Tempoh karier pemain bola sepak majoritinya boleh dikatakan singkat. Kami sudah membincangkan tentang beberapa individu pemain bola sepak yang unik, di mana mereka berjaya memanjang usia karier mereka pada tempoh yang agak panjang pada tahap tertinggi.

Walaupun begitu, bagi kebanyakan pemain professional mereka tahu untuk terus bermain di peringkat antarabangsa hanya mampu dicapai sebelum umur mencecah 30 ke 34 tahun, kerana prestasi mereka selepas itu kurang mampu untuk terus bersaing. Bagi ramai pemain terkenal, pada usia inilah mereka akan mula berhijrah ke liga-liga lain seperti di China, Amerika Syarikat, Jepun, Qatar ataupun liga negara kita sendiri.

BESARKAN TEKS     A-  A+

erdogan main bola dan radhi mat din

Bagi beberapa pemain yang cuba mengubah haluan pula, boleh dikatakan ramai juga yang cuba memilih politik sebagai kerjaya baru. Berikut adalah 5 pemain bola sepak di seluruh dunia yang mampu melakar kerjaya sebagai ahli politik yang kami dapat kongsikan kepada anda semua.

1. Lilian Thuram

lilian thuram presiden sarkozy

Wira Piala Dunia 1998 bagi pasukan Perancis, Lilian Thuram terkenal sebagai salah seorang yang lantang membantah Presiden Perancis, Nicholas Sarkozy semasa Sarkozy berebut untuk memegang jawatan tersebut.

Thuram amat lantang melabelkan Sarkozy sebagai seorang yang mengamalkan dasar perkauman malahan pernah menggelarkan kanak-kanak berkulit hitam yang tinggal di penempatan kos rendah, yang didakwanya sengaja mencetuskan huru-hara dengan gelaran kurang elok.

Berikutan perang mulut di antara mereka berdua yang kerap berlaku, selepas memenangi jawatan Presiden Perancis pada tahun 2007, Sarkozy menawarkan jawatan Menteri kepada Thuram dalam usaha memperbaiki hubungan masyarakat kulit putih dan kulit hitam Perancis. Bagaimanapun, Lilian Thuram yang terkenal sebagai pemain pertahanan kental menolak tawaran tersebut.

2. George Weah

george weah presiden liberia

Terkenal sebagai antara pemain bola sepak terbaik dunia semasa era kegemilangannya, George Weah mengumumkan akan cuba bertanding dalam pilihanraya Presiden bagi negara Liberia pada tahun 2005. Berdepan dengan seorang lulusan Harvard, Weah dikritik kerana tidak berpengalaman serta mempunyai mempunyai kelulusan akademik yang rendah.

Pada mulanya Weah cuba mempertahankan dirinya dengan mengatakan dia mempunyai ijazah dari Parkwood University dalam pengurusan sukan namun didapati universiti tersebut adalah palsu. Berdepan cabaran besar, Weah akhirnya menyambung pendidikan dalam bidang pengurusan perniagaan di DeVry University di Miami, Amerika Syarikat.

Melakukan kemunculan semula pada tahun 2011 sebelum berjaya mendapat jawatan Senat pada tahun 2014, Weah mengumumkan akan bertanding jawatan Presiden sekali lagi pada tahun 2016, proses pemilihan Presiden yang berlangsung selama hampir 2 tahun akhirnya dimenanginya dan George Weah mengangkat sumpah sebagai Presiden pada 22 Januari 2018.

3. Reccep Tayyip Erdogan

erdogan presiden turki main bola sepak

Reccep Tayyip Erdogan atau lebih dikenali dengan nama Erdogan adalah Presiden Turki ketika ini. Walau bagaimanapun, dia sebenarnya memulakan karier beliau sebagai seorang pemain bola sepak amatur sebelum mempunyai karier sebagai pemain professional.

Mula bermain sejak usia 15 tahun dalam liga amatur bersama kelab pertamanya Erokspor sebelum berpindah ke dua kelab yang membawa prestasinya ke tahap lebih tinggi. Erdogan bermain bersama dua lagi kelab terbaik bertaraf amatur iaitu Camialti dan IEET Spor sebagai penyerang.

Semasa bermain di IEET Spor, Erdogan berjaya mencapai 5 kejuaraan dalam tempoh 7 tahun. Bagi Erdogan, kejayaannya dalam sukan bola sepak adalah satu kejayaan peribadinya yang sangat dia banggakan.

4. Soh Chin Aun

soh chin aun masih bermaim

Ketika mahu memulakan karier dalam bidang politik, Menteri Kewangan Malaysia ketika ini, YB Lim Guan Eng terpilih untuk mewakili partinya bertanding di kawasan Kota Melaka, Melaka. Pencabarnya pula bukan calang-calang orangnya iaitu legenda bola sepak Malaysia, Datuk Soh Chin Aun.

Soh Chin Aun yang bertanding atas tiket parti MCA sedar dia berdepan dengan cabaran sukar, walaupun itu adalah penampilan pertama Lim Guan Eng sebagai calon ahli Parlimen. Parlimen Kota Melaka merupakan kubu kuat DAP dan Lim Guan Eng pula adalah anak kepada pemimpin DAP terkenal iaitu Lim Kit Siang.

Dalam pilihanraya tahun 1986 itu, Soh Chin Aun tewas dengan jumlah undi majoriti yang agak besar dan beliau hanya berjaya mendapat 32.92% undi berbanding Lim Guan Eng yang mendapat 67.08%.

5. Radhi Mat Din

radhi mat din

Nasib serupa turut menimpa pemain bola sepak legenda Kedah, Radhi Mat Din. Terkenal sebagai bekas pemain kebangsaan serta menjadi kapten pasukan Kedah semasa zaman kegemilangan pasukan Kedah, pencapaian Radhi dalam sukan bola sepak tidak boleh dinafikan apatah lagi pernah dinobatkan sebagai pemain terbaik Malaysia pada tahun 1993.

Diumumkan sebagai calon bagi parti PAS kerusi Parlimen Pokok Sena pada pilihanraya ke 14 negara kita, Radhi berdepan Mahfuz Omar dari parti AMANAH yang sudah memegang kerusi tersebut selama empat penggal. Bertarung dalam persaingan tiga penjuru, pencapaian Radhi sebenarnya sangat baik sebagai seorang calon kali pertama bertanding. Walaupun tewas, beliau berjaya memperolehi 33.08% undian berbanding dengan pemenang, Mahfuz Omar yang berjaya mendapat 40.93% undi.

Analisa keputusan pilihanraya mendapati Radhi gagal mendapatkan sokongan warga berusia dengan majoriti undian yang diperolehinya datang daripada golongan muda. Terkenal sebagai seorang yang mesra ulama' dan anak muda, kami berharap lima tahun lagi Radhi akan turun beradu sekali lagi dalam pilihanraya seterusnya.

6. Viktor Orban

viktor orban perdana menteri hungary

Viktor Orban adalah Perdana Menteri Hungary sejak tahun 1998 hingga 2002 dan 2010 hingga kini. Setakat ini, Orban adalah Perdana Menteri ketiga paling lama memegang jawatan tersebut bagi negara mereka. Mempunyai pendidikan tinggi sejak awal lagi, Orban mahir dalam bidang undang-undang serta sains politik berikutan kelulusan yang dimilikinya. Menjadi salah seorang pengasas parti Fidesz yang kini memerintah Hungary, karier politik Orban sebenarnya sudah bermula sejak zaman remaja lagi selepas terlibat dalam gerakan anak muda berideologi komunis.

Sebelum serius menceburi politik, Orban bermain dengan kelab amatur di kampungnya bernama Felcsut FC. Dia kemudiannya berpindah ke kelab Medosz-Erdert SE dan BEAC yang bermain dalam divisyen empat liga Hungary sehingga tahun 1989.

Semasa masih lagi menjawat jawatan Perdana Menteri pada penggal pertama beliau, Orban kembali mewakili pasukan pertamanya Felcsut FC dari tahun 1999 sehinggalah tahun 2005, bertanding dalam divisyen ke empat dan lima liga bola sepak Hungary bermula pada usia 36 tahun dan bersara dari karier pemain bola sepak amatur, ketika berusia 42 tahun.




Hakcipta iluminasi.com (2017)