Kemajuan teknologi dalam bidang perubatan membolehkan sesuatu organ yang sudah tidak berfungsi atau tidak elok diganti dengan organ baru yang lebih sihat. Organ baru ini biasanya diperolehi daripada penderma lain yang sukarela bersetuju mendermakan organ mereka.
Walau bagaimanapun, kerana permintaan yang tinggi untuk organ manusia melebihi jumlah penderma, maka terdapat pihak yang mengambil kesempatan menjalankan kegiatan penyeludupan organ yang kemudiannya dijual di pasaran gelap. Kali ini, kami ingin berkongsi beberapa fakta menyeramkan dan menyedihkan megenai kegiatan penyeludupan ini.
BESARKAN TEKS A- A+
1. 10% pemindahan organ dibuat secara haram
Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) menganggarkan 100,000 organ transplan dilakukan setiap tahun. Walau bagaimanapun, kerana jumlah organ yang didermakan tidak dapat menampung jumlah organ yang diperlukan oleh penerima, maka tempoh menunggu biasanya memakan masa yang agak lama. Ada kalanya bertahun-tahun.
Oleh itu, bagi golongan kaya yang berkemampuan maka mereka memilih untuk melakukan pemindahan organ secara haram bagi mengelakkan masa menunggu yang lama. Pihak WHO menganggarkan 10% daripada pemindahan organ yang dilakukan seluruh dunia dilakukan secara haram.
2. Pasaran gelap
Kerana permintaan yang tinggi untuk organ, maka terdapat pasaran gelap yang menjual organ-organ ini secara haram. Kerana terdesak untuk mendapatkan organ baru, maka para pembeli ini biasanya tidak kisah membeli organ pada harga yang berkali-kali ganda lebih mahal.
Setiap tahun, penjual organ dalam pasaran gelap ini dianggarkan mencatatkan keuntungan sehingga RM5 bilion. Sementara itu, buah pinggang merupakan organ yang paling dicari dimana 75% pemindahan organ yang dilakukan berkaitan buah pinggang.
3. Penyeludupan manusia
Kerana bayaran yang lumayan, penjual dalam pasaran gelap biasanya sanggup melakukan apa sahaja bagi mendapat organ yang diingini. Maka, penyeludupan manusia terutamanya kanak-kanak biasanya dilakukan.
Kejadian ini dilaporkan banyak berlaku di negara dunia ke 3. Kanak-kanak diculik dan diberikan dadah atau minuman bagi memastikan mereka tidak sedarkan diri. Kemudian, pembedahan akan dilakukan terhadap mangsa bagi mendapatkan organ yang diingini. Kanak-kanak yang menjadi mangsa ini biasanya mudah mendapat penyakit atau mati kerana tidak mendapat rawatan dan ubat-ubatan yang sempurna selepas pembedahan.
4. Penglibatan doktor
Seorang doktor terlatih diwajibkan mengikut undang-undang yang ditetapkan kerajaan. Malangnya, kerana bayaran lumayan yang diterima, terdapat juga doktor yang terlibat dengan skim penipuan bagi mendapatkan organ secara paksa.
Sebagai contoh satu kes di Mesir dimana seorang pemuda telah datang ke hospital bagi mendapatkan pemeriksaan kesihatan seperti yang diarahkan oleh majikannya. Setelah terjaga daripada tidur, beliau merasai kesakitan pada tubuhnya. Setelah pemeriksaan lanjut dilakukan, didapati satu buah pinggangnya telah diambil ketika beliau tidak sedarkan diri! Selain itu, terdapat juga beberapa kes dimana doktor telah memberi ubat-ubatan yang tidak sepatutnya kepada pesakit agar mereka mati cepat bagi membolehkan organ mereka diambil segera.
5. Golongan miskin menjadi mangsa
Selain penyeludupan manusia, penjual di pasaran gelap juga bijak mengambil kesempatan terhadap golongan miskin. Mereka menawarkan sejumlah wang bagi mendapatkan persetujuan penderma untuk menderma organ mereka. Bagi yang miskin dan benar-benar terdesak untuk mendapatkan wang segera, maka menjual organ adalah cara termudah.
Malangnya, ramai penderma tidak dibayar sepenuhnya wang seperti yang dijanjikan. Namun, tidak apa yang mampu dilakukan memandangkan penjualan organ juga sememangnya telah melanggar undang-undang. Terdapat sebuah perkampungan miskin di India yang bernama "Villivakkum" yang mendapat gelaran "Kidneyvakkum" kerana sebahagian besar penduduknya telah menjual buah pinggang mereka.
Kredit: