Kes rasuah dalam sukan semakin kerap pula berlaku kebelakangan ini, apatah lagi selepas populariti liga bola sepak Malaysia dilihat semakin meningkat berikutan penambahbaikan yang telah dilakukan.

Satu ketika dulu, liga bola sepak negara kita telah lumpuh berikutan penangkapan secara besar-besaran pemain dan pegawai pasukan yang terlibat dalam kes mengatur perlawanan liga. Hanya selepas beberapa belas tahun, imej liga bola sepak negara kembali bersinar dan berjaya dipulihkan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Di sini kami kompilasikan 5 kes rasuah yang baru berlaku beberapa tahun kebelakangan ini, membuktikan gejala masalah rasuah masih belum dapat diatasi sepenuhnya.

1. Pasukan Kuala Lumpur kena denda dengan FAM

pasukan kuala lumpur atur perlawanan

Pada 3 Februari 2014, Persatuan Bola Sepak Malaysia atau FAM mengumumkan keputusan mengenakan denda RM5,000 kepada 17 orang pemain pasukan Kuala Lumpur. Ketua jurulatih mereka, seorang penolong pengurus dan seorang pegawai pasukan digantung seumur hidup dan didenda RM20,000 atas kesalahan bersubahat.

Kejadian 'rasuah' yang berlaku berpunca daripada sistem pengurusan yang digunapakai pasukan KL, membenarkan pengurusan pasukan mereka dilantik oleh pihak penaja. Ini dilakukan berikutan semua isu gaji pengurusan dan pasukan bola sepak KL ketika itu, diuruskan oleh pihak penaja yang terlibat.

Pihak penaja didapati cuba mengatur perlawanan dengan mengeluarkan arahan kepada pemain sehingga menyebabkan mereka sengaja mempamerkan aksi teruk, tewas 16 daripada 22 perlawanan serta bolos 60 gol. (rujukan)

2. Pengadil terima rasuah

shokri pengadil terima suapan rasuah

Dalam satu konspirasi melibat 3 pihak, seorang pengadil dari Kedah, Shokri Nor didapati terlibat dalam satu aktiviti mengatur perlawanan melibatkan pasukan Lions XII menentang Sarawak pada tahun 2012.

Dengan menggunakan seorang bekas pemain bola sepak kebangsaan negara kita, Thanasegar S. Sinnaiah sebagai orang tengah, wang berjumlah RM15,000 dibayar pada Shokri untuk memastikan Lions XII menang dengan kelebihan sekurang-kurangnya 3 gol.

Dalang utama, Selvarajan a/l Letchuman, seorang warga Singapura ditahan oleh pihak berkuasa Singapura dan didakwa atas tuduhan berkonspirasi mengatur perlawanan dengan wang ringgit sebagai suapan. Selvarajan dipenjarakan selama 30 bulan atas semua tuduhan pada 15 September 2015.

Tidak diketahui apa nasib Shokri yang bekerja sebagai polis bantuan dan pengadil separuh masa, kerana dia dikatakan melarikan diri. Sementara Thana pula dipenjarakan dua tahun atas tuduhan tersebut. (rujukan)

3. Bekas pemain kebangsaan didakwa cuba karier sebagai bookie

khairul anuar baharum rasuah bookie

Bekas pemain kebangsaan, Khairul Anuar Baharum dan seorang lagi tertuduh G.Prem Kumar mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan cuba mengatur perlawanan Liga Perdana di antara kelab MISC-MIFA menentang pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak atau PKNP.

Cubaan untuk memastikan kemenangan berpihak kepada PKNP dengan jaringan 2-0 dilakukan melalui suapan kepada penjaga gol pasukan MICS-MIFA, Khairul Izzuwan Shaari dan juga pemain pertahanan S. Harivarmann. Kedua-duanya cuba dirasuah sebanyak RM10,000.

Khairul Anuar, salah seorang tonggak pasukan Negeri Sembilan satu ketika dulu cuba melarikan diri namun berjaya dijumpai dan dibicarakan pada bulan April 2017. Kes ini masih belum selesai setakat ini.

4. Pasukan Timor Leste dirasuah untuk tewas kepada Malaysia

timor leste rasuah lawan malaysia sukan sea

Seorang warga Singapura, R. Kurusamy mengaku bersalah merasuah pengurus pasukan bola sepak Timor Leste, Orlando Marrques Mendes sebanyak RM45,000 dan 7 orang pemain pasukan kebangsaan itu RM12,000 untuk sengaja tewas, dalam perlawanan bola sepak Sukan SEA bawah 23 tahun.

Perlawanan yang melibatkan pasukan Timor Leste menentang pasukan kebangsaan negara kita berakhir dengan keputusan 1-0, berpihak kepada Malaysia.

Berikutan penglibatan beliau dalam konspirasi itu, Kurusamy dipenjarakan selama empat tahun. Orang tengah konspirasi itu, seorang warga Indonesia bernama Nasiruddin pula dipenjarakan selama 30 bulan kerana bersubahat menjadi penghubung di antara Kurusamy dengan pengurus dan pemain.

Kami tidak pasti mengapa Malaysia tidak boleh menang perlawanan tersebut dengan lebih banyak jaringan gol, sekiranya tujuh orang pemain sudah dirasuah dan penguruts pasukan Timor Leste sudah dirasuah untuk tewas. (rujukan)

5. Liga bolasepak daerah pun ada kes rasuah!

jurulatih liga bola sepak rakyat rasuah

Kes ini jadi kegemaran kami antara semua kes dalam senarai, kerana kami tak menyangka kes rasuah boleh juga berlaku dalam peringkat Liga Bola Sepak Rakyat atau LBR.

Dalam satu perlawanan peringkat daerah melibatkan kelab-kelab amatur di Negeri Sembilan, seorang jurulatih kelab dari Tampin didapati bersalah menghulurkan suapan kepada pemain dan pasukan kakitangan kelabnya, untuk tewas dalam perlawanan menentang kelab TGI United Kuala Pilah.

Perlawanan yang dimainkan di Tampin, dimenangi oleh pasukan kelab Kuala Pilah itu dengan kemenangan 11-2 sehingga menimbulkan rasa curiga dan seterusnya menyebabkan laporan dibuat kepada SPRM. Setelah siasatan dilakukan, terbukti wujud unsur cubaan mengatur perlawanan yang dibuat sendiri oleh jurulatih dari Tampin itu.

Jurulatih itu, seorang lelaki berusia 40-an telah didakwa menghulurkan wang tunai untuk memastikan pasukannya tewas - untuk pemain-pemainnya dia membayar RM80 setiap seorang dan bagi kakitangannya pula, setiap seorang menerima RM100.

Tidak berapa lama selepas penahanan jurulatih dari Tampin itu, SPRM telah pun melakukan tangkapan kedua dengan menahan jurulatih pasukan TGI United Kuala Pilah, melalui tahanan reman 5 hari. Hasil siasatan itu membawa kepada penahanan ketiga, seorang ahli perniagaan wanita yang dikatakan penaja utama pasukan TGI United Kuala Pilah. Wanita itu dipercayai individu yang membiayai suapan yang dilakukan. Siasatan kes ini masih berjalan.


Sekiranya anda bertanya kenapa tak disenaraikan kes rasuah terbesar yang melibatkan bola sepak negara kita pada tahun 90-an, kami perlu perjelaskan kes itu memerlukan satu artikel khas untuk menceritakannya secara lebih dalam. Jadi, nantikanlah artikel dari kami.




Hakcipta iluminasi.com (2017)