Dunia perniagaan memerlukan seseorang atau sesebuah syarikat melakukan pelbagai keputusan yang tepat. Keputusan yang diambil pula kebiasaannya perlulah menepati kehendak dan visi syarikat. Bagaimanapun, sejarah sudah membuktikan wujud banyak 'kesilapan-kesilapan' yang dilakukan oleh syarikat-syarikat dan orang perseorangan, yang akhirnya menyebabkan mereka kerugian atau terlepas sesuatu yang sangat berharga. Semuanya mungkin berpunca daripada kegagalan mentafsir potensi apa yang datang atau perasaan kurang sabar tentang sesuatu,

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah 5 keputusan yang diambil dan kami rasakan menyebabkan penyesalah bertahap tak sudah pada mereka yang terlepas peluang.

1. Excite di tawar untuk beli Google

google tidak dibeli syarikat excite

Pada zaman sebelum Google menjadi gergasi yang kita kenali sekarang, Sergey Brin dan Larry Page cuba menjual idea dan sistem mereka kepada mana-mana pembeli yang berminat. Salah satu syarikat yang ditawarkan oleh mereka adalah Excite, sebuah syarikat pengendali carian internet ketika itu.

Sistem yang dibangunkan oleh Sergey dan Larry mampu mengindekskan keseluruhan laman web yang ada di dunia amat pantas namun bagi George Bell, CEO kepada Excite, tawaran membeli Google ketika itu dengan harga $1 juta dilihat tidak berbaloi. George merasakan apa yang mereka tawarkan bukanlah sistem carian yang dia rasakan berpotensi dan Sergey serta Larry ketika itu, hanyalah dua budak mentah dalam perniagaan.

Usaha Sergey dan Larry mahu menjual Google kepada George tidak berhasil walaupun mereka sudah menurunkan harga kepada $750 ribu. Excite meneruskan perkhidmatan enjin carian yang mereka tawarkan, mengalami kemerosotan teruk serta terpaksa dibeli oleh syarikat lain pada tahun 2004. Bagi Google pula, rasanya tak perlu kami ceritakan apa berlaku.

2. KODAK takut merosakkan perniagaan sendiri

steven sasson pencipta kamera digital pertama dunia

Pada tahun 1973, Steven Sasson, seorang pereka telah diberikan tugas oleh syarikat tempat dia bekerja, Kodak, untuk mengkajo teknologi yang dinamakan Charged Coupled Device atau CCD. Pada waktu tersebut Kodak tidak tahu adakah CCD boleh dimanfaatkan kepada sebarang bentuk produk secara praktikal, jadi Steven bertanggungjawab menggabungkan teknologi tersebut dengan mana-mana produk Kodak.

Kodak satu ketika dulu adalah gergasi industri kamera melalui pengeluaran peranti kamera dan juga gulungan filem. Selepas dua tahun bereksperimen dengan CCD, Steven mendapati CCD mampu digunapakai untuk menghasilkan kamera yang mampu merakamkan gambar dalam format digital. Namun ciptaannya tidak dipandang serius berikutan kelajuan memproses gambar yang perlahan.

Pada tahun 1989, Steven serta seorang lagi pereka bernama Robert Hills berjaya mencipta kamera SLR digital pertama dunia. Walaupun begitu, ciptaannya ditolak oleh Kodak sekali lagi berikutan Kodak tidak mahu menggangu perniagaan asas mereka yang masih mengutamakan kamera dan strip filem.

Walaupun Kodak tetap memegang paten kepada kamera SLR pertama dunia namun teknologi yang dibangunkan mereka sendiri, dibeli oleh syarikat-syarikat lain. Kodak cuba mengubah model perniagaan mereka namun nasib tidak menyebelahi mereka dan syarikat gergasi itu mengumumkan penutupan perniagaan mereka pada 2012. (rujukan)

3. Blockbuster tidak mahu membeli Netflix

netflix redbox blockbuster

Terkenal sebagai seorang yang sukar untuk ditewaskan dalam perbincangan, John Antioco adalah CEO kepada syarikat terkenal Blockbuster yang menawarkan perkhidmatan sewaan filem dalam bentuk cakera kepada pelanggan berdaftar.

Netflix yang pada ketika itu masih lagi menjadi syarikat yang menyewakan filem kepada pelanggan menggunakan perkhidmatan penghantaran pula mengalami masalah kewangan yang ketara. CEO Netflix ketika itu, Reed Hastings menghubungi John dan menawarkan kepada Blockbuster untuk membeli syarikat Netflix pada harga $50 juta.

Tawaran itu diulang beberapa kali dan ditolak dengan cara yang agak kasar membuatkan Netflix terpaksa mencari pembeli lain. John mengambil keputusan mengadakan kerjasama selama 20 tahun dengan sebuah syarikat bernama Enron yang mahu menawarkan perkhidmatan video atas talian namun perjanjian mereka hanya berjalan selama 9 bulan. Sementara Netflix pula dilancarkan di Malaysia pada tahun 2016. (rujukan)

4. Ron Wayne - bekas pengasas syarikat Apple

tiga pengasas sebenar apple

Ketika Apple ditubuhkan pada tahun 1976, Ronald Wayne adalah salah seorang daripada 3 orang pengasas syarikat tersebut bersama Steve Wozniak dan Steve Jobs. Ronald atau Ron memegang 10 peratus saham dalam syarikat yang baru ditubuhkan itu.

Bagaimanapun, Ronald yang ketika itu berusia 40 tahun merasa janggal bekerjasama dengan dua Steve yang ketika itu baru berusia 20-an. Ini membuatkan dirinya rasa kurang selesa apabila terpaksa bergandingan dengan dua orang yang mempunyai tahap intelek hebat dan tahu apa matlamat syarikat Apple.

Selepas 12 hari Apple ditubuhkan, Ron menjual 10% pegangan sahamnya kepada Steve Jobs dan Steve Wozniak, mendapat kembali $800 yang telah dilaburkan beserta $1500 sebagai amaun tambahan. Persahabatan mereka berkekalan selepas itu dan Ron Wayne mengaku, dia tidak menyesal sedikit pun menjual kembali sahamnya pada tahun 1976. (rujukan)

5. Bagaimana Western Union menolak tawaran untuk memegang hakcipta telefon

alexander graham bell melakukan panggilan telefon pertama

Pada tahun 1876, Alexander Graham Bell berjaya mencipta satu alat yang berjaya menyalurkan suara melalui wayar yang digelarkan telefon. Bagi menjayakan produk tersebut supaya dapat dipasarkan secara meluas, Alexander dan pasukannya mencari mana-mana syarikat yang mahu membeli paten hakmilik mesin telefon.

Alexander dan rakannya, pelabur bernama Gardiner G.Hubbard menawarkan kepada The Telegraph Company (nama lama Western Union) nilai hakcipta telefon dengan harga $100,000. Presiden syarikat itu, Chauncey M.DePew melantik beberapa orang jawatankuasa yang bertanggungjawab menilai tawaran Alexander dan Gardiner. Hasilnya mengecewakan.

Jawatankuasa itu mengkritik hasil ciptaan Alexander, berikutan kualiti audio yang disampaikan lemah dan kesimpulan yang mereka dapat - alat 'telefon' yang dicipta tidak mungkin akan berjaya menyalurkan suara apabila jarak antara dua telefon semakin bertambah. Mereka berpendapat mustahil orang ramai akan mahu menggunakan 'telefon' berbanding perkhidmatan telegram yang jelas jauh lebih tepat dan mudah difahami.

Kesimpulan yang mereka perolehi dalam kajian mereka ketika itu; tawaran $100,000 untuk membeli hakcipta telefon adalah sangat-sangat tidak berpatutan dan besar kemungkinan tidak akan memberi sebarang faedah bagi syarikat mereka di masa depan. Jadi mereka mencadangkan agar pembelian itu tidak diteruskan kerana ciptaan Alexander Graham Bell itu tidak lain tidak bukan, hanyalah sebuah permainan berbanding dengan sistem telegram yang sedia ada. Tak perlu kami tunjukkan di mana berlakunya kesilapan dalam kisah ini. (rujukan)




Hakcipta iluminasi.com (2017)