gurun lut 4id5

Alam semulajadi kita mempunyai banyak perkara dan rahsia yang mampu menimbulkan pelbagai jenis persoalan kepada diri kita sendiri. Kadangkala persoalan-persoalan itu tidak mampu kita jawab, namun bagi banyak persoalan sebenarnya sudah ada jawapan yang diwartakan untuk kita pelajari dan kaji sendiri.

Berikut adalah 6 persoalan tentang cuaca dan suhu melibatkan alam semulajadi serta kajian manusia, yang kami rasakan sesuai untuk dikongsikan kepada anda kali ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Berapakah suhu terendah yang dicatatkan di atas permukaan bumi?

dome di kutub

Suhu terendah yang pernah dicatatkan di muka bumi adalah −93.2 °C yang diambil di Antartika atau Kutub Selatan pada satu malam menggunakan satelit. Suhu tersebut berlaku di bahagian jurang dua gunung yang dinamakan Dome Argus dan Dome Fuji yang terletak pada bahagian timur Antartika, pada 10 Ogos 2010.

Rekod ini menewaskan rekod lama sebelum itu yang dikesan pada tahun 1983 di kawasan sekitar Stesen Penyelidik Vostok yang terletak tidak jauh daripada jurang tersebut. Rekod lama itu 'hanya' pada tahap −89.2 °C.

2. Di manakah suhu paling tinggi di permukaan bumi dijumpai?

gurun lut

Sebelum teknologi satelit betul-betul matang, banyak tempat telah dinobatkan sebagai pemilik kepada gelaran suhu paling panas di dunia, dengan El Azizia di Libya dan Death Valley di Amerika Syarikat pernah memegang gelarannya. Namun suhu di dua tempat tersebut yang hanya sekitar atas 50 °C sebenarnya tidak langsung hampir dengan raja sebenar suhu tertinggi di dunia.

Suhu paling tinggi di dunia yang dicatatkan menggunakan bacaan satelit terletak di Gurun Lut, yang terletak di Iran. Suhu yang diambil pada bacaan suhu tanah di situ mampu mencatatkan bacaan sehingga 70 °C menjadikannya tempat paling panas dan kering di dunia.

3. Di manakah lokasi waktu malam dan siang paling panjang di dunia?

midnight sun

Ekoran putaran bumi yang sedikit condong pada kedudukan 23 darjah, masyarakat yang tinggal di Kutub Utara dan Kutub Selatan tidak mengalami apa yang kita alami setiap hari, terbit dan terbenam matahari. Bagi mereka, cuaca yang akan mereka alami berlawanan antara satu sama lain.

Bagi mereka yang tinggal di kawasan kutub, kebiasaannya pada 21 Disember setiap tahun, mereka yang tinggal di kawasan Kutub Utara akan mengalami apa yang dinamakan sebagai 'Winter Solstice'; waktu malam panjang beberapa bulan. Sementara bagi yang tinggal di Kutub Selatan, mereka akan mengalami 'Summer Solstice' di mana waktu siang mereka berpanjangan beberapa bulan.

Pada sekitar bulan Jun, keadaan ini akan berubah pula. Mereka yang tinggal di Kutub Utara akan menerima matahari panjang berbulan lamanya sementara masyarakat Kutub Selatan akan hidup dalam waktu malam, selama beberapa bulan.

4. Di manakah lokasi paling selamat di dunia daripada bencana alam?

bandar qatar

Alam semulajadi sukar diagak apatah lagi dihalang, jadi persoalan ini sukar untuk dijawab dengan fakta tepat. Bagaimanapun, kita boleh menggunakan statistik di manakah lokasi paling selamat di dunia yang mempunyai risiko paling rendah bencana alam. Jawapannya adalah Qatar, yang merekodkan peluang untuk manusia mengalami bencana alam pada kadar 0.08% bagi tahun 2016.

Tempat kedua dan ketiga pula adalah negara Malta dan Arab Saudi yang mencatatkan 0.60% dan 1.14% peluang untuk ditimpa bencana semulajadi. Di mana Malaysia? Malaysia berada pada kedudukan ke 86 dunia dengan 6.39% kita akan ditimpa bencana.

5. Berapakah suhu paling rendah pernah direkodkan pada sesebuah objek ciptaan manusia?

projek cuore

Sekumpulan saintis di National Institute of Nuclear Physics di Itali telah berjaya merekodkan satu bongkah tembaga sebesar 1 meter dengan berat lebih 400 kilogram, kepada suhu 6 miliKelvins atau -273.111 darjah celcius dalam penyelidikan yang mereka namakan sebagai CUORE.

Suhu yang telah dicapai pada bongkah tembaga itu dikekalkan selama 15 hari sebelum ujian mereka diiktiraf berjaya kerana hampir mencapai tahap kosong mutlak atau 'absolute zero' pada suhu −273.15°.

6. Berapakah suhu paling tinggi pernah direkodkan pada sesuatu objek?

penembak laser terkuat dunia

Dengan menggunakan penembak laser paling kuat di dunia, penyelidik telah berjaya menaikkan suhu sekeping aluminium kepada tahap 2 juta darjah celcius untuk beberapa saat, menjadikannya objek paling panas ciptaan manusia pernah wujud setakat ini.

Pemancar laser yang ditempatkan di SLAC National Accelerator Laboratory, Amerika Syarikat itu membuktikan kejayaan saintis buat pertama kalinya mengawal tembakan plasma secara fokus dan terkawal, pada suhu yang lebih tinggi berbanding suhu corona matahari.




Hakcipta iluminasi.com (2017)