iluminasi sejarah fbt8

Pada tahun 1950, Kamol Chokephaibulkit bekerja sebagai pembaiki bola yang yang tinggal di Thailand. Tugasnya adalah dengan menjahit bolasepak yang sudah rosak yang dimain oleh pekerja asing barat yang bekerja di sana dengan tangan menggunakan benang dan jarum, agar dapat digunakan semula. Kebanyakan bola pada waktu itu pula datang dari Jerman dan kemahiran membaiki bola tidak ramai yang ada, pada orang tempatan.

Berkat kemahiran yang dibentuk itu Kamol mendapat idea untuk membuat sendiri bola yang diperbuat daripada tangan. Dengan menjadikan sebuah tokong di Sapan Leung sebagai pusat operasi, idea Kamol untuk membuat sendiri bola semakin menjadi kenyataan.

iluminasi sejarah fbt6

Pada awalnya, Kamol hanya mampu menyiapkan 2 ke 3 biji bola sahaja sehari. Walaupun begitu, permintaannya tetap habis. Setiap biji bola yang disiapkan berjaya dijual satu per satu dan perniagaannya mula membesar sikit demi sedikit.

Pada 1952, atas desakan permintaan, Kamol menubuhkan Football Thai, sebuah syarikat membuat bola yang diperbuat daripada kulit dan kedainya terletak di daerah Latkrabang. Syarikatnya memang dari awal dinamakan Football Thai. Kamol berkata, tujuan dia menubuhkan syarikat tersebut kerana dia mahu rakyat Thailand bermain bolasepak menggunakan bola sebenar dan bukan lagi tempurung kelapa.

Walaupun mempunyai syarikat sendiri, untuk 30 tahun pertama penubuhan Football Thai, syarikatnya tidak mengeluarkan bola menggunakan jenama sendiri. Football Thai mendapat kontrak dengan sebuah syarikat Jerman untuk membuat bola melalui perjanjian Original Equipment Manufacturer, di mana Football Thai adalah pembuat tetapi jenama pasarannya adalah di bawah syarikat Jerman tersebut.

Selepas 30 tahun, bermula tahun 80-an, Football Thai mula mengeluarkan produk dengan jenama sendiri yang menggunakan singkatan FBT.

iluminasi sejarah fbt7

Sehingga kini, Football Thai telah berkembang menjadi satu syarikat yang cukup besar dengan 2800 pekerja dan produk-produknya dihantar ke 40 buah negara. Selain daripada penghasilan produk berkaitan bolasepak, FBT juga menghasilkan produk-produk dalam aktiviti sukan lain. Dengan perkembangan perniagaan yang rancak, Football Thai kini mempunyai 4 kilang utama iaitu kilang pakaian sukan, kilang bola, kilang raket dan kilang penghasilan barangan untuk acara tinju.

Football Thai tidak lagi membuat bola untuk syarikat pembuat bola Jerman seperti sebelum ini tetapi masih lagi terus menjadi pembekal OEM kepada beberapa jenama terkenal seperti jenama Mikasa dan Mizuno, dua pelanggan terbesar bagi Football Thai.

FBT menjadi jenama terkenal di seluruh dunia menerusi program-program penajaan yang kerap dijalankan. Di Thailand sahaja, sebelum ini FBT menjadi penaja keseluruhan liga bolasepak Thailand. Namun kini FBT hanya menjadi penaja kepada liga Divisyen 2 Thailand selepas tempat mereka diambil alih oleh Nike, atas faktor-faktor potensi pemasaran yang lebih luas.

iluminasi sejarah fbt3

Di Malaysia, jersi jenama FBT sebenarnya cukup sinonim dengan pasukan Kedah dahulu namun kini hanya pasukan Felda United menggunakan jersi buatan FBT sebagai pakaian rasmi mereka, selepas banyak pasukan menukar kepada jersi jenama lain. Sempena Sukan Sea ke 29 2017 yang diadakan di Kuala Lumpur, FBT telah dilantik sebagai penaja rasmi kejohanan dan akan membekalkan tajaan pakaian dan alatan untuk lebih 20,000 sukarelawan dan pegawai yang bertugas.

Ketika ini Kamol Chokephaibulkit sudah berusia lebih 80 tahun, masih lagi merupakan pemilik tunggal Football Thai dan bertindak sebagai Presiden kepada syarikat. Tugas pengurusan semuanya kini dipertanggungjawabkan kepada anak beliau.

Begitulah serba sedikit kisah bagaimana sebuah empayar barangan sukan dibangunkan pada tahun 1950 oleh Kamol semasa umurnya belasan tahun, yang kini menjadi pembuat barangan sukan terbesar di Asia Tenggara. 


tags : , , , , , , , , , , , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)