Oleh pada 02 Oct 2017 kategori

Di zaman ekonomi semakin mencabar ini ramai rakyat Malaysia mengambil inisiatif untuk melakukan 2 pekerjaan. Ada yang berniaga online, ada yang menggunakan kemahiran masing-masing untuk menambah pendapatan.

Namun ada di antara mereka yang tidak mampu berbuat demikian dan terpaksa bekerja lebih masa. Namun adakah kerja lebih masa di Malaysia sudah dikira teruk? iluminasi.com ingin berkongsi 5 negara paling rajin di dunia dengan jumlah purata jam bekerja tertinggi di dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Nota : Perbandingan KDNK per kapita adalah berdasarkan pariti kuasa beli (purchasing power parity-PPP)

5. Chile

pekerja di chile

Chile adalah negara ke-3 paling rajin di benua Amerika dan ke-5 paling rajin di dunia. Purata jam bekerja oleh setiap pekerja di Chile adalah sebanyak 1,988 jam setahun. Jika mereka bekerja setiap hari dalam setahun, ia menjadikan jam bekerja setiap hari adalah 5 jam 26 minit.

Bagi pekerja berusia di antara 18 hingga 65 tahun, purata gaji minimum adalah 264,000 pesos (RM1,741) sebulan, dan bagi mereka yang berusia 18 tahun ke bawah dan 65 tahun ke atas, gaji minimum adalah sebanyak 161,265 pesos (RM1,064) sebulan. Pada tahun 2016, keluaran dalam negara kasar (KDNK) per kapita bagi Chile adalah sebanyak RM101,274.

4. Greece

beratur mencari kerja di greece

Berada di tangga ke-4 negara paling rajin di dunia adalah Greece, dengan jumlah purata jam bekerja 2,042 jam setahun. Ia menjadikan purata jam bekerja selama 365 berturut-turut adalah 5 jam 35 minit sehari. KDNK per kapita bagi Greece pada tahun 2016 adalah sebanyak RM112,009.

Gaji minimum di Greece pada tahun 2017 adalah €683.76 (RM3,410) sebulan dan gaji purata sebanyak €1,219.69 (RM6,084) sebulan. 

3. Korea Selatan

kerja di kilang korea selatan

Memang umum mengetahui Korea Selatan adalah antara negara yang paling rajin di dunia dan paling rajin di Asia. Purata jam bekerja di Korea Selatan bagi seorang pekerja adalah 2,113 jam setahun, menjadikan setiap hari selama 365 hari mereka akan bekerja selama 5 jam 47 minit.

Jika rakyat Korea Selatan bekerja hanya 5 hari seminggu, purata jam bekerja adalah 8 jam sehari, tanpa cuti am. Penulis mempunyai rakan yang kini sedang bekerja di sebuah kilang kimchi di Korea Selatan. Beliau menceritakan pengalaman bekerja di negara itu yang mana kerja lebih masa itu adalah perkara biasa.

Bukan sahaja pekerja am yang termasuk warga emas, malah pengawalselia turut bekerja lebih masa. Beliau juga memberitahu pernah keluar rumah jam 7.45 pagi dan pulang kembali pada jam 8 pagi keesokan harinya. Namun gaji agak lumayan di antara RM7,500 hingga RM10,000. Tak peliklah kalau Korea Selatan maju. 

2. Costa Rica

pekerja di ladang pisang costa rica

Berada di tangga ke-2 negara paling rajin di dunia adalah Costa Rica. Negara ini mempunyai KDNK per kapita sebanyak RM69,031 pada tahun 2016. Sebagai negara ke-2 paling rajin di dunia, purata jam bekerja oleh rakyat Costa Rica adalah 6 jam 6 minit, untuk purata 365 hari tanpa cuti.

Costa Rica mempunyai kadar pekerjaan yang lebih baik daripada kebanyakan negara Amerika Tengah. Gaji minimum di ibu negara Costa Rica iaitu San Jose adalah $464 (RM1,948) manakala gaji purata sebanyak $730 (RM3,066).

1. Mexico

pekerja di mexico

Mexico adalah negara yang paling "rajin" di dunia ketika ini. Jumlah purata jam bekerja oleh rakyat Mexico adalah sebanyak 2,246 jam setahun. Jika diambil dibahagikan kepada 365 dalam setahun, pekerja di Mexico bekerja 6 jam 9 minit, setiap hari tanpa cuti.

Ia merupakan satu angka yang sangat tinggi. Kerajaan Mexico memandatkan 48 jam bekerja setiap minggu, namun tidak diendahkan lebih-lebih lagi di sektor swasta yang dikerah tanpa diberikan pampasan kerja lebih masa. Disebabkan risau akan pengangguran dan ancaman daripada majikan menjadikan pekerja terpaksa akur.

Antara pekerjaan yang paling biasa dilakukan di Mexico termasuklah Mariachi (kumpulan nyanyian jalanan), pembuat tortilla dan juga penggilap kasut. Keluaran Dalam Negara Kasar per kapita bagi Mexico adalah RM79,539

Bermula daripada 1 Januari 2017, gaji minimum harian di Mexico dinaikkan dari $73.04 pesos (RM16.89) kepada $80.04 pesos (RM18.51).

Rujukan :

1. OECD

2. World Bank

3. Telegraph

4. Check in Price

5. Travellers Point

6. Litter




Hakcipta iluminasi.com (2017)