Beberapa tahun dahulu, penulis cukup gementarlah nak beli barang elektronik di laman web Amazon. Walaupun harganya boleh dikatakan 1/3 lebih murah dari harga dalam pasaran kita - rasa takut tu tetap ada.

Tetapi disebabkan nak cuba juga, penulis beranikan diri buat pembelian kali pertama menggunakan Amazon dengan barangan berharga RM600; barang sama nilainya di kedai RM1200 ke RM1400 harganya. Kelabu mata beb! 3 minggu kemudian, selepas hari-hari rasa cemas sampai ke tidak barangnya, akhirnya barang pun sampai.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Semenjak hari itu penulis tak menoleh ke belakang lagi, apa saja yang penulis nak beli, penulis rujuk dulu Amazon. Kemudian bila laman web yang lebih mesra negara kita seperti Lazada, Shopee, 11Street dan AliBaba mula buka pasarannya lagi aktiflah penulis.

Berikut adalah 5 manfaat yang penulis dapat rasakan berlaku akibat tabiat berbelanja dalam talian yang semakin menjadi pilihan kita. Anda setuju dengan pendapat saya?

1. Jualan dalam talian menceritakan kos sebenar sesuatu barangan

pendapatan sampingan

Sejak dahulu, kita sering dibebankan dengan kos sara hidup yang tinggi dengan salah satu punca utamanya adalah harga barangan sendiri yang dijual pada harga tertentu.

Semenjak populariti jualan dalam talian memuncak, banyak sebenarnya penjimatan yang dapat penulis lakukan. Dulu nak beli beg sekolah anak pun RM80 di kedai, tetapi dalam laman web jualan, model sama dijual pada harga 1/3 malahan 1/2 harga biasa.

Bukan setakat beg sekolah, boleh dikatakan majoriti barangan yang ada seperti buku, barangan harian, baju, barangan elektrik, elektronik dan sebagainya mempunyai harga jauh lebih rendah berbanding di kedai.

Sehinggakan bila ke kedai dan pekedai nampak kita mula bandingkan harga - dia akan secara terbuka mengaku dia tak boleh lawan harga dalam talian. Lebih unik, ada kalanya barangan dalam talian ni dijual pada harga tak masuk akal.

Entah betul ke tak dia ni dapat balik modal dengan harga jualan sedemikian rupa entahlah. Tapi sebagai pelanggan - kita menanglah.

2. Keselesaan membeli tanpa diganggu

promoter salesgirl annoying

Salah satu perkara paling menjengkelkan yang seringkali berlaku kepada penulis adalah terpaksa melayan kerenah pembantu jualan yang akan mengekori kita ke mana saja, apabila kita dalam premis.

Kita tahu dia nak bersedia untuk membantu atas arahan majikan dia, tetapi bila dah ke hulu ke hilir dia membuntuti kita - ada kalanya penulis rasa dia anggap penulis ni nak mencuri agaknya. Rimas rasanya.

Kekurangan membeli belah dalam talian adalah kita tak dapat nak rasa sendiri apa yang kita beli dengan tangan, pegang dan sentuh untuk tahu kualitinya - khasnya pakaian. Tetapi berbaloikah tak dapat pegang barang terlebih dahulu tetapi boleh menelaah barangan dengan aman tanpa jurujual mengekor kat tepi? Berbaloi.

3. Jimat masa dan kos pergerakan

simpan duit

Ada ketikanya penulis perlu ke kedai disebabkan oleh permintaan isteri yang disayangi berpesan satu barang je. Sebagai suami yang baik, permintaan isteri penulis turutkan. Namun bila sampai di kedai, barang tak ada. Terpaksalah berpusing dua-tiga kedai nak cari disebabkan rasa bimbangnya akan menghampakan isteri yang dikasihi.

Situasi ini tidak berlaku sekiranya anda membeli dalam talian. Nak apa? Lakukan carian, pilih stokis dan tengok stok. Ada stok tak? Buat pesanan! Masalah utamanya adalah kena tunggu sajalah 2-3 ke hari untuk pesanan sampai.

Taktik penulis - penulis akan buat pesanan dulu produk makanan dan minuman yang isteri penulis suka, berdasarkan kepada keperluan dia. Bila nak habis aje, dah sampai. Tak perlu penulis keluar, tercari-cari, bayar parkir, berjalan ke sana ke mari.

Lebih banyak masa penulis kini dapat diluangkan bersama isteri.

4. Ruang jualan terus pengeluar kepada pengguna

ruang niaga pengusaha iks

Salah satu sebab kenapa harga barangan kita agak tinggi, adalah disebabkan rantaian peringkat yang perlu dilalui sesuatu barangan dari pengeluar kepada kita. Dari pengeluar, akan sampai kepada pemborong, pengedar, peruncit dan seterusnya - sebelum sampai ke tangan pelanggan.

Dengan kemudahan laman jualan yang berpusat seperti Lazada dan Shopee, pihak pengeluar kini boleh membuka gedung jualan secara terus dan kita sendiri boleh terus menghubungi pengeluar beberapa jenis produk untuk urusan pembelian.

Ini dapat menjimatkan banyak sebenarnya kos seterusnya menurunkan harga jualan yang biasa kita bayar.

Pengeluar kecil-kecilan seperti pengusaha IKS misalnya tidak lagi perlu melantik ejen dan stokis jualan - sebaliknya boleh membuka sendiri ruang niaga mereka, di mana mereka hanya perlu menubuhkan satu pasukan kecil yang menguruskan proses pembungkusan dan penghantaran setiap hari.

Bagi kumpulan pemborong dan penjual pula, mereka kini tidak lagi perlu membuka premis untuk menerima kehadiran pelanggan sebaliknya keutamaan premis hanya kepada premis berbentuk storan dan simpanan.

Kos sewa, gaji pekerja dan utiliti yang sebelum ini perlu dibayar setiap bulan tidak lagi menjadi beban, dengan harapan penjimatan itu akan dapat disalurkan kepada pelanggan.

5. Kita mula tahu jenama pelik-pelik yang sebelum ini tiada

gree aircond compressor china

Pasaran Malaysia sebelum ini dikuasai jenama-jenama Eropah dan Amerika Syarikat yang dikatakan berkualiti serta membawa prestij tersendiri - berbeza dengan jenama dari China, walaupun produk jenama terkenal itu sendiri besar kemungkinan dibuat di China.

Namun berlakunya perubahan besar dalam penerimaan kita terhadap produk bukan saja keluaran China malahan jenama China sendiri. Jika dulu pengguna agak 'geli' nak menggunakan telefon Huawei, kini Huawei, Oppo, Xiaomi, Vivo dan pelbagai jenama China lain lagi mula dipandang bukan saja relevan bahkan dianggap pendahulu inovasi.

Kenapa kami sebutkan tentang China? Ini kerana pengeluar China dilihat paling banyak mendapat manfaat daripada revolusi perubahan tabiat beli-belah masyarakat dunia, seiring dengan gagasan kerajaan mereka yang mahu menjadikan 'on-line shopping' sebagai pilihan utama masyarakat mereka.

Jenama-jenama mereka juga berpaut atas revolusi tersebut sehinggakan banyak jenama yang sebelum ini langsung tidak dikenali, kini mempunyai reputasi hebat di kalangan pengguna.

Sekiranya disebutkan jenama seperti Lenovo, Mi, Haier, Hisense, Anker, DJi, Honor, TCL, Meizu, Aukey, GREE dan banyak lagi beberapa tahun dahulu, kita mungkin merasa asing dengannya.

Tetapi kini produk-produk jenama ini sudah jadi satu kebiasaan disebabkan oleh rekaan yang menarik dan yang lebih penting - harganya juga jauh lebih rendah berbanding produk-produk berjenama yang menguasai pasaran dunia.

6. Suami tak lagi boring menunggu isteri

suami ikut isteri beli belah

Salah satu pemandangan biasa setiap kali bermulanya musim jualan di kompleks beli belah, adalah wajah-wajah muram suami terpaksa mengikuti isteri 'bershopping.'

Tercongoklah barisan suami di bangku luar kedai menunggu isteri, sambil tangan memegang 'hasil rampasan perang' yang telah dimiliki. Penantian golongan suami pada ketika itu, hanya Tuhan tahu seksanya. Berdebar-debar kita nak tahu bila boleh balik dan paling takut, nak tahu berapa amaun yang dah dibelanjakan.

Dengan membiasakan konsep beli-belah dalam talian, perkara ini tidak lagi menjadi kebiasaan. Suami tidak lagi perlu membuang masa menunggu isteri dan isteri juga tidak lagi perlu membebankan suami; hanya layari saja laman yang kita gemari, pilih dan bayar.

Masa suami bolehlah digunakan untuk dia menonton bola sepak, membaca atau mengumpul setem.




Hakcipta iluminasi.com (2017)