Sebagai ibu bapa, kita biasanya akan membelikan permainan buat anak-anak agar mereka dapat bermain. Permainan kanak-kanak yang berkualiti juga berperanan membantu meningkatkan pemikiran kreatif dan imaginasi anak-anak.

permainan bahaya kanak kanak

Selain itu, permainan yang dibeli semestinya yang sesuai dengan umur anak-anak. Sebagai contoh, sekiranya anak-anak masih terlalu kecil tetapi anda bercadang membelikan mereka permainan LEGO, bolehlah beli LEGO versi Jumbo yang bersaiz lebih besar untuk mengelakkan risiko tercekik permainan tersebut.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Setiap kali membeli permainan juga, biasakan membaca had umur permainan tersebut dan label-label amaran yang disertakan pada bungkusan permainan yang dibeli. Kali ini, iluminasi ingin berkongsi 5 permainan yang paling merbahaya pernah dihasilkan untuk kanak-kanak.

1. Atomic Energy Lab

atomic energy lab

Permainan yang dihasilkan dan dijual pada tahun 1950-an ini mungkin merupakan permainan yang paling bahaya dalam senarai ini. Permainan ini bertujuan untuk memupuk minat kanak-kanak terhadap sains. Malangnya, set permainan ini menggunakan Uranium, iaitu satu bahan radioaktif yang sangat merbahaya kepada manusia.

Setiap set permainan ini datang dengan 3 set barangan yang mengandungi uranium pada konsentrasi yang berlainan. Selain itu, disertakan juga Geiger Counter, iaitu satu alat untuk mengukur tahap radiasi yang diterima. Permainan ini telah dihentikan daripada jualan serta merta.

2. Gilbert Glass Blowing

gilbert glass blowing

Gilbert Glass Blowing merupakan satu lagi set permainan kanak-kanak berkonsepkan sains. Permainan ini juga dijual sekitar tahun 1950-an dimana kanak-kanak boleh membuat pelbagai eksperimen pada kaca seperti memanaskannya, mencairkannya dan sebagainya.

Permainan ini tersangatlah bahaya kerana risiko kecederaan dan kebakaran yang boleh diterima. Eksperimen yang merbahaya seperti ini sama sekali tidak sesuai untuk permainan dan mestilah dilakukan di kawasan yang selamat dan terkawal seperti dalam makmal.

3. Aqua Dots

aqua dots

Aqua Dots merupakan antara permainan kanak-kanak yang popular di luar negara pada tahun 2007. Setiap set permainan ini disertakan dengan manik-manik kecil berwarna warni dan boleh disusun pelbagai bentuk mengikut kreativiti kanak-kanak. Setelah disusun di atas kertas mengikut rekabentuk yang diingini, anda hanya perlu meletakkan sedikit air ke atasnya. 

Tindakbalas air dan gam yang terdapat pada manik-manik ini akan melekatkannya antara satu sama lain. Tiada apa yang nampak bahaya. Malangnya, terdapat beberapa kes yang dilaporkan bahawa kanak-kanak yang tertelan manik-manik ini telah jatuh koma dan muntah-muntah. Hasil kajian yang dibuat kemudiannya menemui bahan kimia  gamma-hydroxybutyrate (GHB), iaitu sejenis dadah. Pengedar permainan ini telah menyalahkan vendor yang menghasilkan permainan tersebut yang berasal dari China.

4. CSI: Investigation Forensics Lab

csi investigation forensics lab

Permainan ini diinspirasikan daripada filem popular CSI: Crime Scene Investigation. Set permainan ini mengajak kanak-kanak untuk memainkan watak sebagai seorang detektif dimana mereka boleh mengesan cap jari menggunakan serbuk khas dan berus yang disertakan dengannya.

Walau bagaimanapun, terdapat isu dengan serbuk khas yang digunakan dalam set permainan ini. Menurut ujikaji, ianya mengandungi kandungan asbestos yang tinggi. Isu keselamatan ini telah dibangkitkan pada bulan November 2017 dan tidak lama kemudian penjualannya telah dihentikan serta merta.

5. Pelampung kanak-kanak

pelampung kanak kanak

Pelampung? Ya, pada 2009 4 juta unit pelampung kanak-kanak keluaran syarikat Aqua-Leisure telah ditarik balik daripada pasaran kerana isu keselamatan. Walaupun pelampung ini bertujuan untuk memudahkan kanak-kanak kecil terapung, ianya boleh membahayakan keselamatan mereka sekiranya ia mudah terkoyak.

Itulah yang berlaku apabila 30 kanak-kanak dilaporkan mati lepas akibat terjatuh daripada pelampung ini. Menurut laporan, bahagian bawah pelampung ini didakwa mudah terkoyak dan akibatnya, jualannya terpaksa dihentikan serta merta. Walaupun kes ini melibatkan pelampung keluaran syarikat Aqua-Leisure, tidak mustahil perkara sama boleh berlaku untuk pelampung keluaran syarikat lain.

Kepada ibu bapa, pastikan anda sentiasa memantau anak-anak mandi di kolam renang walaupun mereka menggunakan pelampung.

Kredit:

  1. Gizmodo
  2. Science Alert
  3. Cracked



Hakcipta iluminasi.com (2017)