Oleh pada 25 Sep 2021 kategori

"Breaking Bad" dianggap sebagai salah satu siri televisyen yang terhebat yang pernah ditayangkan. Bagi yang belum pernah menontonnya, ia mengisahkan tentang seorang guru kimia (Walter White) yang bertukar menjadi pengedar dadah setelah mengetahui dirinya mempunyai kanser paru-paru tahap tiga. 

Watak Walter White aka Heisenberg

Siri itu begitu diminati dan pernah menjadi rancangan paling tinggi tontonannya di Amerika. Namun, rancangan ini juga menjadi pengaruh buruk kepada penonton yang cuba meniru semula aksinya. Berikut adalah beberapa jenayah yang diinspirasikan daripada siri Breaking Bad.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Mengedar syabu

stephen w doran

Stephen W. Doran pernah menjadi seorang ahli politik di Massachusetts sebelum bekerja dalam bidang perbankan dan menjadi seorang guru matematik di sebuah sekolah di Boston.

Pada Ogos 2012, Doran telah didiagnosis dengan kanser kulit tahap tiga. keadaannya sama dengan watak Walter White a.k.a Heisenberg dalam siri Breaking Bad. Setahun selepas itu, Stephen menjadi salah seorang pengedar besar syabu di kawasannya.

Ketika dia ditangkap pada tahun 2013, polis menemui syabu bernilai USD 50,000 dan wang tunai sebanyak USD 510,000 dalam simpanan Stephen. Bahkan, watak Heisenberg tidak pernah memiliki wang sebanyak itu selama dua musim Breaking Bad ditayangkan.

Stephen mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman ringan iaitu penjara selama tiga tahun ditambah dengan tempoh percubaan selama dua tahun. 

2. Meracun ibu sendiri

kuntal patel

Seorang pereka grafik bernama Kuntal Patel cuba untuk meracun ibunya sendiri menggunakan kaedah yang dilihatnya pada salah satu episod Breaking Bad. Episod itu memaparkan plot di mana Walter White memasukkan risin (ricin) ke dalam teh musuhnya.

Patel yang berasal dari London Timur itu merancang untuk membunuh ibunya kerana ibunya memisahkan Patel dengan tunangnya. Ibunya juga sering memukul dan memalukan Patel.

Patel mula melayari dark web untuk mencari racun seperti risin tetapi dia menemui bahan yang lebih beracun daripada itu. Ibunya bagaimanapun bernasib baik kerana terselamat daripada cubaan bunuh itu.

Patel telah ditahan dan dihukum di bawah Akta Senjata Biologi 1974 United Kingdom. Ketika di penjara, kedua-dua beranak itu masih berhubung dan telah memaafkan antara satu sama lain. 

3. Melupuskan mayat

breaking bad asid hidrofluorik

Seorang lelaki bernama Jason Hart telah mencekik leher teman wanitanya, Regan Jolley, sehingga mati. Hart kemudian cuba melupuskan mayat Jolley dengan menyimpannya di dalam tong plastik berisi asid hidrofluorik.

Polis yang menyiasat kehilangan Jolley telah menyerbu kediaman Hart. Selain menemui mayat wanita itu, polis juga menjumpai episod Breaking Bad di mana Jesse Pinkman dan Walter White melupuskan mayat dengan cara yang sama masih berada dalam player DVD milik Hart.

Rakan serumah Hart memberitahu polis bahawa Hart adalah penagih syabu dan begitu meminati siri Breaking Bad. Polis percaya Hart meniru babak Breaking Bad untuk melupuskan mayat teman wanitanya.

Mujurlah babak Breaking Bad itu membesar-besarkan kesan asid hidrofluorik pada mayat. Walaupun mayat Jolley ditemui dengan kesan melecur dan terbakar tetapi pihak berkuasa masih boleh mengenal pastinya.

Hart yang mendakwa bahawa dia menderita penyakit PTSD hanya dijatuhkan hukuman penjara selama 14 tahun sahaja atas jenayah yang dilakukannya.

4. Peminat bertuah Breaking Bad

ryan lee caroll

Seorang penduduk Florida bernama Ryan Lee Carroll telah memenangi peraduan untuk menonton siri akhir Breaking Bad bersama para pelakonnya. Ryan begitu teruja kerana dia merupakan peminat setia rancangan itu. Ryan turut dihadiahkan sut HazMat yang ditandatangani oleh pelakon utama siri itu.

Beberapa tahun kemudian, Ryan ditahan pada malam sebelum Perayaan Natal dalam satu operasi dadah besar-besaran. Dia ditahan kerana mengedar dan menghantar dadah menggunakan perkhidmatan penghantaran pos.

Ketika serbuan dibuat, polis menemui 80,000 bungkusan kecil dadah, wang tunai dan senjata. Ryan akhirnya mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara.

Ryan menggunakan teknik yang ditiru daripada watak Walter White untuk mengaburi mata keluarga, rakan dan jirannya. Pihak polis mendakwa Ryan menjalankan operasi terancang dan canggih sehingga sukar dikesan walaupun menggunakan perkhidmatan pos biasa.

5. Profesor syabu

profesor syabu

Pada tahun 2019, dua orang profesor kimia di Henderson State University di Arkansas telah ditahan kerana menghasilkan syabu di makmal universiti tempat mereka mengajar.

Terry David Bateman dan Bradley Allen Rowland adalah individu yang dihormati dan telah lama berkhidmat di pusat pengajian itu. Malah, Terry adalah pengarah kimia di universiti itu.

Kegiatan mereka terbongkar apabila pusat sains di kampus itu terpaksa ditutup berikutan laporan terdapat bau yang kurang menyenangkan. Para pelajar turut mendakwa terasa mual dan pedih pada mata.

Setelah ujian dilakukan, pihak polis mendapati ia berpunca daripada kerja pemprosesan syabu di salah sebuah makmal di pusat sains itu. Nampaknya, kedua-dua profesor itu tidak mempelajarinya dengan betul daripada rancangan Breaking Bad.

Kerana masalah seperti inilah yang membuatkan Walter White memilih untuk menghasilkan syabu di dalam RV (recreational vehicle) jauh dari orang ramai.




Hakcipta iluminasi.com (2017)