Oleh pada 11 Oct 2021 kategori

Tahukah anda di Amerika Syarikat terdapat sebanyak 574 kaum orang asli. Mereka merupakan penduduk asal negara itu sebelum orang kulit putih datang dari pelbagai negara dan menjadikan Amerika sebagai negara baru.

Menurut bancian yang diadakan pada tahun 2020, seramai 9.7 juta orang asli atau American Indian yang tinggal di negara itu dan ia mewakili 2.9 peratus populasi penduduk Amerika.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mungkin sebahagian daripada anda menyangka bahawa kaum asli di sana terpinggir dan ketinggalan dari pelbagai aspek seperti pelajaran, ekonomi dan sosial. Namun, tahukah anda bahawa sebahagian kaum orang asli di Amerika sangat kaya dan tidak perlu bekerja.

Kebanyakan kaum orang asli di Amerika mempunyai persatuan sendiri dan pendapatan utama mereka adalah melalui perjudian dan kasino yang dibina di atas tanah puak mereka. Lebih daripada 200 puak menerima keuntungan keseluruhan sebanyak USD 39 bilion pada tahun 2015.

Setiap keuntungan akan dibahagikan kepada setiap ahli persatuan. Semakin sedikit jumlah ahlinya, semakin banyak yang diterima. Berikut adalah beberapa kaum orang asli yang paling kaya di Amerika Syarikat.

5. The Pechanga Band of Luiseno Indians

the pechanga resort and casino

Pechanga Resort & Casino

The Pechanga Band of Luiseno Mission Indians adalah suku Luiseno Indians yang diiktiraf secara persekutan dan berpusat di Riverside County, California. Sehingga tahun 2006, mereka dianggarkan mempunyai ahli seramai 1,370 orang.

Suku ini memiliki Pechanga Resort & Casino di Temecula dan ia merupakan kasino terbesar di California. Selain itu, mereka juga memiliki hak penamaan ke atas arena sukan San Diego yang kini dikenali sebagai Pechanga Arena.

Setiap orang ahli akan menerima bayaran berdasarkan keuntungan yang dihasilkan persatuan mereka. Pusat perjudian terkenal ini dibangunkan mereka di tanah simpanan yang didiami nenek moyang mereka sejak ribuan tahun lagi.

Pada tahun 2013, setiap ahli dianggarkan menerima sebanyak USD 156,000 setahun dan pada 2017, dianggarkan setiap ahli menerima sebanyak USD 300,000.

4. Mashantucket Pequot

mashantucket pequot

Pada tahun 2009, puak Mashantucket Pequot dilabelkan sebagai puak asli Amerika paling kaya. Dianggarkan setiap daripada 800 orang ahlinya menerima sekurang-kurangnya USD 100,00 pada tahun itu. Kebanyakan daripada mereka tidak bekerja.

Beberapa tahun kemudian, persatuan mereka membuat pelaburan yang salah dan kasino mereka Foxwoods Resort Casino berhutang sebanyak USD 2.3 bilion. Ini membuatkan persatuan mereka terpaksa mengurangkan pembahagian keuntungan dan ramai yang terpaksa mencari kerja.

Jumlah keuntungan yang diberikan semakin menurun kepada 10,000, 1,000 sehinggalah kepada 500 sahaja. Namun, nasib persatuan mereka berubah setelah memilih Rodney Butler sebagai pengerusi baharu.

Daripada berhutang sebanyak USD 2.3 bilion, mereka mengambil masa selama lima tahun untuk menstruktur semula dan pada tahun 2020, mereka memiliki wang sebanyak 1.9 bilion.

3. Seminole

suku asli seminole

Puak Seminole telah melantik orang luar sebagai eksekutif untuk operasi perjudian mereka iaitu Jim Allen. Pada tahun 2006, Jim telah membolehkan suku ini memenangi bidaan ke atas Hard Rock Hotel & Casino setelah mengalahkan 72 pembida lain.

Kebanyakan ahli suku itu menganggap rancangan Jim adalah sesuatu yang gila tetapi pada 2016, eksekutif itu berjaya mengumpul banyak kekayaan untuk suku yang mempunyai sekitar 4,000 ahli itu.

Sebelum Jim mengambil alih persatuan itu, mereka hanya menerima sekitar USD 30,000 setahun sahaja. Jim membantu memperolehi lebih daripada USD 5 bilion dari pelbagai operasi merangkumi 23 hotel, 11 kasino dan 168 kafe Hard Rock. Hasil daripada kejayaan ini, setiap ahli menerima USD 128,000 setiap tahun.

Selain itu, mereka juga menerima pelbagai kemudahan percuma seperti sekolah swasta, penjagaan warga tua dan penjagaan kesihatan. Namun, wang yang diterima setiap tahun itu hanya boleh dikeluarkan setelah berusia 18 tahun dan ke atas. Ini bermakna, setiap ahli suku kaum Seminole dilahirkan sebagai jutawan.

2. Mohegan 

mohegan

Pada tahun 2004, puak Mohegan dilaporkan memperolehi keuntungan sebanyak USD 1.4 bilion dan jumlah itu meningkat sebanyak 14% dari tahun 2000. Persatuan mereka memiliki Mohegan Sun Casino yang dianggap sebagai kasino kedua terbesar di Amerika Syarikat dengan 6,200 mesin judi.

Selain kasino, mereka juga mengembangkan perniagaan dalam beberapa bidang lain seperti trek perlumbaan kuda. Pada penghujung 2019, mereka mempunyai hutang sebanyak USD 2 bilion tetapi bernasib baik kerana banyak membuat pelaburan di luar tanah simpanan mereka.

Mereka juga membuat pelaburan ke atas resort dan kasino di beberapa negeri di Amerika dan luar negara seperti di Korea Selatan dan Greece. Walaupun mempunyai hutang yang besar, mereka masih mampu membayar setiap ahli sebanyak USD 30,000 setahun dan memberikan pelbagai kemudahan lain.

Mengikut laporan The Mohegan Tribal Gaming Authority, persatuan itu memperolehi keuntungan sebanyak USD 992 juta pada tahun 2019.

1. Shakopee Mdewakanton

shakopee mdewakanton

Suku yang berpangkalan di Minnesota ini merupakan suku asli Amerika paling kaya jika dikira pada kekayaan individu. Suku Shakopee Mdewakanton ini hanya mempunyai seramai 480 orang ahli sahaja dan setiap ahli menerima sebanyak USD 84,000 sebulan.

Suku ini sangat kaya sehingga hampir semua orang tidak bekerja. Pada tahun 2012, presiden persatuan pada waktu itu iaitu Stanley R. Crooks mendakwa sebanyak 99.2% ahlinya tidak bekerja.

Sumber pendapatan utama suku ini adalah dua kasino yang menarik puluhan ribu pengunjung dari dalam dan luar negara. Salah satu kasino mereka iaitu The Mystic Lake Casino mempunyai lapangan golf 18 lubang, tapak konsert dengan 2,100 tempat duduk, 600 bilik hotel, lima restoran dan pelbagai kemudahan lain.

Jika dikira dengan satu lagi kasino iaitu Little Six Casino, persatuan suku kaum ini adalah sekitar USD 1.4 bilion setahun. Maka, tidak hairanlah jika ahlinya tidak bekerja apabila menerima USD 1.08 juta setahun.




Hakcipta iluminasi.com (2017)