Perhimpunan Agung tahunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merupakan acara diplomatik terbesar di dunia dengan pemimpin dari hampir 200 negara berkumpul pada satu-satu masa.

Pada tahun ini, Perhimpunan Agung PBB yang ke-77 akan diadakan pada 13-27 September 2022 di bandaraya New York, Amerika Syarikat. 

Perhimpunan Agung PBB ini biasanya akan menjadi forum untuk perebutan sempadan, identiti nasional dan pencarian penyelesaian kolektif kepada masalah paling mendesak di dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sudah tentu, forum yang dihadiri ramai pemimpin dunia dan ribuan delegasi dari seluruh dunia ini menjadi tempat 'panas' sehingga berlaku beberapa episod pelik yang diperkatakan sehingga hari ini. Berikut adalah beberapa kejadian pelik yang berlaku dalam sejarah Perhimpunan Agung PBB.

1. Ucapan terpanjang

krishna menon

Bekas Menteri Pertahanan India iaitu Krishna Menon memegang rekod ucapan terpanjang dalam sejarah Perhimpunan Agung PBB. Secara keseluruhannya, dia menyampaikan ucapan selama 7 jam 48 minit pada 1957. Dalam ucapannya, Menon mempertahankan penjajahan India ke atas Kashmir.

Menon kemudian rebah ketika sedang memberikan ucapan kerana keletihan dan terpaksa dimasukkan ke hospital. Dia kemudian kembali dan meneruskan ucapannya selama sejam sementara doktor memantau tekanan darahnya.

2. Hugo Chavez gelar George W. Bush sebagai 'Iblis'

Mendiang pemimpin revolusioner Venezuela iaitu Hugo Chavez adalah antara watak yang diingati dalam sejarah Perhimpunan Agung PBB. Pada 2006, beliau menyelar bekas presiden Amerika Syarikat iaitu George W. Bush dalam ucapannya.

Berdiri di podium yang sama sehari selepas Bush memberikan ucapan, Chavez berucap sambil melakukan tanda salib pada badannya:

"Iblis telah datang ke sini semalam dan berdiri di podium ini. Podium ini masih lagi berbau sulfur (belerang). Presiden A.S. yang saya sebut sebagai Iblis datang ke sini dan bercakap seolah-olah dia memiliki dunia ini."

Ketika berucap pada Perhimpunan Agung PBB 2009, Chavez mendakwa bahawa podium itu tidak lagi berbau sulfur kerana Barack Obama dilantik menjadi Presiden Amerika Syarikat yang baru.

3. Muammar Qaddafi merapu selama 96 minit

Bekas pemimpin Libya, Muammar Qaddafi membuat kemunculan pertamanya di Perhimpunan Agung PBB pada 2009 walaupun berkuasa sejak tahun 1969 lagi.

Walau bagaimanapun, Qaddafi memastikan kemunculan pertamanya diingati dunia. Malah, dia turut menggelarkan Majlis Keselamatan PBB sebagai "Majlis Keganasan PBB".

Dia yang hanya diberikan masa selama 15 minit di podium telah memberi ucapan panjang yang 'melalut' selama 96 minit. Namun, salah satu isi ucapannya yang menjadi bualan pada hari ini adalah ketika dia mendakwa bahawa kuasa besar dunia sedang giat membangunkan virus untuk keuntungan mereka.

4. Donald Trump diketawakan

Adalah menjadi kebiasaan jika para hadirin ketawa jika pemimpin yang berucap di Perhimpunan Agung PBB membuat jenaka. Namun, kali ini hadirin ketawa apabila berasa lucu mendengar sesuatu yang serius.

Ketika Donald Trump berucap kali kedua di Perhimpunan Agung PBB sejak menjadi Presiden Amerika Syarikat, beliau cuba bermegah tentang pencapaiannya. Namun, ianya menjadi bahan ketawa pemimpin dunia dan delegasi lain.

Donald Trump mendakwa dalam hanya dua tahun memerintah Amerika Syarikat, pentadbirannya mencapai pencapaian yang lebih banyak berbanding pentadbiran mana-mana Presiden AS dalam sejarah.

Menyedari dia diketawakan, Trump berhenti seketika dan tersenyum sambil berkata "Saya tidak menjangkakan reaksi sebegitu tetapi tidak mengapa."

5. Amaran Netanyahu terhadap program nuklear Iran

Bekas Perdana Menteri Israel iaitu Benjamin Netanyahu pernah berucap di Perhimpunan Agung PBB pada tahun 2012. Dalam ucapannya, Netanyahu memberi amaran tentang bahaya program nuklear yang dijalankan Iran.

Namun, apa yang menjadi bahan ketawa adalah lakaran yang digunakan Netanyahu untuk menerangkan keadaan itu. Netanyahu memegang satu lukisan besar bom dengan sumbu yang dibahagikan kepada beberapa bahagian.

Dia turut menggunakan pen merah dan membuat garisan sambil menerangkan bahawa program nuklear Iran akan mencapai 90 peratus menjelang pertengahan tahun 2013 dan PBB tidak sepatutnya membiarkan perkara itu berlaku.




Hakcipta iluminasi.com (2017)