Oleh pada 28 Dec 2023 kategori

Kos sara hidup merupakan sebuah isu yang menyentuh setiap lapisan masyarakat, tak kiralah mereka tergolong dalam kumpulan berkemampuan atau kurang kemampuannya.

Jurang ekonomi di antara kumpulan bawahan, pertengahan dan teratas juga nampaknya semakin menjauh - mengakibatkan golongan yang menyederhana dan ke bawah semakin terdesak akibat kenaikan belanja yang ditampung poket kurang lebat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Uniknya, sekiranya kita benar-benar hitung, golongan bawahan sebenarnya perlu mengeluarkan belanja lebih besar dalam beberapa situasi - yang sebenarnya menjadi punca mereka semakin tidak berkemampuan. Bagaimana situasinya?

1. Beli kereta terpakai

kereta terpakai bantu perbelanjaan

Perlu kami jelaskan - tidak ada masalah untuk anda membeli kereta terpakai. Tetapi seperti yang sudah kita maklum, membeli kereta terpakai khususnya dari pekedai ibarat membeli loteri. Dapat yang teruk, rabaklah poket membaikinya sebelum layak digelar berfungsi.

Dan masalah ini memang menghantui ramai individu daripada golongan kurang berkemampuan. Disebabkan kurang kemampuan serta ketiadaan kelayakan untuk melakukan pinjaman, ramai di antara mereka memilih untuk membeli kenderaan terpakai pada nilai murah - yang akhirnya memerlukan mereka mengeluarkan untuk menyelenggara lebih kerap.

Satu perkara yang jarang diperkatakan, melakukan pinjaman sekiranya ada untuk membeli kereta terpakai biasanya dikenakan kadar faedah yang JAUH lebih tinggi berbanding kereta baru.

Dari situ saja golongan bawahan terjerat bukan saja dengan beban penyelenggaran, bahkan nilai keuntungan penjual yang lebih tinggi.

2. Beli barangan secara sedikit

beli barangan secara pukal

Bila anda ada peluang ke kedai, cuba anda bandingkan harga barangan yang sama tetapi dalam kuantiti berbeza. Sebagai contoh, sabun basuh baju. Yang mana lebih murah daripada aspek kuantitinya - yang bersaiz 4kg atau yang bersaiz 1kg?

Untuk mereka yang dah biasa, mesti tahu 1kg atas kertas lebih murah tetapi pembelinya tidak mendapat nisbah 'harga : barangan' yang baik. 

Golongan kurang berkemampuan biasanya perlu membeli barangan dalam kuantiti sedikit, yang akhirnya memerlukan mereka membeli barangan sama berulang kali mengakibatkan jumlah yang mereka bayar, jauh lebih tinggi berbanding individu berkemampuan yang membeli 4kg terus.

3. Beli produk elektronik paling murah

peranti gajet bajet

Bila kita tidak berkemampuan, secara automatik kita akan membeli produk paling murah seperti yang kami sebut di atas. Dalam produk seperti barangan elektronik, perbezaan ini akan menjadi lebih ketara.

Golongan tidak berkemampuan biasanya akan mendapatkan barangan elektronik paling murah, yang akan menyebabkan produk mereka cepat ketinggalan zaman - perlu diganti lebih kerap, yang akhirnya membawa kepada jumlah perbelanjaan yang sama saja dengan pembelian orang lebih berkemampuan.

Sebagai contoh mudah telefon pintar. Anda beli telefon mahal tahun 2017 sekalipun, kalau dijaga elok sekarang telefon itu besar kemungkinan masih lagi beroperasi pada tahap yang boleh buat anda berpuas hati. Telefon murah tahun 2017? Rasa nak campak lombong.

4. Lebih kerap beli barangan pakai buang

kedai barangan murah jadi perhatian

Bila anda dah biasa membeli barangan murah yang setara dengan kualitinya, anda telahpun secara menerima hakikat kualiti barangan yang anda beli itu kurang. Dengan tanda harga barangan yang murah itu jugalah, minda pembelinya secara mudah akan menganggap barang itu seandainya sudah rosak - lebih mudah dibuang. Dalam erti kata lain, ramai yang membeli barang murah, tidak takut untuk membuangnya.

Keluarga berkemampuan yang membelikan anak-anak mereka barangan permainan asli, biasanya lebih sayang dan pandai jaga barang yang telah dibeli, menjadikannya tahan lama boleh dimainkan adik-beradik berikutnya. Sementara keluarga kurang mampu, akan membeli barangan di kedai bajet. Rosak? Buang. Beli baru. Kitaran ini berpusing-pusing secara konsisten tanpa keluarga sebegini sedar, mereka sebenarnya sedang menambah kerugian. Besar skop hujah kami ini dalam tabiat pembelian lain, anda akan nampak betapa besar pertambahan perbelanjaan yang perlu ditanggung.

5. Belanja tambahan yang tak kelihatan

kumpul mata ganjaran beli belah

Berbeza dengan kumpulan lebih berkemampuan, individu atau keluarga yang duduk dalam sebuah institusi bawahan banyak berbelanja dalam kaedah yang tidak memberikan mereka kelebihan.

Sebagai contoh, kedai-kedai runcit yang dibuka di lot bawah bangunan kawasan pangsapuri kos rendah secara purata mempunyai harga barangan lebih tinggi berbanding kedai atau pasaraya, akibat keperluan peniaga menetapkan harga pada paras tersebut.

Dan kedai-kedai sebegini memang menjadi tumpuan golongan bawahan. Tidak ada salahnya jika begitulah situasinya. 

Tetapi berbeza dengan golongan lebih mampu yang berbelanja di pasaraya besar sebagai contoh, mereka bukan saja boleh membeli barangan yang sama pada harga lebih murah bahkan mereka juga mampu memanfaatkan kad keahlian pasaraya - yang memberikan pembeli mata tebusan.

Mata yang dikumpul seterusnya boleh ditukar kepada baucer tunai atau diskaun, yang membolehkan kos barangan dibeli menjadi jauh lebih rendah berbanding nilai yang harus dibayar golongan kurang berkemampuan.

Dalam erti kata lain, golongan berkemampuan lebih terdedah kepada sistem yang mampu memberikan mereka penjimatan sementara yang tidak mampu, bukan saja membayar lebih tinggi. Mereka juga tidak ada cara menurunkan kos yang perlu mereka tanggung.




Hakcipta iluminasi.com (2017)