bermain sebanyak 141 kali dan memenangi 4 trofi. Apabila Jose Mourinho mengambil alih pasukan, Daley Blind tidak lagi berada dalam perancangannya dan sering disisihkan.

Oleh itu, Manchester United telah bersetuju untuk menjual kembali pemain ini kepada kelab lamanya Ajax Amsterdam pada harga €16.50, kurang sedikit daripada harga yang mereka bayar untuk membawanya masuk dahulu. Walau bagaimanapun, yuran perpindahan ini berjaya mencipta rekod pemain termahal yang dibeli oleh kelab daripada Belanda!

Berbanding liga Eropah lain, kelab-kelab daripada liga Eredivisie di Belanda tidak mempunyai dana kewangan yang besar untuk membeli pemain. Rekod pembelian Daley Blind ini memecahkan rekod pembelian terbesar sebelum ini yang dipegang oleh Mateja Kezman iaitu €16.34 pada tahun 2000.

3. Pemain termahal Afrika - Riyad Mahrez

riyad mahrez

Riyad Mahrez, pemain profesional dari Algeria ini merupakan antara bintang utama yang membantu kelab kerdil Leicester City mencipta sejarah memenangi Liga Perdana Inggeris pada musim 2015 - 2016. Ini membolehkan beliau dianugerahkan gelarah Pemain Terbaik Afrika 2016 dan beberapa gelaran penghormatan lain.

Baru-baru ini, Manchester City telah membuat kejutan dengan membeli pemain ini pada harga £60 juta. Jumlah ini menjadikannya pemain termahal Afrika. Rekod perpindahan pemain Afrika sebelum ini dipegang oleh Pierre-Emerick Aubameyang apabila beliau melengkapkan perpindahan ke Arsenal.

Yuran perpindahan Riyad Mahrez ini juga memecahkan rekod pembelian kelab yang sebelum ini dipegang oleh Aymeric Laporte pada jendela perpindahan bulan Januari.

4. Penjaga gol termahal dunia - Alisson Becker

allison becker

Sejak beberapa musim kebelakangan ini, Liverpool boleh dikatakan antara pasukan yang meningkat naik dan tidak berkemungkinan mampu mencabar kejuaraan pada musim hadapan. Pencapaian terbaik mereka adalah mendapat tempat kedua di Kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah sebelum tewas kepada Real Madrid dalam perlawanan akhir.

Dalam perlawanan akhir tersebut, dua kesilapan mudah penjaga gol Liverpool memusnahkan harapan Liverpool untuk mengulangi kejuaraan pada tahun 2005. Antara sebab kebangkitan LIverpool adalah pembelian pemain-pemain hebat seperti pertahanan termahal dunia, Virgil van Dijk dan beberapa pemain ternama lain.

Nampaknya Liverpool terus serius untuk menguatkan pasukan dengan mendapatkan penjaga gol Roma, Alisson Becker pada harga €72.5 juta sekaligus menjadikannya penjaga gol termahal dunia. Rekod ini mengatasi rekod lama yang dipegang oleh  Ederson Moraes dan Gianluigi Buffon.

5.  Pemain termahal dibeli kelab Liga Serie A (Itali) - Cristiano Ronaldo

cristiano ronaldo 501

Bukan sahaja perpindahan Ronaldo ke Juventus mencatat rekod perpindahan termahal bagi pemain berusia 30 tahun ke atas, tetapi perpindahan ini juga mencatatkan rekod perpindahan termahal bagi kelab daripada Serie A. Sebelum ini, rekod perpindahan pemain termahal turut dipegang oleh Juventus apabila mereka membeli bintang Argentina, Gonzalo Higuain pada tahun 2016.

Pembelian ini semestinya akan menguatkan lagi jentera serangan Juventus yang sudah memilik beberapa pemain bintang seperti Paulo Dybala, Mario Mandzukic dan Gonzalo Higuain (terdapat ura-ura Higuain akan berpindah keluar). Menariknya, pembelian Ronaldo yang mempunyai ramai peminat ini juga dapat meningkatkan populariti Juventus dimana penjualan jersinya sahaja telah memecahkan rekod jersi paling banyak dijual.


tags : , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)