Bagi anda yang sudah lama menggunakan internet, pasti anda sedar internet bukanlah satu tempat yang mesra sekiranya kita gemar berinteraksi dengan individu lain, terutamanya di dalam media sosial.
Setiap masa kita terbuka kepada ancaman seandainya walaupun kita tak sengaja melakukan sedikit kesilapan. Segelintir pengguna internet entah mengapa cukup gembira dapat terlibat dalam situasi yang kita gelarkan 'mob justice', di mana seseorang itu diletakkan dalam situasi dimalukan berikutan perbuatan atau kesilapan yang telah berlaku.
BESARKAN TEKS A- A+
Ada kalanya teguran yang baik mampu membawa kepada faedah namun kebiasaannya, ramai pengguna internet tidak tahu batas sempadan dalam berkongsikan pandangan sehingga mengakibatkan kemusnahan hidup individu lain. Berikut adalah contoh lima kes paling buruk yang menimpa individu dimalukan oleh internet.
1. Star Wars Kid
15 tahun lalu pada tahun 2003, seorang budak lelaki bernama Ghyslain Raza merakamkan dirinya menggayakan pedang cahaya daripada filem Star Wars bersendirian di studio sekolahnya. Entah apa berlaku, rakannya menemui pita rakaman video tersebut, menukarkannya menjadi format digital - seterusnya memuat naik video tersebut ke internet. Semua itu berlaku tanpa kerelaan Ghyslain.
Video tersebut menjadi salah satu video paling popular di internet ketika itu, sehingga mempopularkan identiti Ghyslain di dalam saluran berita dan televisyen. Menjadi popular sekelip mata, Ghyslain terpaksa berdepan kutukan orang ramai yang tidak dikenali, ekoran berat badannya.
Tertekan teruk, setahun kemudian beliau berhenti sekolah dan terpaksa meneruskan pendidikan di rumah. Ibu bapanya mengambil tindakan menyaman pelajar yang memuatnaik video tersebut dan kes itu diselesaikan di luar mahkamah. Pasti ramai tidak menyangka kejadian seburuk itu telah berlaku pada watak salah satu video paling popular di internet satu masa dulu. (rujukan)
2. Megan Meier
Gadis muda berusia 14 tahun mula menyertai Myspace dan berkawan dengan seorang remaja lelaki 16 tahun bernama Josh Evans. Walaupun berhubung hanya melalui Myspace, hubungan mereka berdua lama-kelamaan semakin rapat ekoran banyak persamaan di antara mereka berdua. Megan yang ketika itu sedang mengalami masalah peribadi, menjadikan Josh sebagai tempat meluahkan perasaan.
Tanpa disangka, Josh mula berubah nada pada satu hari. Kata kesat dikeluarkan Josh yang mula mencaci Megan kerana perangainya yang dikatakan buruk serta hipokrit. Megan terkejut melihat perubahan itu mula menangis, mengurungkan dirinya di dalam bilik dengan nasihat ibunya untuk tidak menyemak mesej-mesej baru Josh tidak diendahkan Megan. 20 minit selepas itu, kedua ibu bapanya menemui Megan tergantung di leher dengan tali pinggang yang dibuat tali.
Apa yang menyedihkan, watak Josh sebenarnya adalah satu ciptaan ibu kepada seorang kenalannya dari sekolah yang tidak gemarkan Megan. Bagi membalas dendam, wanita itu yang bernama Lori Drew mencipta akaun Myspace 'Josh' bagi mendapatkan rahsia peribadi Megan, supaya anaknya boleh memalukan Megan di sekolah. Lebih tragis, rumah Lori hanya selang empat buah rumah sahaja dengan rumah Megan. Kes Megan Meier menjadi kes buli siber pertama yang dibicarakan di mahkamah Amerika Syarikat. (rujukan)
3. Steve Bartman
Dalam satu perlawanan besbol liga Major League Baseball (MLB) melibatkan pasukan Chicago Cubs melawan Florida Marlins, bola yang dipukul hampir keluar menghampiri Steve Bartman, yang ketika itu gembira menyaksikan pasukan kegemarannya, Chicago Cubs mendahului 3-0.
Bola yang sedang terbang sekiranya berjaya ditangkap pemain akan mengeluarkan pemain lawan dan memudahkan Chicago Cubs memenangi perlawanan tersebut, seterusnya memenangi kejuaraan buat kali pertama sejak tahun 1945. Bagaimanapun, Steve yang tidak perasan ada pemain mahu menangkap bola, cuba turut sama menangkap bola yang dijangkakannya sudah keluar, tertepis sehingga menggagalkan tangkapan kemas oleh pemain mengakibatkan bola jatuh.
Ekoran insiden itu, pemain Cubs mengamuk Steve menggagalkan usahanya memastikan kemenangan. Fokus pemain Cubs mula terganggu, selepas pengadil menyifatkan tindakan Steve mahu menangkap bola tidak salah menurut peraturan padang.
Chicago Cubs tewas perlawanan itu 8-3 dan Steve dipersalahkan sebagai punca kekalakan, sehingga terpaksa diiiringi keluar stadium dihujani balingan objek penyokong sendiri. Liputan berita mendedahkan kisah malang yang berlaku dan identiti Steve Bartman dibongkar di dalam internet. Alamat rumah, nama serta wajahnya dikongsikan dalam forum MLB menyebabkan dia menjadi buruan penyokong Chicago Cubs.
Ekoran ugutan yang diterima, pihak polis bertindak meletakkan enam kereta peronda setiap masa di hadapan rumah Steve, dengan Steve diletakkan ke dalam program perlindungan saksi. Walaupun cuba meminta maaf terhadap orang ramai melalui kenyataan media, ugutan terus kedengaran sehinggakan negeri lain di Amerika Syarikat menawarkan perlindungan agar Steve keluarr daripada Chicago. Hanya pada 2013, Steve Bartman berani ditemuramah menceritakan pengalaman beliau yang sangat menakutkan.
4. Rehtaeh Parsons
Baru berusia 15 tahun pada tahun 2013, Rehtaeh Parsongs berkunjung ke rumah kawannya di Dartmouth, Kanada disertai beberapa orang remaja lelaki untuk berparti minum arak. Apa yang berlaku selepas itu tidak jelas pada Rehtaeh ekoran kesan arak. Beberapa hari kemudian gambarnya dirogol dua remaja lelaki semasa parti itu tersebar di sekolah.
Rehtaeh mula dihujani mesej-mesej yang menggelarkannya dengan gelaran kurang elok dan juga permintaan untuk mengadakan hubungan seks. Kejadian rogol itu tidak dilaporkan walaupun imej kejadian sudah tersebar, sehinggalah laporan polis dibuat selepas Rehtaeh tidak mampu menahan kritikan dan cacian yang diterima.
17 bulan selepas insiden rogol itu dengan tekanan yang masih belum berhenti, Rehtaeh menggantung dirinya di rumah namun cubaannya gagal. Walaupun begitu jerutan di leher mengakibatkan kegagalan fungsi otak menyebabkan Rehtaeh diisytiharkan koma. Tidak lama selepas itu, pihak hospital dan ibu bapanya mengambil keputusan untuk menamatkan hidupnya yang selama ini disokong oleh mesin.
Remaja yang merogol Rehtaeh mula disebarkan identitinya selepas insiden yang melibatkan kematian itu, mengakibatkan dia turut menerima kecaman sehingga mengakibatkan keluarganya berpindah ke kawasan lain. Menurut laporan, pihak perogol mendakwa apa yang berlaku bukanlah rogol tetapi seks suka sama suka kerana Rehtaeh telah pun memberikan persetujuan sebelum apa-apa berlaku. (rujukan)
5. Monica Lewinsky
Skandal seks paling menggemparkan dunia melibatkan Monica Lewinsky yang ketika itu yang baru berumur 21 tahun dengan bekas Presiden Amerika Syarikat (POTUS) Bill Clinton memang disebut ramai pihak. Memulakan kariernya sebagai pelatih di Rumah Putih, Monica mula menjalinkan hubungan seksual bersama Bill pada tahun 1995 namun hubungan mereka tidak lama, selepas Monica ditukarkan ke Pentagon atas faktor kurang kemahiran dalam bidang tugas.
Semasa di Pentagon, Monica mula menceritakan berkenaan hubungan sulitnya dengan Bill kepada seorang rakan sekerja bernama Linda Tripp. Linda melihat potensi dan nilai maklumat yang diceritakan, mula merakamkan perbualan mereka senyap-senyap tanpa pengetahuan Monica untuk dijual kepada penerbitan majalah Newsweek.
Hasil pertemuan Linda dengan wakil Newsweek telah berjaya dibongkarkan oleh pihak yang tidak diketahui di dalam internet, menerusi laman web The Drudge Report. Isu itu meletup kerana dakwaan wujudnya maklumat berkenaan skandal seks melibatkan seorang Presiden Amerika Syarikat menjalinkan hubungan seksual bersama seorang pelatih Rumah Putih bukanlah perkara kecil-kecilan.
Hasil siasatan media mengakibatkan nama Monica Lewinsky mula diperkatakan di seluruh negara malahan dunia, serta menjadi bahan ketawa pihak-pihak media yang mempermainkan saiz badannya.
Pihak kerajaan pantas melakukan apa yang perlu dalam melindungi imej POTUS namun Monica dibiarkan berjuang sendirian. Dia hidup berpindah-randah dan statusnya yang terpalit dengan skandal tahap tertinggi, menyukarkan dia mendapat pekerjaan bagi menyara hidup. Mengakui tidak pernah terlintas mahu membunuh diri, hidup Monica musnah dan sehingga kini tidak dapat kembali seperti biasa.
Kes Monica Lewinsky adalah antara kes paling awal yang menunjukkan kuasa internet mampu memusnahkan hidup orang lain, sekiranya dibiarkan berlaku berleluasa.