NASA (National Aeronautics and Space Administration) telah ditubuhkan oleh Presiden Amerika Syarikat ke-34, Dwight D. Eisenhower, pada 29 Julai 1958. Pada 1 Oktober tahun yang sama, ia mula beroperasi.
Matlamat penubuhan NASA adalah untuk mengembangkan pengetahuan manusia dan meneraju dunia dalam inovasi teknologi berkaitan angkasa lepas.
NASA berjaya mengecapi pelbagai kejayaan dalam tempoh 60 tahun seperti membangunkan kenderaan yang dapat membawa peralatan dan makhluk ke angkasa lepas. Mereka juga terus mencari penyelesaian kepada beberapa persoalan sains mengenai angkasa lepas.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun, program angkasa lepas NASA ini menelan belanja yang amat besar. Berikut adalah beberapa program angkasa lepas NASA yang paling mahal setakat ini.
5. Global Positioning System: Anggaran RM 60.5 bilion
Tentera Udara A.S mengendalikan Global Positioning System (GPS) iaitu sistem navigasi radio berasaskan angkasa lepas. Ia boleh mengenal pasti mana-mana lokasi tiga dimensi dengan tepat pada bila-bila masa.
GPS terdiri daripada tiga segmen iaitu segmen kawalan, segmen ruang dan segmen pengguna. Untuk menjadi peneraju dalam penemuan saintifik, penyelidikan aeronautik dan penerokaan angkasa lepas, NASA perlu menjadi proaktif dan melaksanakan beberapa aplikasi GPS.
Asal-usul GPS ini boleh dikesan kembali sejak era Sputnik (satelit pertama) apabila penyelidik menemui cara untuk menjejak satelit menggunakan anjakan dalam isyarat radio yang dikenali sebagai "Doppler Effect".
GPS kini terdiri daripada lebih 30 satelit yang berfungsi sepenuhnya dan dilengkapi dengan jam atom dan rangkaian kawalan darat yang memantau rangkaian 24 jam selama tujuh hari seminggu.
4. SLS dan Orion: Anggaran RM 97 bilion
Sistem Pelancaran Angkasa (Space Launch System) adalah sistem pendorongan mega yang dibangunkan NASA di mana ia menjadi asas kepada penerokaan manusia ke angkasa lepas di luar sistem suria kita.
SLS adalah satu-satunya roket yang mempunyai kuasa dan keupayaan untuk menghantar kapal angkasa Orion yang lengkap dengan kargo dan angkasawan ke Bulan dalam satu misi. Mengikut perancangan, ia akan dilancarkan pada awal tahun 2022.
NASA menggunakan konfigurasi yang dikenali sebagai Block 1 untuk pelancaran Artemis I iaitu penerbangan gabungan pertama SLS dan Orion. SLS itu mempunyai kuasa tujahan maksimum sebanyak 3.9 juta kg, 15% lebih banyak daripada roket Saturn V.
Misi Artemis I adalah untuk menghantar Orion tanpa anak kapal 40,000 batu lebih jauh daripada Bulan (280,000 batu dari Bumi). Jika misi Artemis I berjalan lancar, misi Artemis II akan menghantar angkasawan untuk mengorbit Bulan dan membuka jalan bagi misi Artemis III untuk mendaratkan angkasawan di Bulan pada 2024.
3. Program Apollo: Anggaran RM 462 Bilion
Program Apollo telah bermula sejak tahun 1960-an lagi dan NASA mencipta Apollo Command Module khusus untuk program ini. Apollo Command Module adalah sebuah kapsul yang boleh memuatkan sehingga tiga angkasawan.
Angkasawan menggunakannya untuk mengembara ke orbit Bulan dan kapsul Apollo ini lebih luas berbanding kapal angkasa Mercury dan Gemini.
Manakala Lunar Module pula adalah kapal angkasa yang berbeza dan digunakan ketika angkasawan melakukan pendaratan dari orbit ke permukaan Bulan. Namun, Lunar Module ini hanya mampu membawa dua angkasawan sahaja.
Neil Armstrong dan Buzz Aldrin menjadi manusia pertama yang berjalan di Bulan pada Julai 1969 dalam misi Apollo 11. Keseluruhan misi Apollo setakat ini berjaya membawa 24 angkasawan ke Bulan di mana 12 daripadanya melakukan pendaratan di permukaan Bulan.
Apollo 17 merupakan misi terakhir yang melakukan pendaratan di Bulan pada 1972. Secara keseluruhannya, misi mendaratkan manusia di Bulan ini menelan belanja yang sangat besar.
2. Stesen Angkasa Antarabangsa: Anggaran RM 638 Bilion
Stesen Angkasa Antarabangsa ini merupakan keajaiban kejuruteraan yang dikecari hasil kerjasama dari pelbagai negara. Stesen Angkasa Antarabangsa ini adalah objek buatan manusia terbesar di ruang angkasa.
Stesen ini digunakan untuk menjalankan eksperimen saintifik dan mengkaji apakah kesan terhadap angkasawan yang berada di angkasa lepas dalam tempoh yang lama.
Komponen pertama Stesen Angkasa Antarabangsa iaitu Zarya Control Module telah dilancarkan ke orbit oleh Rusia pada November 1998. Dua minggu kemudian, kapal angkasa Endeavour milik Amerika yang membawa nod Unity telah disatukan dengan Zarya.
Lebih banyak bahagian telah ditambahkan ke stesen itu dalam tempoh dua tahun berikutnya untuk menjadikannya boleh didiami oleh para angkasawan. Stesen Angkasa Antarabangsa didiami angkasawan buat pertama kalinya pada 2 November 2000.
1. Program Shuttle Angkasa: Anggaran RM 878 Bilion
Program Shuttle (ulang-alik) Angkasa Lepas yang dimulakan sejak 1970-an ini melahirkan pesawat shuttle ke orbit pertama yang boleh digunakan semula (tidak seperti roket yang hanya digunakan sekali dan dilupuskan selepas setiap pelancaran).
Ia terdiri daripada tangki luaran, dua roket luar atau penggalak dan kenderaan pengorbit yang merupakan binaan kejuruteraan terhebat pernah dibina.
Sebanyak lima kenderaan pengorbit telah dibina sepanjang tida dekad program ini iaitu Atlantis, Endeavour, Discovery, Challenger dan Columbia. Malangnya, Challenger dan Columbia telah musnah dalam misi pelancaran yang gagal.
Program Shuttle Angkasa ini telah melakukan sebanyak 135 pelancaran dengan kos anggaran setiap pelancaran adalah melebihi RM 6 bilion. Program Shuttle Angkasa Lepas ini telah digantikan oleh SLS (Space Launch System), dua bulan selepas misi terakhirnya pada Julai 2011.