Apabila memperkatakan tentang Shaolin, kebanyakan daripada kita pasti membayangkan golongan sami berpakaian kuning atau, berkepala botak dan mahir berkungfu. Ianya begitu sinonim sekali dengan negara China.

shaolin kung fu hoye

Selain itu, perihal dan gaya hidup Shaolin ini juga pernah dipaparkan dalam filem Shaolin (2011), Shaolin Temple (1982) dan banyak lagi. Malah, filem Shaolin Soccer terbitan tahun 2001 dahulu pernah menjadi popular dan kegilaan ramai penonton dari Malaysia.

Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi mengenai beberapa fakta menarik mengenai Shaolin. Selain itu, terdapat juga beberapa salah faham mengenai Shaolin yang akan diperjelaskan dalam artikel ini.

1. Berasal dari India

sami dari india

Walaupun imej Shaolin sangat sinonim dengan negara China, ramai yang tidak tahu bahawa ianya bukanlah berasal daripada China. Pengasasnya yang dikenali sebagai Batuo atau Buddhabhadra merupakan seorang sami Buddha yang berasal dari India.

Beliau tiba di bahagian utara kawasan Wei sekitar tahun A.D. 464 dan menetap disana selama beberapa tahun sebelum pemerintah kerajaan Xiaowen mengarahkn pembinaan biara Shaolin di Gunung Song yang kini merupakan sebahagian daripada daerah Henan. Batuo dilantik sebagai ketua di biara tersebut dan dibawah kekuasaannya, biara tersebut mengikut amalan Buddha daripada mazhab Hinayana.

Kerana mazhab ini sukar diamalkan, jumlah pengikutnya tidak berkembang pesat. Sehinggalah kedatangan Bodhidharma, iaitu eorang lagi sami Buddha dari India, amalan mazhab Hinayana telah diganti dengan fahaman mazhab Zen yang banyak dipraktikkan oleh sami Shaolin sehingga ke hari ini.

2. Kung Fu bukan diasaskan oleh Shaolin

berhala buddha

Di China, ramai orang percaya bahawa seni mempertahankan diri Kung Fu ini diperkenalkan oleh Shaolin. Malah, dalam filem-filem sekalipun, seorang sami Shaolin digambarkan sebagai seorang yang pakar dalam seni mempertahankan diri Kung Fu, seolah-olah ianya memang sinonim dengan Shaolin. Realitinya, pengikut Shaolin bukanlah pengasas Kung Fu.

Mengikut catatan sejarah, tidak ada latihan khusus Kung Fu yang diamalkan oleh pengikut Shaolin walaupun ianya telah diasaskan berabad-abad lamanya. Catatan sejarah juga menunjukkan amalan Kung Fu oleh Shaolin hanya ditemui sekitar abad ke 14 sementara seni mempertahankan diri Kung Fu sudah wujud lama sebelum institusi Shaolin diasaskan lagi.

3. Kung Fu Shaolin bukanlah satu-satunya seni mempertahankan diri golongan sami Buddha

kung fu shaolin 691

Kerana begitu sinonimnya seni mempertahankan diri Kung Fu Shaolin dengan sami Buddha, maka ramai yang beranggapan golongan sami ini hanya mengamalkan seni mempertahankan diri Kung Fu. Realitinya, banyak lagi seni mempertahankan diri yang dipraktikkan oleh golongan sami dari seluruh dunia. 

Di Korea, sami Buddha mengamalkan seni mempertahankan diri yang dikenali sebagai Bool Kyo Mu Sool. Malah, mereka juga pernah membantu kerajaan mempertahankan negara suatu ketika dahulu. Di Jepun pula, para sami Buddha mempraktikkan seni mempertahankan diri yang dikenali sebagai Sohei.

4. Jieba

upacara jieba

Sekiranya anda pernah menonton filem berkisarkan mengenai Shaolin, anda mungkin pernah melihat tanda-tanda bulat seakan tatu pada kepala sami Shaolin. Tanda-tanda bulat tersebut dikenali sebagai Jieba dan ianya akan dicacah oleh ketua sami pada kepala seorang sami yang telah menamatkan latihan tertentu. Setiap tanda bulat itu menandakan setiap peraturan tingkah laku asas yang mesti diikuti oleh setiap sami .

Untuk mendapat Jieba, seseorang sami perlu melalui sesuatu latihan yang panjang dan ketat dari segi fizikal dan rohani. Mengikut rekod juga, hanya 43 sami di dunia ini yang mempunyai tanda Jieba ini. Jieba adalah satu proses yang sangat menyakitkan dan membayakan. 9 batang kayu khas akan dilekatkan pada bahagian kepala dan dibakar. Kebiasaanya, setiap satunya mengambil masa 5 minit, tetapi 2 minit yang terakhir adalah paling menyakitkan kerana ianya akan membakar terus ke lapisan kulit kepala.

Terdapat sami yang pengsan kerana terlampau sakit dan ada juga yang melarikan diri setelah menyaksikan sami lain melalui amalan ritual Jieba yang menyakitkan ini. Menyedari akan bahaya ritual Jieba ini, ianya telah diharamkan di seluruh dunia. Mengikut rekod juga, Franco Testini yang dikenali juga sebagai Shi Yan Fan merupakan satu-satunya sami yang bukan berasal daripada Asia yang memiliki tanda Jieba ini.

5. Membantu penaklukan oleh Dinasti Tang

shaolin

Mengikut sejarah, golongan Shaolin ini telah membantu dalam penaklukan Dinasti Tang dengan menjatuhkan Dinasti Sui. Sewaktu penghujung era pemerintahan Dinasti Sui, pihak pemerintah telah bertindak merampas kawasan Gunung Huanyuan untuk membina menara pemancar dan kem tentera. Ini menimbulkan kemarahan golongan Shaolin kerana kawasan itu telah diserahkan kepada mereka oleh pihak pemerintah sewaktu ketika dahulu.

Bagi menghalang penentangan golongan Shaolin ini, sekumpulan askar telah dihantar untuk mengepung dan memusnahkan golongan Shaolin. Pihak Shaolin telah bersumpah akan menghalang daripada ianya berlaku. Pengasas Dinasti Tang, Li Yuan, telah menghantar anaknya bersama sekumpulan askar untuk membantu pihak Shaolin mengalahkan askar daripada Dinasti Sui.

Mengikut sejarah, peristiwa penting ini dikatakan antara sebab kejatuhan penguasaan Dinasti Sui di China. Peranan Shaolin dalam mengalahkan askar Dinasti Sui ini berjaya mengangkat status dan martabat mereka dalam pemerintahan Dinasti Tang, seterusnya membantu mereka terus berkembang ke seluruh pelosok negara China.

Kredit:

  1. The Shaolin Monastery: History, Religion, and the Chinese Martial Arts
  2. Huffington Post
  3. Los Angeles Times

tags : , , , , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)