Perasan atau tidak sekiranya anda ke pasaraya seperti Giant dan Tesco, secara amnya susun atur barangnya lebih kurang sama? Sebenarnya susun atur ini bukanlah kebetulan sebaliknya disusun sebegitu rupa untuk membuatkan anda dan pengunjung lain berbelanja lebih. Banyak kajian yang telah dilakukan terhadap psikologi manusia untuk membuatkan anda berbelanja lebih.

promosi jualan tesco

Berikut antara trik biasa yang digunakan oleh kebanyakan pasaraya:

1. Meletakkan makanan berbau sedap di pintu masuk – Biasanya apabila anda masuk ke pasaraya, pasti sudah terbau makanan enak seperti roti dan ayam goreng. Secara psikologinya, bau yang sedap ini boleh meningkatkan selera dan seterusnya menaikkan nafsu anda untuk berbelanja lebih.

makanan di shopping mall

2. Muzik yang menenangkan – Biasanya pasaraya juga akan memasang muzik yang menenangkan. Hal ini ada kaitannya dengan psikologi dan mood seseorang. Bunyi muzik yang menenangkan ini boleh menenangkan anda, jadi anda tidak akan tergesa-gesa membeli. Lagi santai ada membeli, lagi banyak anda berbelanja!

3. Meletakkan barang keperluan di bahagian belakang – Sekiranya pasaraya meletakkan barang keperluan seperti ikan dan sayur pada bahagian depan, mereka pasti rugi kerana anda hanya beli dan terus balik. Dengan meletakkan barang-barang keperluan ini pada bahagian belakang, anda perlu berjalan-jalan dalam pasar raya tersebut dan melihat-lihat barang lain. Besar kemungkinan, anda akan terbeli barang lain juga. Perkara ini biasa terjadi bukan?

4. Kedudukan barang di rak – Kedudukan barang di rak juga sebenarnya mempunyai rahsia yang tersendiri. Biasanya barang yang lebih mahal akan diletakkan pada aras mata agar kita lebih mudah lihat. Sementara itu, barang yang lebih murah akan diletakkan pada bahagian sedikit atas atau bawah.

troli beli barang

5. Penggunaan troli – Troli untuk kegunaan memberi barangan telah diperkenalkan pada tahun 1938, bertujuan untuk memudahkan pelanggan membeli barang tanpa perlu mengangkat barang yang berat, sekaligus menggalakkan pelanggan berbelanja lebih. Satu kajian yang dibuat juga menunjukkan apabila troli dengan saiz lebih besar digunakan, pelanggan akan berbelanja 19% lebih banyak.

6. Jualan kombo – Secara umumnya, jualan kombo dibuat agar pembeli membeli lebih. Sebagai contoh, sekiranya satu botol air dijual pada harga RM 6, apabila dijual pada harga pek kombo, ianya mungkin berharga RM10 (jimat RM2 sekiranya dibeli berasingan). Secara psikologinya pembeli akan rasa mereka dapat berjimat, tetapi mereka lupa bahawa mereka sebenarnya berbelanja lebih daripada apa yang mereka perlukan. Pihak peniaga juga boleh mendapat keuntungan dengan cara ini kerana walaupun kelihatan keuntungan mereka berkurangan, mereka dapat menjual dalam kuantiti yang lebih banyak sekaligus membuat lebih banyak untung.

7. Meletakkan snek dan gula-gula berhampiran kaunter – Susunan coklat dan gula-gula berhampiran kaunter bayaran merupakan mimpi ngeri bagi ibu bapa. Disinilah biasanya anak-anak akan meminta sesuatu daripada ibu bapa mereka. Kerana kaunter merupakan bahagian terakhir dan pelanggan akan menghabiskan banyak masa untuk beratur sebelum melakukan bayaran, maka kawasan ini menjadi pilihan untuk meletakkan makanan kegemaran kanak-kanak.

8. Promosi – Tahukah anda bahawa sesetengah pasaraya yang membuat promosi sebenarnya menjual barang tersebut pada harga biasa? Sebagai contoh, air yang biasanya berharga RM9 mungkin akan diiklankan pada harga RM10 dengan promosi diskaun 10%, menjadikannya berharga RM9 yakni harga asal. Meletakkan barang pada bahagian promosi akan menggalakkan pelanggan membelinya kerana mereka beranggapan barangan tersebut berbaloi untuk dibeli kerana ianya dijual pada harga lebih murah. Selain itu, kajian juga menunjukkan secara purata seseorang itu hanya mampu mengingati harga 4 – 5 barang sahaja jadi mereka berisiko untuk menjadi mangsa trik sebegini.

Kredit:

  1. Save The Student
  2. Business Insider
  3. Readers’ Digest
  4. Image kredit The Star

tags : , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)