Penjara merupakan satu topik yang popular di kalangan pembaca Iluminasi.
Berdasarkan maklum balas dan komen berkenaan kehidupan dalam penjara yang ditinggalkan pembaca kami, suasana di sana memang mampu memberikan satu perspektif luar biasa kepada mereka yang perlu mengalaminya.
Apa yang dapat kita lihat dalam filem atau drama walaupun digarap lebih dramatik, ada asasnya dengan kehidupan sebenar di situ. Sekali ke penjara bukan saja membuatkan seseorang bergelar banduan, dia juga akan terus dikekangi dengan corak hidup baru yang menjadi rutin mereka.
BESARKAN TEKS A- A+
Berikut adalah enam perkara tentang penjara di Malaysia yang jarang diceritakan secara terbuka.
1. Banduan di Malaysia boleh menyertai skim pekerjaan
Bagi banduan yang dikategorikan tidak berbahaya, mereka dibenarkan untuk bekerja di bawah skim-skim pekerjaan yang dibuka kepada mereka. Terpulang kepada mereka sama ada mahu atau tidak menyertainya.
Antara skim yang dijalankan adalah seperti usaha Kementerian Sumber Manusia menawarkan program SCOPE atau Second Chances and Opportunities For People to Excel, di mana banduan dalam penjara akan menjalani latihan teknikal yang berorientasikan industri semasa, bagi melatih diri mereka dalam bidang kemahiran yang mereka minati.
SCOPE menawarkan kursus-kursus latihan dalam sektor pertanian, pembinaan, pembuatan, pengangkutan, perlombongan, perkebunan dan industri servis; yang diharap dapat meletakkan banduan-banduan ini di landasan yang betul bukan saja selepas bebas, bahkan sejak dari dalam penjara lagi.
Walau bagaimanapun, galakan ini juga boleh dijadikan satu bentuk hukuman sekiranya banduan yang terlibat melakukan kesalahan dalam tahanan...
2. Penjara ada sistem hukumannya
Apabila hidup dah serasi dengan hukuman, kesalahan banduan dalam banduan juga tidak lari daripada terus dihukum sekiranya mereka ada melakukan kesalahan. Bagi banduan, terdapat beberapa kategori perbuatan yang dianggap salah untuk dilakukan yang membolehkan mereka dihukum.
Antara hukuman yang biasa dapat kita lihat dalam filem dan drama, adalah banduan bersalah akan dikurung dalam penjara berasingan secara sendirian dan hanya diberikan makan minum terhad. Kaedah ini memang diguna pakai di negara kita!
Cuma tak tahulah sama ada bilik kurungan itu benar-benar gelap gelita, seperti yang sering digambarkan dalam filem.
Bagi banduan-banduan yang menyertai skim pekerjaan, sekiranya mereka terlibat dalam kesalahan, kadar gaji yang mereka terima boleh dikurangkan. Lebih malang, dalam kes lebih serius seseorang banduan yang menyertai skim kerja boleh dikeluarkan daripada skim itu sehingga mengakibatkan mereka hilang mata pencarian.
3. Kewujudan lembaga parol bagi banduan
Dalam filem, banduan yang berkelakuan baik akan diberikan peluang melakukan permohonan mendapatkan parol, membolehkan mereka keluar penjara lebih awal. Sistem ini juga diamalkan di negara kita.
Langkah pertama memerlukan seorang banduan menghadap Lembaga Parol yang dilantik oleh YDP Agong; merangkumi seorang pengerusi yang terlatih dalam bidang undang-undang, seorang pegawai penjara, seorang pegawai polis, seorang pegawai kebajikan masyarakat dan 3 orang awam.
Setiap individu yang dilantik akan memegang jawatan itu selama 3 tahun bagi menentukan semua keputusan rayuan parol pihak banduan, mengkaji semula arahan parol yang telah dikeluarkan, menarik balik arahan serta menyemak dan memeriksa kelayakan banduan yang dijadikan kes kajian.
Setiap seorang ahli lembaga ini mempunyai kuasa satu undi dalam menentukan keputusan yang bakal mereka ambil. Hanya keputusan majoriti mampu melulus atau menghalang rayuan parol yang dibuat. Bagaimanapun...
4. Tak semua banduan layak diparolkan..
...Mana-mana banduan yang melakukan jenayah berat di bawah Akta Penal 574, Akta Penculikan 365, Akta Senjata Api 37, Akta Dadah Berbahaya 234 dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (kini dimansuhkan) tidak layak melakukan permohonan.
Untuk banduan yang layak, banduan perlulah sekurang-kurangnya telah menjalankan separuh daripada tempoh hukuman penjara mereka. Bermula daripada situ barulah pesalah boleh membentangkan kes beliau ke Lembaga Parol untuk tujuan penilaian.
Banduan yang layak akan berdepan lembaga pada hari yang ditetapkan, tanpa dibenarkan mempunyai wakil bagi melakukan perbincangan serta rayuan. Semua sesi penilaian adalah dirakamkan dengan kamera video.
Sekiranya lulus, Lembaga Parol akan menentukan tarikh parol bermula dan di daerah mana individu itu perlu menjalani arahan parol beliau. Andainya permohonan itu ditolak, seorang banduan perlu kembali ke penjara dan menunggu tempoh 6 bulan untuk melakukan permohonan baru....
Melainkan dia mendapat pengampunan sama ada melalui pengampunan YDP Agong, Sultan, Raja atau Yang Di-Pertua Negeri-Negeri, yang akan mempercepatkan proses ini dengan sangat segera.
5. Bebas tetapi hidup terikat
Dr. Mohamad Khir Bin Toyo merupakan antara individu berprofil tinggi yang menjalani parol dengan berjaya. Di sebelah beliau adalah pegawai parol beliau.
Walaupun diterima permohonan parol mereka, orang di-parol perlu hidup dalam syarat yang telah ditetapkan oleh pihak penjara di dunia luar.
Seorang pegawai parol akan dilantik bagi mengendalikan proses parol individu itu, di daerah di mana pegawai itu bertugas. Pegawai parol memainkan tanggungjawab besar dalam menyelia hidup baru orang di-parol.
Selain perlu duduk dalam daerah yang sama, pegawai parol akan memantau aktiviti individu dibawah kawalannya, menyediakan pilihan pekerjaan bagi orang di-parol agar dia ada sumber pendapatan serta melindungi orang di-parol sekiranya nyawanya terancam.
Bagi orang di-parol pula, dia haruslah mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan dalam arahan parol; melapor diri secara berkala kepada pegawai parol, menetap di lokasi yang telah ditetapkan, memohon kebenaran keluar daerah sekiranya ada keperluan, perlu mendapatkan pekerjaan dan masih perlu menghadiri program-program rehabilitasi yang diaturkan pegawai parol.
6. Ganjaran pegawai penjara datang dari poket banduan
Yang terakhir dan kami yakin tak ramai tahu tentangnya, adalah kewujudan kumpulan dana dinamakan Dana Penghargaan Pegawai Penjara yang akan digunakan sebagai ganjaran kepada pegawai penjara yang telah menjalankan kerja dengan baik.
Dari mana datangnya dana terkumpul ini? Haha!
Dana ini datang dari pelbagai sumber, sama ada daripada hasil gaji tidak dituntut melibatkan pegawai penjara atau kutipan derma dan sumbangan secara terus ke dalam tabung dana ini. Selain itu, semua kutipan wang denda atau saman yang dikenakan kepada banduan dan telah selamat dikutip, terus masuk ke dalam akaun ini.
Begitulah juga semua wang ringgit yang telah dirampas atau ditemui di kawasan penjara milik banduan, yang diketahui atau tidak diketahui siapa tuan punya miliknya; semua wang rampasan ini akan diambil kira sebagai sebahagian daripada dana.
Dana ini dikawal selia oleh sebuah lembaga khas diketuai Komisioner Jeneral Penjara dibantu dua pegawai penjara dan dua pegawai perkhidmatan awam yang dilantik oleh Menteri Dalam Negeri.
Mana-mana pegawai penjara yang menampilkan prestasi baik sepanjang karier atau ketika berdepan insiden tertentu, telah berjaya menyelamatkan nyawa atau menghalang kemusnahan harta benda awam berlaku akan menerima habuan daripada tabung ini.
Kami tidak tahu berapa amaun biasa yang dikeluarkan sebagai penghargaan. Anda tahu tak?