Sukan merupakan satu aktiviti beriadah yang baik untuk kesihatan kita. Sejak dari bangku sekolah lagi kita sudah menceburi dalam bidang sukan seperti lari padang, lompat tinggi, lompat jauh malahan ada juga antara kita yang menjadi wakil sekolah dalam bola sepak, bola jaring dan banyak lagi. Mengimbau kenangan betul kalau nak cakap pasal sukan. Paling dramatik apabila melalui sukan juga ia dapat menyatukan kita semua bukan? Sokongan yang padu daripada kita sebagai rakyat Malaysia untuk Sukan SEA kali ini sangat bermakna bagi para atlet di luar sana yang sedang berjuang demi negara tercinta.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tahukah anda bahawa tidak semua jenis sukan kita mampu untuk menceburinya disebabkan faktor kos yang sangat tinggi? Ya, ada 5 jenis sukan yang kita hanya mampu melihat sahaja disebabkan ia sangat mahal dan mereka yang ceburinya sudah tentu dari golongan yang banyak harta. Mungkin anda ingat sukan golf adalah yang paling mahal. Tidak, tanggapan anda salah sama sekali dan anda mungkin hanya mampu menggigit jari sahaja selepas tahu tentang kos sebenar sukan-sukan ini.

5 jenis sukan paling mahal di dunia :

#1 Lompat Ski

sukan mahal 1

Sukan ini amat popular di negara luar seperti Norway yang mempunyai banyak pergunungan salji. Mengapa ia dikategorikan sebagai sukan paling mahal di dunia? Hal ini kerana walaupun kos peralatan asas yang diperlukan hanya mencecah AS$2,500 (RM 11,071), tetapi ia memerlukan khidmat jurulatih yang mahir dan sudah tentu kos untuk bayaran jurulatih juga sangat tinggi. Selain itu, untuk memasuki kawasan latihan juga memerlukan kos yang agak tinggi. Jadi, bagi seorang atlet yang aktif dalam sukan lompat ski ini, mereka memerlukan peruntukan sekurang-kurangnya AS$100,000 setahun bahkan itu belum lagi termasuk kos insurans nyawa dan kemalangan yang wajib diambil setiap hari. 

#2 Polo

sukan mahal 2

Sukan berkuda seperti Polo juga tersenarai dalam top 5 sukan paling mahal di dunia kerana seorang atlet yang terlibat dalam sukan Polo ini perlu memiliki kuda elit yang memerlukan penyelenggaraan yang tinggi merangkumi latihan, peralatan menunggang dan sebagainya. Anda boleh lihat sendiri sukan ini banyak diminati oleh anak kerabat diraja yang menganggap sukan ini mempunyai nilai estitika yang tersendiri. Malah, sukan Polo ini juga mewajibkan seseorang atlet memiliki kuda lebih daripada seekor dan kebiasaannya berjumlah empat ekor. Sepasang kuda perlu menjalani latihan yang menelan kos kira-kira AS$2,500 sebulan. Bagi menyertai pertandingan, seseorang atlet tersebut perlu mengeluarkan belanja antara AS$3,500 hingga AS$150,000 bergantung kepada reputasi kejohanan yang disertai.

#3 Equestrian

sukan mahal 3

Sukan Equestrian adalah sukan yang melibatkan kemahiran menunggang serta mengawal kuda untuk melakukan beberapa disiplin melibatkan keserasian antara penunggang dan kuda itu sendiri. Bagaimanapun, untuk beraksi lebih serius dalam sukan Equestrian memerlukan kos yang sangat tinggi iaitu merangkumi latihan dan penyelenggaraan kuda. Menurut laporan media antarabangsa, kos untuk memasuki pertandingan Equestrian peringkat antarabangsa memerlukan bajet sekitar AS$200,000 setahun tidak termasuk harga untuk membeli kuda. Harga kuda pun sangat mahal bukan?

#4 Formula One

sukan mahal 4

Untuk pengetahuan anda, sehingga kini masih belum ada nilai yang tepat mengenai jumlah yang perlu dibayar oleh seseorang untuk menjadi pelumba F1. Walau bagaimanapun, Pengarah Eksekutif Mercedes AMG Petronas Formula One Team, Toto Wolff mendedahkan tiada jalan pintas buat individu yang mahu menyertai perlumbaan F1. Sebaliknya, semua pelumba perlu melalui banyak fasa yang memerlukan kos sangat tinggi sebelum boleh mendapatkan lesen sebagai pemandu F1. Kata Wolff, kanak-kanak yang menunjukkan minat perlu beraksi dalam perlumbaan Go Kart terlebih dahulu dan seterusnya beralih kepada perlumbaan F4, F3 dan F2 yang memerlukan perbelanjaan kira-kira RM47.71 juta. 

#5 Pelayaran

sukan mahal 5

Tahukah anda bahawa sebuah kapal layar jenis AC72 yang mengambil bahagian dalam acara American Cup memerlukan kos sehingga ratusan juta ringgit termasuk kos penyertaannya dalam perlumbaan yang mengambil masa beberapa bulan. Anda boleh lihat sendiri sukan pelayaran ini juga dianggap salah satu sukan yang digemari oleh rakyat Malaysia termasuklah pertandingan berstatus antarabangsa iaitu Kejohanan Monsoon Cup. Selepas musim berakhir, kapal layar juga perlu dijaga rapi untuk memastikan ia boleh digunakan kembali untuk perlumbaan dan itu juga melibatkan kos yang tinggi. 

Banyak lagi sukan lain yang mahal sebenarnya. Ini hanya untuk informasi anda sahaja mengenai sukan termahal. Namun begitu, ia tidak dinafikan sama sekali bahawa sukan mampu menjadi satu pekerjaan yang dianggap sangat lumayan. Jadi, tidak hairanlah sukan-sukan yang terdapat di dunia ini mempunyai nilai yang tertentu sekaligus dapat dijadikan sebagai platform kepada individu untuk menjadi seorang atlet yang berjaya. Anda boleh lihat sendiri bagaimana atlet negara kita seperti Datuk Nicol Ann David dan Datuk Lee Chong Wei yang sudah menjadi ikon negara Malaysia kerana pencapaian mereka dalam menceburi sukan squash dan badminton yang akhirnya membawa mereka sebagai jutawan negara hanya sebagai seorang atlet. Hebat bukan?

sukan mahal 6

Masih belum terlambat untuk anak-anak muda yang berminat dalam sukan untuk mengasah bakat mereka dan mengejar impian mereka sebagai atlet negara. Ayuh Malaysiaku, Kita Juara ! Kami wakil dari pihak iluminasi.com ingin mengucapkan tahniah buat para atlet negara yang telah berhempas pulas demi mengharumkan nama Malaysia dan buat para penyokong semua, teruskan bangkit bersama memberi semangat kepada para atlet kita. 

Sumber: KOSMO




Hakcipta iluminasi.com (2017)