Sehingga kini, puncak Gunung Everest sudah ditawan lebih 8300 kali sejak ianya pertama kali ditakluk kira-kira 65 tahun dahulu. Untuk makluman, Gunung Everest mempunyai ketinggian 8848 meter dan puncaknya dikenali sebagai Sagarmatha di Nepal atau Chomolungma di Tibet.

Bagi golongan pendaki gunung, mungkin tidak ramai bercita-cita untuk menawan puncak gunung ini disebabkan kesukaran melakukannya. Ini termasuk risiko kematian yang banyak dicatatkan di Gunung Everest sehingga digelar kawasan perkuburan tertinggi di dunia.

Kali ini, Iluminasi ingin berkongsi beberapa rekod menarik dan unik yang pernah dicatatkan oleh pendaki yang sudah menawan puncak tertinggi di dunia ini.

1. Pendaki pertama sampai ke puncak

sir edmund hillary

Menurut rekod, Sir Edmund Hillary, iaitu seorang rakyat New Zealand merupakan individu pertama yang berjaya menawan puncak Gunung Everest pada tahun 1953. Beliau melakukan ekspedisi ini dengan bantuan seorang Sherpa (pemandu arah) daripada Nepal yang bernama Tenzing Norgay.

Berbekalkan ikan sardin dan biskut, beliau berjaya sampai ke puncak pada 29 Mei 1953 dalam keadaan angin kuat dan ribut salji. Suhu pada ketika itu dikatakan sekitar -28 darjah Celsius. Menariknya, setahun sebelum kejayaan ini, Sherpa Tenzing turut mengikuti satu ekspedisi bersama seorang rakyat Norway bernama Raymond Lambert.

Mereka hanya kira-kira 150 meter sebelum sampai ke puncak tetapi terpaksa membatalkan ekspedisi tersebut kerana keadaan yang tidak mengizinkan.

2. Pendaki wanita pertama yang berjaya sampai ke puncak

junko tabei

22 tahun selepas kejayaan Sir Edmund Hillary berjaya menawan puncak Gunung Everest, seorang wanita daripada Jepun, Junko Tabei menjadi wanita pertama yang berjaya sampai ke puncak. Menariknya, kesemua ahli kumpulannya terdiri daripada wanita.

Dalam ekspedisi ini, beliau telah menggunakan jalan sama yang digunakan oleh Sir Edmund Hillary dan Sherpa Tenzing untuk sampai ke puncak. Ketika ekspedisi ini, beliau tertimbus selama 6 minit dalam satu runtuhan salji tetapi bernasib baik kerana berjaya ditarik keluar dalam keadaan selamat.

Seterusnya, Junko Tabei juga merupakan wanita pertama yang berjaya menawan Seven Summits, iaitu 7 puncak tertinggi di setiap benua. Ternyata beliau sememangnya seorang individu yang hebat dan mempunyai hati yang kental.

3. Individu paling banyak sampai ke puncak

sherpa apa

Kebiasaannya, pendaki yang sudah sampai ke puncak mungkin tidak merancang untuk kembali memandangkan risiko besar yang perlu dihadapi untuk sampai ke puncak Gunung Everest. Namun, menurut rekod terdapat 3 individu yang sudah menawan puncak ini sebanyak 21 kali.

Ketiga-tiga individu tersebut adalah Sherpa. Sherpa Apa merupakan individu pertama yang menawan puncak ini sebanyak 21 kali pada tahun 2011 diikuti oleh Sherpa Phurba Tashi dan Sherpa Kami Rita pada tahun 2013. Rekod ini mungkin tidak begitu pelik memandangkan Sherpa ini sememangnya berfungsi sebanyak penunjuk arah kepada para pendaki.

Sementara itu, bagi individu yang bukan seorang Sherpa, rekod pendakian terbanyak sehingga ke puncak di pegang oleh Dave Hahn, seorang rakyat Amerika Syarikat. Beliau berjaya menamatkan pendakian ke 15 pada tahun 2013.

4. Pendaki terpantas sampai ke puncak

sherpa lakpa gelu

Kebiasaannya, pendaki yang ingin menawan ke puncak Gunung Everest akan berhenti di beberapa kem sebelum memulakan pendakian ke puncak. Kebiasaannya, keseluruhan ekspedisi pendakian akan mengambil masa antara 34 hingga 38 jam untuk sampai ke kem terakhir sebelum sampai ke puncak.

Daripada kem terakhir (Kem 4) ini ke puncak, kebiasannya pendaki akan mengambil masa antara 10 hingga 14 jam. Rekod bagi manusia terpantas sampai ke puncak melalui jalan selatan dipegang oleh Sherpa Lakpa Gelu dengan catatan masa 10 jam 56 minit.

Setahun kemudian, seorang lagi pendaki Sherpa Pemba Dorje mendakwa telah memecahkan rekod ini dengan catatan masa 8 jam 10 minit. Walaupun rekod ini awalnya diiktiraf oleh kerajaan Nepal dan pihak Guinness World Record, pihak mahkamah telah membatalkan rekod ini 13 tahun kemudian kerana ketiadaan bukti kukuh ianya benar-benar telah dilakukan oleh Sherpa Pombe Dorje.

5. Pendaki terpantas turun daripada puncak

Pada tahun 2001, Marco Siffredi menjadi manusia terpantas turut daripada puncak Gunung Everest ke kem terakhir yang berada pada ketinggian 6400 meter dengan menggunakan snowboard. Beliau mengambil masa 2 jam 30 minit untuk perjalanan tersebut.

Walau bagaimanapun, rekod manusia terpantas turun daripada puncak sebenarnya dipegang oleh seorang rakyat Perancis bernama Jean-Marc Boivin yang menggunakan paragliding pada tahun 1988. Bermula daripada puncak, beliau berjaya menjejakkan kaki di Kem 2 yang berada pada ketinggian 5900 meter hanya dalam 12 minit!

Kredit:

  1. The Himalayan Times
  2. ABC News
  3. The Washington Post


Hakcipta iluminasi.com (2017)